*TADABBUR WAHYU SIRI 475*

*2.252.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 278-279*

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَذَرُواْ مَا بَقِيَ مِنَ ٱلرِّبَوٰٓاْ إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِينَ.

278- Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman.

Seruan kali ini ditujukan kepada orang-orang beriman dimana Ibnu Asyur menyatkan bahawa ayat ini diturunkan bagi menyatakan hukum riba dalam Islam.

Ayat sebelum ini walaupun menerangkan tentang riba, tetapi lebih bersifat menerangkan amalan orang kafir dan disertai dengan sifat tidak beriman kepada Allah.

Dengan itu, ayat ini ditujukan khas kepada mereka yang beriman, ayat ini telah menuntut agar orang-orang beriman meninggalkan riba.

Secara umumnya, suruhan ayat al-Quran agar  meninggalkan sesuatu perbuatan mengandungi kemungkinan ianya bermaksud makruh atau berkemungkinan juga ia adalah haram.

Namun demikian suruhan meninggalkan riba dinyatakan dengan tegas sehingga tidak ada lagi keraguan tentang hukumnya.

Hasil kefahaman ulama tentang ayat ini, kesemua ulama menganggap hukum riba adalah haram. Walaupun ayat ini tidak menyebut perkataan haram tetapi mereka menyimpulkan pengharaman itu tersimpul disebalik dua isyarat. Pertama kepatuhan terhadap hukum riba dihubungkan dengan kata-kata “jika kamu beriman”.

Kemudian, ia diikuti dengan ayat yang sangat tegas iaitu pengistiharan perang daripada Allah kepada orang-orang yang mengamalkan riba.

فَإِن لَّمۡ تَفۡعَلُواْ فَأۡذَنُواْ بِحَرۡبٖ مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦۖ وَإِن تُبۡتُمۡ فَلَكُمۡ رُءُوسُ أَمۡوَٰلِكُمۡ لَا تَظۡلِمُونَ وَلَا تُظۡلَمُونَ

279- Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.

Mengikut Ibnu Asyur, selain daripada menerangkan hukum haramnya riba, ayat ini juga mengandungi satu asas yang sangat penting dalam perlaksanaan muamalat Islam.

Asas yang dimaksudkan oleh beliau itu ialah rangkap kedua daripada ayat ini:

Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu.

Menurut Ibnu Asyur kaedah ayat ini digunakan dalam menyelesaikan permasalahan jual beli yang fasid (tidak sempurna atau terbatal) perinsip yang patut digunakan dalam menyelesaikan kes-kes seperti ini ialah pihak yang memiliki harta hanya akan mendapat harta asalnya atau pokok. Harta yang tidak sah itu dikembalikan kepada pihak yang bermuamalat, namun demikian harta pokok itu tidak boleh dinafikan darinya.

Dengan itu, ayat ini diakhiri dengan firman Allah yang bermaksud:
(Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.

Maksudnya harta orang lain dikembalikan kepadanya dan harta kamu pula dikembalikan kepada kamu.

Untuk mengetahui perkara ini lebih lanjut disarankan pembaca merujuk kitab-kitab fekah yang membincangkan secara lebih terperinci hukum jual-beli yang fasid.

Rabu
13 Jamadilawal 1441
8 Januari 2020
Ustaz Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
t.me/tadabbur_wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *