Sifat Buruk Yahudi

يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لِمَ تُحَآجُّونَ فِي إِبْرَاهِيمَ وَمَا أُنزِلَتِ التَّورَاةُ وَالإنجِيلُ إِلاَّ مِن بَعْدِهِ أَفَلاَ تَعْقِلُونَ

هَاأَنتُمْ هَؤُلاء حَاجَجْتُمْ فِيمَا لَكُم بِهِ عِلمٌ فَلِمَ تُحَآجُّونَ فِيمَا لَيْسَ لَكُم بِهِ عِلْمٌ وَاللّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لاَ تَعْلَمُونَ

مَا كَانَ إِبْرَاهِيمُ يَهُودِيًّا وَلاَ نَصْرَانِيًّا وَلَكِن كَانَ حَنِيفًا مُّسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

إِنَّ أَوْلَى النَّاسِ بِإِبْرَاهِيمَ لَلَّذِينَ اتَّبَعُوهُ وَهَـذَا النَّبِيُّ وَالَّذِينَ آمَنُواْ وَاللّهُ وَلِيُّ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya:

[65]Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu berani memperdebatkan tentang (ugama) Nabi Ibrahim, padahal Taurat dan Injil tidak diturunkan melainkan kemudian daripada (zaman) Ibrahim; patutkah (kamu berdegil sehingga) kamu tidak mahu menggunakan akal?

Wacana Ilmuan:

Ayat-ayat dia atas adalah ayat 65-68 daripada surah A’li Imran. Ayat-ayat ini menerangkan sebahagian daripada sifat buruk yang telah dilakukan oleh kaum Bani Israil.

Sifat buruk yang dinyatakan di atas ialah mereka saling mengaku bahawa nabi Ibrahim berada dipihak mereka. Orang-orang Yahudi mendakwa nabi Ibrahim beragama Yahudi. Sementara orang Kristian pula mengaku bahawa nabi Ibrahim beragama Kristian.

Mengapa Allah marah dengan sifat ini sedangkan orang Islam juga mengaku bahawa nabi Ibrahim adalah beragama Islam? Jawapannya ialah kerana Bani Israil dari kedua-dua pihak itu hanya mengaku sahaja sedangkan mereka tidak tahu menahu tentang nabi Ibrahim.

Dakwaan orang Yahudi hanya bagi memenangi perbalahan mereka dengan orang Kristian dan begitu juga sebaliknya. Apa yang sepatutnya mereka lakukan ialah mereka mengkaji apakah hakikat agama nabi Ibrahim, bila mereka dapati nabi Ibrahim adalah nabi yang menyeru kepada tauhid dan menolak syirik maka mereka sepatutnya membuang iktikad syirik yang mereka anuti.

Adapun apa yang dilakukan oleh Yahudi dan Kristian adalah sebaliknya, mereka hanya berbangga dengan nabi itu dan ini tetapi amalan mereka bercanggah dengan amalan nabi-nabi.

Bagi membuktikan sifat buruk mereka itu Allah menyatakan ayat[66]

Kamu telah berbantahan tentang perkara yang kamu ada pengetahuan mengenainya (ajaran nabi Musa), maka mengapa kamu membuat dakwaan tentang perkara yang tidak ada pada kamu sedikit pengetahuan pun bersabit dengannya? Dan (ingatlah), Allah mengetahui (hakikat yang sebenarnya) sedang kamu tidak mengetahuinya.

Orang-orang Yahudi telah menolak agama nabi Musa bagaimana boleh mereka mendakwa nabi Ibrahim berada dipihak mereka. Orang-orang Kristian pula telah mendakwa nabi Ibrahim dipihak mereka sedangkan mereka menolak kenabian nabi Isa. Oleh itu terdedahlah hakikat dakwaan mereka, mereka bukan mencari kebenaran tetapi sebaliknya hanya mahu mengaburi mata masyarakat.

Setelah mengetahui hakikat ini mudahlah bagi kita untuk memahami firman Allah yang seterusnya yang bermaksud:

[67]Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk ugama Yahudi, dan bukanlah ia seorang pemeluk ugama Kristian, tetapi ia seorang yang tetap di atas dasar Tauhid sebagai seorang Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah), dan ia pula bukanlah dari orang-orang musyrik.

Allah menerangkan bagaimana hakikat sebenarnya yang perlu dihayati oleh manusia. Kita bukan bermegah-megah dengan nabi-nabi hanya kerana keturunan, bangsa atau kenegerian, tetapi yang berhak mewarisi kemegahan dan kepimpinan nabi Ibrahim ialah pewaris ketaqwaan dan keimanannya.

[68]Sesungguhnya orang-orang yang hampir sekali kepada Nabi Ibrahim (dan berhak mewarisi ugamanya) ialah orang-orang yang mengikutinya dan juga Nabi (Muhammad) ini serta orang-orang yang beriman (umatnya – umat Islam). Dan (ingatlah), Allah ialah Pelindung dan Penolong sekalian orang-orang yang beriman.

*Sifat buruk Bani Israil itu tidak dimiliki oleh umat nabi Muhammad kerana umat nabi Muhammad dilindungi daripada kesesatan yang umum. Namun demikian cebisan atau percikan dari sifat itu wujud dan tersebar luas.

Banyak pihak yang mendakwa mewarisi kemegahan dan menisbahkan diri mereka kepada sesuatu yang baik tetapi mereka berbuat demikian bukan untuk mengamalkan hakikat kemurnian ajaran yang dibawa oleh tokoh tertentu, yang mereka inginkan ialah sokongan manusia dan pujian yang membawa pengaruh semata-mata. Alangkah ruginya orang yang bersifat demikian.

*Sebenarnya saya ada menyampaikan kuliah tafsir di masjid tetapi tidak direkodkan. Akibatnya tafsir-tafsir itu tidak dapat dimanafaatkan sepenuhnya. Seorang kawan mencadangkan agar saya merekodkan kuliah-kuliah tersebut. Hasil dari cadangan itu saya cuba untuk menulis sebahagian dari tafsir-tafsir tersebut untuk tujuan manafaat yang lebih besar. Selain itu diharapkan kepada sesiapa yang mengesan kelemahan dan mempunyai komen untuk tidak keberatan menyatakannya.

Pandangan anda dihargai

2 Replies to “”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *