*TADABBUR WAHYU SIRI 484*

*2.257.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 286*
لاَ يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلاَّ وُسْعَهَا لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ رَبَّنَا لاَ تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا رَبَّنَا وَلاَ تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا رَبَّنَا وَلاَ تُحَمِّلْنَا مَا لاَ طَاقَةَ لَنَا بِهِ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا أَنتَ مَوْلانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ.

286- Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. dia mendapat pahala kebaikan melalui apa yang diusahakannya, dan dia juga menanggung dosa kejahatan melalui apa yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengambil kira kesalahan kami jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir”.

Ayat ini merupakan ayat terakhir dalam surah al-Baqarah, oleh itu tidak hairanlah jika ia mengandungi prinsip penting dan dasar yang asas dalam agama Islam.

Pemberitahuan ini sangat bertepatan dengan kandungan surah al-Baqarah yang sarat dengan pelajaran. Surah al-Baqarah yang mengandungi perincian terhadap ajaran Islam, maka ajaran itu berpaksikan kepada prinsip-prinsip umum yang teguh.

Prinsip umum yang terdapat dalam ayat ini pertama sekali dapat dilihat dalam rangkap:

“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya”

Prinsip syariah Islam yang pertama dalam ayat ini ialah prinsip mudah dan memudahkan.

Islam adalah agama yang tidak memayahkan manusia dan tidak memberatkan mereka. Imam al-Syatibi menjelaskan bahawa tidak terdapat dalam ajaran Islam suruhan-suruhan yang terlalu berat dan tidak dapat dijalankan oleh manusia.

Para ulama usul fiqh menggunakan istilah “taklif ma la yutaq” mentaklifkan sesuatu yang tidak mampu dipatuhi oleh manusia.

Syariah Islam tidak mengandungi ajaran diperingkat yang sukar seperti ini. Adalah sangat mudah untuk memahami prinsip ini bagi seorang muslim kerana pengamalan mereka terhadap tuntutan agama tidak mengandungi kepayahan diperingkat yang disebut itu.

Segala tuntutan seperti solat, puasa, zakat dan sebagainya adalah tuntutan yang sangat mudah untuk diamalkan dan tidak menjejaskan kehidupan manusia.

Atas dasar yang sama tidak ada larangan yang sangat sukar untuk manusia mematuhinya seperti larangan yang bertentangan dengna naluri semula jadi manusia. Dengan itu Islam tidak melarang manusia daripada melepaskan nafsunya tetapi memandu mereka untuk melakukannya dengan cara yang tersusun, lalu disyariatkan perkahwinan dan kehidupan berkeluarga.

Islam tidak melaranag manusia daripada mencari harta kekayaan kerana itu adalah sangat sukar buat manusia sebaliknya Islam menyediakan sistem untuk mengatur urusan tersebut. Begitulah seterusnya dalam seluruh bidang kehidupan manusia.

Disamping tuntutan yang mudah itu pula, segala tuntutan agama yang dianjurkan oleh Islam sangat penting dan membawa kemaslahatan kepada kehidupan manusia. Ia membawa kebaikan samada kepada seseorang individu, keluarga dan masyarakat.

Dengan itu boleh dikatakan bahawa asas Syariah Islam ialah melaksanakan tuntutan yang penting tetapi mudah. Dalam gambaran sesetengah manusia, perkara yang penting mestilah bersifat sukar, pelik dan tidak disukai oleh manusia.

Hal ini kelihatan bertentangan dengan apa yang diterangkan dalam ayat ini dan dijelaskan secara lebih terperinci lagi dalam rangkap yang lain.

Prinsip kedua dijelaskan dalam ayat ini ialah manusia dipertanggungjawabkan terhadap apa yang dilakukan oleh dirinya.

Prinsip ini tersimpul dalam rangkap berikut:

“Dia mendapat pahala kebaikan melalui apa yang diusahakannya, dan dia juga menanggung dosa kejahatan melalui apa yang diusahakannya”.

Rangkap ini menerangkan dengan lebih lanjut maksud ringannya ajaran Islam, ini kerana seseorang itu tidak menanggung dosa yang telah dilakukan oleh orang-orang terdahulu sebagaimana difahami oleh sesetengah agama bahawa manusia semuanya lahir kedunia dengan membawa dosa yang dilakukkan oleh nabi Adam. Iaitu apabila baginda memakan buah larangan di dalam syurga.

Ayat ini menafikan kepercayaan seperti itu kerana meletakkan dosa yang diwarisi adalah menzalimi manusia kerana mereka dianggap bersalah walaupun kesalahan itu telah dilakukan oleh orang lain.

Sebaliknya syariah Islam hanya mengambil kira kesalahan manusia terhadap apa yang dilakukan oleh dirinya sendiri sahaja. Jika dia melakukan kebaikan maka dikira pahala dan jika keburukan dikira dosa.

Jumaat
21 Jamadilawal 1441
17 Januari 2020
Ustaz Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
t.me/tadabbur_wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *