TADABBUR WAHYU SIRI 280


2.123.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 125

وَإِذْ جَعَلْنَا الْبَيْتَ مَثَابَةً لِلنَّاسِ وَأَمْنًا وَاتَّخِذُوا مِنْ مَقَامِ إِبْرَاهِيمَ مُصَلًّى ۖ وَعَهِدْنَا إِلَىٰ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ أَنْ طَهِّرَا بَيْتِيَ لِلطَّائِفِينَ وَالْعَاكِفِينَ وَالرُّكَّعِ السُّجُودِ
125-Dan (ingatlah) ketika Kami jadikan Rumah Suci (Baitullah) itu tempat tumpuan bagi umat manusia (untuk Ibadat Haji) dan tempat yang aman; dan jadikanlah oleh Kamu Makam Ibrahim itu tempat sembahyang. Dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail (dengan berfirman): “Bersihkanlah Rumahku (Kaabah dan Masjid Al-Haraam dari segala perkara yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf, dan orang-orang yang beriktikaf (yang tetap tinggal padanya), dan orang-orang yang rukuk dan sujud”.

Ayat ini menerangkan bahawa Allah telah menjadikan kaabah sebagai kunjungan manusia. Keadaan ini bukan sahaja berlaku di zaman nabi Muhammad saw, sebaliknya kunjungan manusia kepada kota Mekah bermula semenjak nabi Ibrahim mengasaskan kaabah disana.

Setelah ajaran nabi Ibrahim telah mula pudar disebabkan oleh faktor berlalunya zaman yang panjang, amal ibadat masyarakat setempat telah dimasuki dengan penyelewengan dari berbagai sudut.

Namun demikian kaabah tetap menjadi kunjungan mereka, rumah Allah itu tetap dicintai oleh masyarakat zaman berzaman. Antara etika yagn cukup dipatuhi oleh mereka ialah menjaga tatasusila ketika berada di tanah haram dengan tidak menumpahkan darah serta tidak bermusuh-musuhan.

Walaupun terdapat beberapa tragedi berdarah berlaku di kawasan kaabah tetapi ia dianggap sangat sedikit berbanding dengan sejarahnya yang lama.

Antara tragedi berdarah yang disaksikan oleh kaabah ialah peristiwa pertelingkahan politik antara Hajjaj dan Ibnu Zubair yang membawa kepada persengketaan berdarah, peristiwa serangan kumpulan Qaramitah dan bebarapa peristiwa berdarah yang lain. Namun begitu, pada keseluruhannya ia adalah tempat yang disepakati oleh penduduk setempat sebagai tempat yang mesti dijaga keharmoniannya dan dielakkan segala bentuk persengketaan.

Selain itu, ayat ini juga menerangkan bahawa mereka telah menjadikan maqam Ibrahim sebagai tempat bersolat. Namun demikian para ulama berbeza pandangan dalam mentafsirkan apakah yang dimaksudkan dengan ibarat “maqam Ibrahim sebagai tempat solat”.

Perkataan “maqam” secara literalnya bermaksud tempat berdiri dan jika ini yang dimaksudkan dalam ayat ini, maka ia merujuk kepada sebuah batu yang dijadikan oleh nabi Ibrahim untuk beliau berdiri diatasnya sewaktu Baginda meletakkan batu-batu yang menjadi dinding kepada kaabah.

Namun demikian, maqam juga boleh dimaksudkan kepada tempat tinggal, jika sekiranya ini yang dimaksudkan maka ia bererti kaabah atau tanah haram secara keseluruhan, yang telah dijadikan sebagai tempat ibadat haji dan umrah.

Selain itu, ia juga mungkin bermaksud bahawa kaabah itu telah dijadikan sebagai kiblat untuk manusia mengadap ke arahnya ketika mereka mendirikan solat walau dimana mereka berada.

Kesemua maksud ini sebenarnya tidak bercanggah dan ia lebih kepada maksud-maksud yang terkandung dalam satu ungkapan.

Ayat ini juga menerangkan bahawa nabi Ibrahim telah disuruh oleh Allah agar menyucikan rumah Allah untuk para ahli ibadat.

Menutrut Ibnu Asyur, nabi Ibrahim telah disuruh oleh Allah agar menyucikan kaabah daripada 3 jenis kotoran. Pertama kekotoran “Hissi” yang menganggu dan menyakiti pengunjung rumah Allah yang mulia itu.

Sampah sarap, bahan buangan dan najis mestilah dibersihkan dari rumah Allah yang mulia ini. Demi menjaga kesejahteraan pengunjungnya yang dianggap sebagai tetamu Allah.

Dalam masa yang sama nabi Ibrahim disuruh membersihkan rumah Allah dari sebarang penyelewengan dalam ibadat agar ibadat yang dilakukan dirumah Allah sentiasa kekal dalam suasana asli seperti yang dituntut oleh Allah.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *