Soal Jawab Agama

Soalan:

Salam. Soalan yang ingin saya ajukan berkaitan dengan fekah kontemporari adakah berbeza dengan fatwa kontemporari?

Fatwa ialah penerangan terhadap sesuatu soalan yang diajukan kepada seseorang sarjana , samada soalan itu telah berlaku atau belum berlaku. Orang yang bertanya pula dinamakan mustafti. Orang yang ditanya iaitu seseorang sarjana yang menjawab soalan itu dinamakan mufti. Kalau saya jawab soalan anta, maka saya mufti pada makna bahasanya lah.

Adapun fekah ialah satu subjek yang menerangkan sesuatu perkara berkaitan hukum amali, ianya dipanggil hukum fekah. Adapun makna fekah pada asalnya bermaksud kefahaman. Kitab fekah bab solat misalnya, menerangkan tentang solat bukan jawapan kepadasesuatu soalan yang diajukan kepada penulis.

Dari sudut perundangan pula, fatwa berbeza dengan qada’. Pada permulaannya fatwa bermaksud jawapan seseorang sarjana terhadap soalan yang diajukan kepadanya, dalam keadaan dia tidak mempunyai kuasa perundangan.

Sementara qada’ pula bermaksud sesuatu keputusan sarjana yang memutuskan sesuatu permasaalahan dalam keadaan beliau mempunyai kuasa perundangan. Orang itu dinamakan hakim pada ketika ini.

Sebab itulah kita dapati banyak kitab fatwa dikarang semenjak zaman dahulu, apabila istilah mufti telah menjadi satu jawatan ulamak yang menjadi rujukan kerajaan dan mempunyai kuasa perundangan maka, timbullah persoalan bolehkah orang selain mufti untuk mengeluarkan fatwa.

Maka jika kita katakan fatwa itu ialah sekadar jawapan terhadap persoalan orang yang bertanya dan tidak mempunyai kuasa perundangan maka jawapannya ialah boleh, sekiranya maksud mufti disitu ialah mengupas hukum dengan mempunyai kuasa perundangan maka sudah tentu tidak boleh kerana kuasa pentadbiran merupakan hak pemerintah dan orang yang dilantik oleh pemerintah.

Bagi menyelesaikan krisis ini saya berpendapat orang Islam dan para sarjana Islam sendiri mesti sedar, jika sekiranya sesuatu persoalan melibatkan hukum yang bersifat pentadbiran maka sarjana yang tidak mempunyai kuasa boleh mengupas tetapi hanya sebagai sumbangan idea sahaja. namun demikian dalam perkara yang tidak melibatkan persoalan pentadbiran maka pandangan sarjana lain boleh dikira sebagai satu pendapat yang boleh diamalkan oleh masyarakat. Pendapat ini saya rasakan lebih sesuai demi menyemarakkan budaya ilmu yang memerlukan garapan dari para sarjana dengan tidak menghadkan kepada beberapa individu sahaja.

Pandangan anda dihargai

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *