2.29.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 28

 كَيْفَ تَكْفُرُونَ بِاللَّهِ وَكُنتُمْ أَمْوَاتًا فَأَحْيَاكُمْ ۖ ثُمَّ يُمِيتُكُمْ ثُمَّ يُحْيِيكُمْ ثُمَّ إِلَيْهِ تُرْجَعُونَ (28)

Maksudnya:
Bagaimana kamu kufur kepada Allah padahal kamu dahulunya mati, kemudian Dia menghidupkan kamu, setelah itu Dia mematikan kamu, kemudian Dia menghidupkan kamu, kemudian kamu dikembalikan kepadaNya.

Cuba perhatikan kembali dari perbincangan ayat 21. Bukakan tuhan terus-menerus memberikan hujah terhadap orang yang menolak kebenaran.

Hujah-hujah itu pula menggunakan logik dan mengajak mereka berfikir untuk sampai kepada hakikat ketuhanan.

Tuhan tidak memaksa manusia untuk mengakui tetapi sebaliknya mahu supaya kepercayaan manusia itu lahir dari kefahaman, kesedaran dan penerimaan yang bebas dari sebarang tekanan dan paksaan.

Bagaimana kamu kufur atau engkar terhadap Tuhan sedangkan sebelum ini kamu mati. Yang dimaksudkan dengan mati disini ialah tidak wujud. Penggunaan mati dalam bahasa Arab lebih luas berbanding bahasa Melayu.

Allah menjadikan perjalanan hidup manusia yang tidak boleh dikawal oleh manusia sendiri sebagai salah satu bukti keesaan Allah.

Jika kamu tidak dapat menguasai diri kamu sendiri dan tidak dapat menentukan persoalan nyawa kamu yang sangat kamu cintai itu, maka bagaimanakah kamu boleh menolak untuk tunduk kepada Allah yang menguasai segala yang di langit dan di bumi.

Berfikir tentang keterbatasan diri akan membuatkan manusia terpaksa mengakui bahawa disana adanya kuasa lain yang menguasai dirinya. Walau setinggi mana kuasa manusia di depan manusia lain ia tetap suatu yang kecil disisi Allah s.w.t.

Kefahaman terhadap hakikat itu seharusnya membuatkan manusia lebih mudah untuk tunduk kepada Allah dalam segenap bidang tuntutannya, samada dari sudut kepatuhan hati, pemikiran dan kepatuhan yang dizahirkan pada anggota manusia.

Rabu
4 Sya’ban 1440
10 April 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Ulasan Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir Oleh Ibnu Asyur
Rujukan tambahan: Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz. 🌟🌟🌟🌟🌟🌟🌟 Untuk beli buku /terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935752 ‌sila share*

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *