Potong kuku dan rambut sebelum berkorban

Saya rasa walaupun agak terlambat, tetapi saya akan meghabiskan kupasan saya tentang persoalan diatas. Ramai yang bertanya soalan dalam masaalah ini, kawan-kawan pun minta saya buat sedikit pencarian, ramai yang kurang tahu tentang hukum berkaitan. Selain itu akhir-akhir ini ramai pula penceramah yang mengulas hukum ini sehingga ada juga yang membuat penggumuman pada majlis perkumpulan seperti lepas solat Jumaat dan lain-lain. Mengapa pula persoalan yang sama kurang terkenal sebelum ini? Apakah ianya berdasarkan hadis sahih? Apakah ianya haram dan melakukannya berdosa?

Persoalan tentang mengapa hukum memotong kuku dan rambut kurang diketahui umum disebabkan oleh dua kemungkinan.
Pertama kerana pengetahuan agama orang kita rata-ratanya hanya berkisar dalam beberapa persoalan sahaja. Akhir-akhir ini kupasan hukum-hakam makin melebar dan bersifat pelbagai. Kemungkinan kedua ialah boleh jadi para ulamak kita terdahulu melihat perbuatan itu tidak menjadi masaalah lalu mereka tidak mengupasnya.

Terdapat 2 hadis yang menjadi perbincangan ulamak dalam bab ini.

Hadis pertama ialah hadis Ummu Salamah yang diriwayatkan oleh Muslim:إذا رأيتم هلال ذي الحجة، وأراد أحدكم أن يضحي فليمسك عن شعره وأظفاره

Maksudnya:Apabila kamu melihat anak bulan Zulhijjah dan kamu mahu berkorban, maka hendaklah dia menahan dirinya dari membuang rambut dan kukunya

Hadis kedua ialah hadis Aisyah yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim:

كنت أفتل قلائد هدي رسول الله، ثم يقلدها بيده، ثم يبعث بها،
ولا يحرم عليه شيء أحلَّه الله
له حتى ينحر الهدي

Maksudnya:
Aisyah berkata: Aku pernah membawa binatang yang mahu dikorbankan oleh Rasulullah s.a.w. kemudian Rasulullah membawanya sendiri ke Kaabah, baginda tidak mengharamkan keatas dirinya sesuatupun apa yang Allah halalkan sehinggalah dia berkorban.

Inilah dua hadis yang menjadi punca perbincangan ulamak. Setelah membaca pendapat-pendapat ulamak yang bercanggahan, saya dapati mereka terbahagi kepada tiga kumpulan

1- Ulamak yang menganggap memotong kuku dan rambut adalah haram bagi orang yang mahu berkorban, bila masuk 1 Zulhijjah. Antara orang yang berpendapat demikian ialah Imam Ahmad, Ibnu Hazm al Zahiri dan lain-lain.

2-Ulamak yang menganggap sunat tidak memotong dan makruh berbuat demikian. Orang yang berpendapat demikian ialah Imam Maliki, Syafie dan lain-lain.

3-Ulamak yang menganggap harus untuk meninggalkan atau memotong kuku dan rambut. Orang yang berpendapat demikian ialah Imah Abu Hanifah.

Mengapa para ulamak bersalahan pendapat?

Jawapannya ialah kerana beberapa sebab, saya tidak akan menyatakan kesemua sebab kerana ianya melibatkan perbincangan yang mendalam dan memerlukan pengetahuan yang agak mendalam dalam usul fiqh dan ulum hadis. Saya hanya akan menyatakan sebab yang mudah difahami oleh orang awam sahaja

Sebab-sebab tersebut ialah:

1-Sebahagian ulamak menolak hadis pertama diatas, hadis yang diriwayatkan oleh Muslim itu dianggap daif oleh mereka kerana menganggapnya hadis mauquf. Oleh itu mereka tidak beramal dengan hadis pertama, membuatkan mereka menganggap perbuatan tersebut tidak haram dan tidak makruh. Para pentahkik menganggap hadis ini adalah sahih.

2-Sebahagian ulamak menganggap hadis pertama telah dimansuhkan oleh hadis kedua dan begitulah sebaliknya.

3-Para ulamak bersalahan pendapat apakah larangan dalam hadis pertama bersifat haram atau bersifat makruh?

Dr Yusuf al Qardawi menganggap perbuatan itu hanyalah makruh tanzih dan tidak perlu diperketatkan kepada masyarakat. Saya menganggap pendekatan ini lebih tepat memandangkan ianya hukum yang diperselisihkan dan pandangan mazhab yang diamalkan sekarang telah memadai. Apa yang diperlukan oleh masyarakat sekarang bukanya hukum yang memberatkanmereka, bahkan mereka perlukan sesuatu yang lebih bersifat mudah. Apabila hukum yang mudah dan berdiri daiatas dalil yang kuat maka saya akan memilih hukum tersebut.

Selain itu saya juga ingin berpesan kepada para penceramah supaya tidak mengambil mudah soal hukum, ada yang bila membaca hadis tersebut dalam sahih Muslim terus mewajibkan perbatan itu kepada masyarakat tanpa menyelidik apakah perbincangan ulamak dalam bab ini.

Mengupas hukum hakam tidaklah semudah 1,2,3…terus keluar hukum, dengan hanya mendapati hadis tersebut dalam sahih Muslim masih belum mencukupi, lihatlah paling kurang kitab syarah. Ibnu Hajar mengupas isu ini dalam kitabnya Fathul Bari. Kealpaan dalam mengkaji telah menyebabkan kita mewajibkan kepada masyarakat sesuatu yang kita anggap penting sedangkan hanyalah isu yang diperselisihkan oleh ulamak semenjak zaman silam lagi.

Pandangan anda dihargai

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *