Ulasan terhadap jenama ‘Nike’


Selepas menulis tajuk Asas Kefahaman Islam ke 7, saya baru perasan ada email daripada kawan saya yang belum di jawab. Bila saya teliti, saya dapati persoalan yang diajukan boleh dijadikan bahan praktikal bagi yang mengikuti tajuk Asas Kefahaman Islam 7.

Dalam tajuk itu, kita telah membincangkan tentang adat atau uruf. Saya harap pembaca dapat menghubungkan antara teori uruf dengan permasaalahan ini.

Berkenaan email yang disebarkan tentang pengharaman memakai pakaian berjenama ‘Nike’, email itu mendakwa demikian atas alasan perkataan ‘Nike’ adalah nama tuhan dalam agama Rom, pada pandangan saya, kita perlu berhati-hati terhadap dakwaan bahawa jenama Nike itu bermaksud tuhan orang rom, ini kerana berkemungkinan ada syarikat-syarikat yang hanya mereka-reka cerita itu kerana ingin bersaing secara kotor dan memfitnah syarikat lain,  untuk kepentingan syarikat mereka.
 
Kedua, nama adalah sesuatu yang boleh berubah-ubah, mungkin betul nama itu nama tuhan orang Rom. Tetapi kita bukan hidup di zaman Rom kuno, kita hidup di tahun 2009. Sekarang ini nama Nike telah menjadi nama manusia di Amerika dan Eropah. Oleh itu nama itu telah tidak menjadi lambang keagamaan yang di ketahui umum. Apa kata kalau kita menganggap sebenarnya itu adalah nama manusia Eropah? Persoalan ini dinamakan persoalan uruf dalam istilah syarak.

Hujah yang dinyatakan bagi mengharamkan jenama Nike ialah, nabi melarang orang Islam memakai pakaian yang menyerupai pakaian keagamaan orang kafir. Ya, betul, kita dilarang dari memakai pakaian keagamaan mereka. Kalau anda memakai pakaian Paderi, sudah tentu haram.

Sebenarnya hujah orang yang berkata demikian menolak pandangan mereka sendiri. Ini adalah kerana ‘Nike’ bukannya pakaian keagamaan dan maksud yang dikatakan berasal dari agama Rom itu telah bertukar menjadi nama orang Eropah. Orang Eropah sendiri bila sebut Nike,mereka tidak tergambar tentang ketuhanan. Apa yang mereka gambarkan ialah kasut, stokin, dan pakaian lain.

Keadaan yang sama berlaku apabila orang bertanya saya tentang hukum bersanding. Mereka kata ada penceramah yang mengatakan bersanding adalah haram kerana ianya adat Hindu. Saya mengatakan tidak begitu. jangan mudah menghukum. kadang-kadang masyarakat gemar pada ustaz yang mudah mengatakan haram, bagi mereka itulah tandanya iman mereka kuat.

Dalam bab bersanding,  uruf atau adat yang dikatakan Hindu itu telah berubah. Kita hidup bukan dizaman Melayu Hindu, kita hidup dizaman orang Melayu Islam mengamalkannya, selagimana iktikad keagamaan Hindu telah tiada, maka apa yang kita katakan ialah uruf atau adat telah berubah. Oleh itu hukumnya juga telah berubah, daripada tidak boleh kepada boleh. Sebenarnya pada mulanya saya tidak mahu menjelaskan tentang perubahan adat, tapi nampaknya soalan di atas menuntut saya untuk menjelaskan di sini bahawa adat boleh berubah, daripada adat orang kafir kepada adat orang Islam bila ianya telah diterima pakai oleh masyarakat umum. Begitulah sebaliknya.
 
Yang jelasnya ialah Islam tidak melihat persoalan nama dalam bentuk yang terlalu ketat. Terutamanya ialah apabila sesuatu maksud perkatan itu telah berubah penggunaan umumnya. Adalah lebih baik sekiranya orang yang membuat cerita ini menggalakkan pembelian barangan orang Islam, itu lebih mudah difahami dan mempunyai maksud yang lebih jelas, adapun menggunakan teknik provokasi seperti ini akan mengelirukan masyarakat dan menimbulkan keresahan yang tidak bertempat.
 
Persoalnnya ialah di zaman kelenaan umat Islam dan kesibukan mereka mencari hiburan ini, adakah kasut buatan orang Islam?

pandangan anda dihargai

3 Replies to “”

  1. assalamualaikum,

    selepas sahaja ana dapat emel berkenaan jenama ‘Nike’,ana ternanti2 buah fikiran orang lain sambil memikir2kan tentangnya.

    syukron ana ucapkan pada ustaz atas perkongsian buah fikiran ustaz yang bersangkutan dengan isu itu.

    kalau ingin dikaitkan,suatu ketika pernah sahabat Rasulullah s.a.w (Abu Umamah) mengadu kepada Rasulullah,beliau berkata:”Ya Rasulullah, sesungguhnya ahli kitab memakai seluar dan tidak memakai izar,maka Rasulullah pun bersabda:”Berseluarlah kamu dan pakailah izar,dan hindarilah dari menyerupai ahli kitab”,HR Ahmad.

    tuntasnya,jika ada sesuatu yang baik dan mampu memberi faedah kepada para sahabat maka Rasulullah s.a.w tidak menghalangnya,malah menggalakkannya(selagi ia tidak bercanggahan dengan syara3).

    ada betulnya juga ta3lil ustaz terhadap isu jenama ‘Nike’.Namun,ana masih memikirkannya.Syukron atas buah fikiran ustaz,wa jazakumullah.

  2. salam, pada pendapat saya ada bezanya hadis Riwayat Ahmad yang anta nyatakan, dengan persoalan Nike. ini kerana dakwaan adalah kerana ianya pakaian agama. Dalam kes seluar, ianya aldalah pakaian biasa walaupun di zaman nabi.

    Namun demikian dakwaan nike pakaian aama adalah tidak tepat. Kerana uruf tidak menunjukkan kepada demikian.

    Buktinya, tanya saja orang biasa, bila anda melihat perkataan Nike apa yang ada dalam gambaran anda? Kalau dia kata anda telah berpakaian seperi Paderi, sami atau sebagainya, maka sudah tentu pakaian itu haram dipakai.
    Terima ksaih atas komen anta wassalam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *