TADABBUR WAHYU SIRI 278


2.122.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 124
وَإِذِ ابْتَلَىٰ إِبْرَاهِيمَ رَبُّهُ بِكَلِمَاتٍ فَأَتَمَّهُنَّ ۖ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًا ۖ
124-Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah, maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia”.

Dalam ayat ini al-quran menyebut pengenalan kepada nabi Ibrahim, bahawa dia adalah seorang hamba yang telah berjaya melepasi ujian Allah.

Sayangnya sebahagian pentafsir agak keliru dengan penggunaan ayat “Allah menguji nabi Ibrahim dengan kalimat”.

Dalam bahasa Arab “kalimat” bermakna perkataan, maka mereka membayangkan Allah menguji nabi Ibrahim dengan beberapa perkataan seolah-olah ianya pertanyaan.

Pandangan ini tidak dipersetujui oleh Ibnu Asyur, walaupun beliau tidak menolak secara langsung tetapi beliau menyatakan bahawa maksud kalimat disini adalah ketetapan Allah. Atau lebih jelas lagi jika dikatakan sebagai takdir Allah.

Ini kerana takdir Allah adalah ujian kepada manusia, Allah telah menjadikan nabi Ibrahim sebagai nabi, mengutuskan baginda untuk menyampaikan dakwah kepada ayah baginda sendiri dan kepada raja namrud yang zalim. Nabi Ibrahim memikul tugas itu dan tidak pernah menolak tugas dakwah tersebut atas alasan desakan hidup dan kesusahan yang dialami.

Nabi Ibrahim dihalau oleh ayah baginda sendiri dan dihukum bunuh oleh Namrud atas usaha dakwah yang dilakukan, kemudiannya baginda membawa diri ke Mesir.

Ketika berada di Mesir, pemerintah Mesir ketika itu cuba untuk melalukan sesuatu yang jahat terhadap keluarga nabi Ibrahim tetapi mujurlah dilindungi oleh Allah.

Rentetan kejadian itu, Nabi Ibrahim berhijrah ke Palestin dan berdakwah serta memimpin manusia di sana kearah jalan keimanan.

Baginda diuji pula oleh Allah dengan tidak mendapa zuriat, sehingga beliau berada dalam usia yang lanjut. Bukan setakat itu, kemudiannya baginda diuji lagi dengan arahan Allah agar nabi Ibrahim meninggalkan isterinya tercinta di sebuah wadi yang kering iaitu Mekah.

Ujian terbesar yang diterima oleh nabi Ibrahim selain daripada di jatuhkan hukuman bunuh oleh Namrud ialah baginda disuruh oleh Allah untuk menyembelih anak baginda sendiri.

Suruhan tersebut berlaku ketika nabi Ismail sedang remaja dimana usia tersebut merupakan masa seorang anak mula menjadi harapan dan sandaran kepada setiap ibu bapa.

Kesemua ujian yang berat itu dapat dihadapi oleh nabi Ibrahim dengan jayanya. Walaupun perit derita yanag ditanggung, namun suruhan Allah tetap dipikul oleh baginda dengan penuh sabar.

Disebabkan nabi Ibrahim tidak terbakar ketika dihumbankan kedalam api, diselamatkan pula ketika mahu diceroboh oleh penguasa mesir, ada juga orang yang menggambarkan para nabi sebagai seorang yang banyak menerima keistimewaan dan mukjizat dalam hidup mereka sehingga mereka menyangka bahawa ujian terhadap nabi-nabi adalah ringan kerana keistimewaan mukjizat tersebut.

Perlu difahami bahawa walaupun nabi-nabi mempunyai mukjizat, tetapi mereka tidak menguasai mukjizat tersebut sehingga apa sahaja masalah yang dihadapi akan ditangani dengan mukjizat.

Daripada keadaan nabi-nabi dan rasul yang berlaku, jelas kelihatan bahawa mereka tida menguasai mukjizat-mukjizat tersebut sebaliknya ianya datang dan berlaku dibawah kendalian Allah dan pemberiannya. Untuk itu, ketika nabi Ibrahim menerima hukuman bunuh dari Namrud, beliau diuji dengan ketakutan terhadap hukuman mati dan dibakar oleh api yang menjulang tinggi.

Namun mereka yakin dengan pertolongan Allah dan kebersamaan tuhan ketika mereka mendepani setiap ujian tersebut, maka lantaran itulah mereka mendapat tempat yang tinggi disisi Allah.

Sabtu
2 Zulhijjah 1440
3 Ogos 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Rujukan: Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 0

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *