Tafsir Surah ‘Ali Imran 2

Tafsir Surah Ali Imran: Ayat 69-73

وَدَّت طَّائِفَةٌ مِّنْ أَهْلِ الْكِتَابِ لَوْ يُضِلُّونَكُمْ وَمَا يُضِلُّونَ إِلاَّ أَنفُسَهُمْ وَمَا يَشْعُرُونَ
يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لِمَ تَكْفُرُونَ بِآيَاتِ اللَّهِ وَأَنتُمْ تَشْهَدُونَ
يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لِمَ تَلْبِسُونَ الْحَقَّ بِالْبَاطِلِ وَتَكْتُمُونَ الْحَقَّ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ
وَقَالَت طَّائِفَةٌ مِّنْ أَهْلِ الْكِتَابِ آمِنُواْ بِالَّذِيَ أُنزِلَ عَلَى الَّذِينَ آمَنُواْ وَجْهَ النَّهَارِ وَاكْفُرُواْ آخِرَهُ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
وَلاَ تُؤْمِنُواْ إِلاَّ لِمَن تَبِعَ دِينَكُمْ قُلْ إِنَّ الْهُدَى هُدَى اللَّهِ أَن يُؤْتَى أَحَدٌ مِّثْلَ مَا أُوتِيتُمْ أَوْ يُحَاجُّوكُمْ عِندَ رَبِّكُمْ قُلْ إِنَّ الْفَضْلَ بِيَدِ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَن يَشَاء وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ
يَخْتَصُّ بِرَحْمَتِهِ مَن يَشَاء وَاللَّهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيمِ
وَمِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ مَنْ إِن تَأْمَنْهُ بِقِنطَارٍ يُؤَدِّهِ إِلَيْكَ وَمِنْهُم مَّنْ إِن تَأْمَنْهُ بِدِينَارٍ لاَّ يُؤَدِّهِ إِلَيْكَ إِلاَّ مَا دُمْتَ عَلَيْهِ قَائِمًا ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ قَالُواْ لَيْسَ عَلَيْنَا فِي الأُمِّيِّينَ سَبِيلٌ وَيَقُولُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ وَهُمْ يَعْلَمُونَ

بَلَى مَنْ أَوْفَى بِعَهْدِهِ وَاتَّقَى فَإِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَّقِين

Maksudnya:

[69]
Segolongan dari Ahli Kitab suka dan berangan-angan kiranya mereka dapat menyesatkan kamu; padahal mereka tidak akan menyesatkan melainkan dirinya sendiri, dan mereka pula tidak menyedari (akibat yang buruk itu).

Orang beriman perlu sedar, sebahagian orang bukan Islam mempunyai hubungan baik dengan orang Islam. Mereka tidak menaruh dendam dan membenci kita, namun demikian sebahagian pula tidak begitu, kita mesti peka dengan usaha-usaha menyebarkan kesesatan dan kemaksiatan dalam masyarakat Islam. Ketika para sahabat bersemangat mengamalkan Islam mereka diberikan gesaan oleh Allah supaya berhati-hati. Salah satu sifat buruk ialah menyebarkan kesesatan.

Di zaman ini penyebaran maksiat dan kesesatan mungkin telah dilakukan oleh orang yang mengaku Islam sendiri. Sudah tentulah sifat ini sifat yang tercela dan mendapat kemurkaan Allah. Rasulullah menerangkan bahawa sifat orang Islam ialah bila melihat kemungkaran maka mereka akan mencegahnya. Perlu diingatkan juga bahawa kemungkaran yang dimaksudkan oleh Allah ialah segala bentuk penyelewengan dalam segenap sudut kehidupan manusia samada kemungkaran sosial, kemungkaran politik dan kemungkaran ekonomi. Kemungkaran individu atau organisasi kemungkaran yang dilakukan oleh rakyat atau dilakukan oleh pemerintah.

Satu lagi sifat buruk bani Israel ialah kufur dan engkar dengan kebenaran walaupun mengetahui hakikatnya
[70]
Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu kufurkan (ingkarkan) ayat-ayat keterangan Allah padahal kamu menyaksikan kebenaranNya?

Bani Israel dianggap oleh Allah mengetahui ayat kebesaran Allah kerana mereka mendengar dan mempercayai cerita nabi-nabi terdahulu. Mereka telah mengetahui cerita kehancuran yang menimpa kaum-kaum yang menentang Allah. Dalam masa yang sama mereka tetap kufur dan engkar dengan ajaran nabi Muhammad.

Umat Islam diingatkan dengan sifat buruk ini. Seseorang yang melakukan kesalahan dan kesilapan kerana tidak sengaja dan jahil mungkin dimaafkan. Sabda Rasulullah bermaksud Seseorang itu tidak dikira bersalah jika dia berada dalam tiga situasi
1-Ketika tidur sehinggalah dia jaga
2-Ketika kanak-kanak sehinggalah dia dewasa
3-Ketika gila sehinggalah dia kembali siuman.

Kesemua situasi diatas dimaafkan oleh Allah kerana manusia tidak dapat menggunakan minda dan ilmunya untuk menimbang antara baik dan buruk. Sementara orang yang waras, mengetahui dan dapat membezakan kebenaran dan kesalah jika masih melakukan kekufuran dan kesalahan maka itu buktinya kejahatan tersebut berpunca dari hatinya.

Selain itu, salah satu sifat yang boleh memusnahkan kehidupan individu dan masyarakat ialah apabila gololongan berilmu tidak bertanggungjawab. Sifat ini telah berlaku dalam masyarakat Bani Israil.

[71]
Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu campur adukkan yang benar dengan yang salah, dan kamu pula menyembunyikan kebenaran padahal kamu mengetahuinya?

Sifat buruk ini jika diamalkan oleh masyarakat Islam maka mereka juga akan binasa sepertimana binasanya masyarakat Bani Israel. Sifat menyembunyikan kebenaran dan fakta, lalu bertindak mengikut kepentingan diri dan kumpulan akan menghancurkan individu dan masyarakat. Jika kebenaran disembunyikan maka orang yang salah akan terlepas dan orang yang tidak bersalah akan dihukum. Jika fakta dan kebenaran disembunyikan nescaya manusia akan hidup dalam ketakutan kerana bahaya akan berada dimana-mana. Kita pernah melihat bagaimana bahan berbahaya milamin terdapat dalam susu. Ini kerana ada pihak yang menyembunyikan kebenaran. Kebenaran bukan sahaja perkara agama tetapi semua kebenaran dalam segenap kehidupan manusia.

[72]
Dan berkatalah segolongan dari Ahli Kitab (sesama sendiri): “Berimanlah kamu kepada Al-Quran yang diturunkan kepada orang-orang yang beriman itu: pada sebelah pagi, dan kufurlah (ingkarlah) pada petangnya, supaya mereka (merasa ragu-ragu, lalu) kembali menjadi kafir semula”.

Dalam perkara yang melibatkan perinsip hidup umat Islam disuruh supaya berterus terang dan bertegas. Jangan jadi seperti orang-orang Yahudi yang sanggup berpura-pura beriman sedangkan mereka kufur. Sifat berpura-pura adalah sifat yang keji. Lantaran itu Islam membahagikan orang yang kufur kepada dua jenis: pertama kufur yang zahir dan kedua kufur yang tersembunyi iaitu munafiq.

Sifat munafik mungkin boleh mengenai orang Islam bila mereka sanggup berpura-pura. Ada orang yang berpura-pura baik bagi mendapat sesuatu manafaat seperti sokongan orang, belas kasihan, bantuan dan sebagainya. Walaupun sifat kepura-puraan itu tidak menyebabkan kekufuran tetapi masyarakat umat Islam yang dipenuhi dengan sifat ini akan menjadi tidak berwibawa dan lemah.


Pandangan anda dihargai

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *