*TADABBUR WAHYU SIRI 309*

*2.149.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 149-150*
وَمِنۡ حَيۡثُ خَرَجۡتَ فَوَلِّ وَجۡهَكَ شَطۡرَ ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِۖ وَإِنَّهُۥ لَلۡحَقُّ مِن رَّبِّكَۗ وَمَا ٱللَّهُ بِغَٰفِلٍ عَمَّا تَعۡمَلُونَ 
149- Dan dari mana sahaja engkau keluar, maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (Kaabah); dan sesungguhnya perintah berkiblat ke Kaabah itu adalah benar dari Tuhanmu. Dan, Allah tidak sekali-kali lalai akan segala apa yang kamu lakukan.

Sekali lagi suruhan mengadap kiblat diulangi disini tetapi pada kali ini membawa isyarat kepada kewajipan mengadap kiblat ketika solat walaupun dalam keadaan musafir.

Keadaan musafir sering dianggap sebagai punca seseorang mengalami kepayahan dan hukum yang digunakan seringkali bersifat keringanan. Namun demikian diingatkan disini bahawa keringanan ini tidak termasuk tuntutan mengadap kiblat.

Bagi memberikan sentuhan lebih tegas, dijelaskan bahawa suruhan ini adalah kebenaran dari tuhan, ia bukannya satu yang boleh diambil secara sambil lewa dan Allah amat mengetahui apa yang dilakukan oleh manusia dan Allah tidak sekali-kali leka terhadap orang yang mengabaikannya.

وَمِنۡ حَيۡثُ خَرَجۡتَ فَوَلِّ وَجۡهَكَ شَطۡرَ ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِۚ وَحَيۡثُ مَا كُنتُمۡ فَوَلُّواْ وُجُوهَكُمۡ شَطۡرَهُۥ لِئَلَّا يَكُونَ لِلنَّاسِ عَلَيۡكُمۡ حُجَّةٌ إِلَّا ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ مِنۡهُمۡ فَلَا تَخۡشَوۡهُمۡ وَٱخۡشَوۡنِي وَلِأُتِمَّ نِعۡمَتِي عَلَيۡكُمۡ وَلَعَلَّكُمۡ تَهۡتَدُونَ 
150- Dan dari mana sahaja engkau keluar, maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya, supaya tidak ada lagi (sebarang) alasan bagi orang-orang (yang menyalahi kamu), kecuali orang-orang yang zalim di antara mereka (ada sahaja yang mereka jadikan alasan). Maka janganlah kamu takut kepada (cacat cela) mereka, dan takutlah kamu kepada Ku (semata-mata); dan supaya Aku sempurnakan nikmatKu kepada kamu, dan juga supaya kamu beroleh petunjuk hidayah (mengenai perkara yang benar).

Ayat 150 sekali imbas seperti mengulangi suruhan yang sama seperti yang dinyatakan oleh ayat sebelum ini. Namun demikian sebenarnya terdapat nilai tambah kepada ayat ini dengan Allah menyuruh dalam bentuk ramai, iaitu tidak ada lagi kekeliruan samada nabi sahaja yang perlu mengadap kiblat. Jawapannya ialah tidak, semua oranag beriman perlu mengadap kiblat ketika solat.

Apalah mengadap kiblat dikecualikan ketika solat dalam keadaan musafir? Jawapannya tidak, tidak dikecualikan untuk mengadap kiblat walaupun dalam keadaan musafir. Apakah Rasulullah saw sahaja tidak dikecualikan dalam mengadap kiblat ketika musafir? Jawapannya tidak, semua orang beriman yang solat dalam keadaan musafir tidak dikecualikan untuk mengadap kiblat.

Mengapa pula dibincangkan persoalan solat dalam keadaan musafir? Kerana ketika bermusafir terdapat keringanan yang diberikan oleh Allah kepada orang yang mengerjkan solat seperti mereka dibenarkan melakukan jama’ dan qasar. Namun demikian mengadap kiblat tidak dikecualikan kepada mereka yang bermusafir.

Selasa
3 Muharram 1440
3 September 2019
Ustaz Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac: 562263546814) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *