*TADABBUR WAHYU SIRI 337*

*2.172.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 177*

لَّيْسَ الْبِرَّ أَن تُوَلُّواْ وُجُوهَكُمْ قِبَلَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ وَلَكِنَّ الْبِرَّ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَالْمَلائِكَةِ وَالْكِتَابِ وَالنَّبِيِّينَ وَآتَى الْمَالَ عَلَى حُبِّهِ ذَوِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينَ وَابْنَ السَّبِيلِ وَالسَّائِلِينَ وَفِي الرِّقَابِ وَأَقَامَ الصَّلاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَالْمُوفُونَ بِعَهْدِهِمْ إِذَا عَاهَدُواْ وَالصَّابِرِينَ فِي الْبَأْسَاء وَالضَّرَّاء وَحِينَ الْبَأْسِ أُوْلَئِكَ الَّذِينَ صَدَقُوا وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُتَّقُونَ.

177- Bukanlah kebaikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke timur dan barat, tetapi kebaikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, hari akhirat, malaikat, kitab-kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, – kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi; dan mengerjanya solat serta mengeluarkan zakat; dan perbuatan menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian; dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan,  kesakitan, dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang. Merekalah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa.

Bacayalah ayat ini beberapa kali, perhatikan maksud dan maknanya. Mungkin akan timbul persoalan mengapa dibawa kembali perbincangan berkenaan suruhan mengadap kiblat.

Ayat ini menyebut berkaitan mengadap kearah timur dan barat. Sebahagian ahli tafsir seperti Jalaluddin al-Sayuti mengatakan ianya perbincangan berkaitan arah kiblat dan penegasan terhadap perlunya mengadap kearah kaabah.

Pandangan ini diterima oleh Ibnu Asyur, bagi beliau ayat ini menjawab sikap orang Yahudi yang berpandangan bahawa orang Islam semakin jauh tersasar dari kebenaran setelah mereka tidak lagi solat kearah Baitulmaqdis. Maka ayat ini turun bagi menerangkan bahawa apa yang penting ialah mendengar arahan Allah dan patuh kepada suruhannya.

Adapun mengadap kearah sudut tertentu bukannya tujuan sebenar ibadah, tetapi ia adalah berpaksikan ketaatan kepada Allah. Pensyariatan jenis ini dipanggil “wasilah” dan bukannya “maqasid”.

Amalan yang berada dalam kategori wasilah bukan objektifnya perkara itu secara asal tetapi mengandungi tujuan lain yang mana apa yang disyariatkan itu adalah jalan dalam mencapai tujuan atau maqasid tersebut.

Suruhan mengadap kiblat bertujuan membersihkan hati manusia daripada meletakkan sesuatu selain Allah dengan tulus dan bersatu hati kearahnya.

Mengadap kiblat adalah penyatuan kepada kaum muslimin agar mereka beribadat dalam satu saf dan tidak berpecah belah. Mengadap kearah kiblat adalah penghargaan kepada nabi Ibrahim, nabi Ismail dan nabi Muhamad saw. Ia adalah pengiktirafan kepada kesinambungan ajaran para nabi dari zaman dahulu lagi.

Walaupun Rasyed Redha tidak setuju dengan pandangan yang menyatakan ayat ini berkaitan isu perubahan arah kiblat, tetapi beliau sependapat menyatakan bahawa mengadap kiblat adalah pensyariatan yang bersifat wasilah atau jalan kearah mencapai objektif yang tersirat dari suruhan itu.

Selasa
2 Safar 1440
1 Oktober 2019
Ustaz Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac: 562263546814) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *