Tafsir Jumaat: Surah Ali Imran 78-82

78-

وَإِنَّ مِنْهُمْ لَفَرِيقًا يَلْوُونَ أَلْسِنَتَهُم بِالْكِتَابِ لِتَحْسَبُوهُ مِنَ الْكِتَابِ وَمَا هُوَ مِنَ الْكِتَابِ وَيَقُولُونَ هُوَ مِنْ عِندِ اللَّهِ وَمَا هُوَ مِنْ عِندِ اللَّهِ وَيَقُولُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ وَهُمْ يَعْلَمُونَ

79-

مَا كَانَ لِبَشَرٍ أَن يُؤْتِيَهُ اللَّهُ الْكِتَابَ وَالْحُكْمَ وَالنُّبُوَّةَ ثُمَّ يَقُولَ لِلنَّاسِ كُونُواْ عِبَادًا لِّي مِن دُونِ اللَّهِ وَلَكِن كُونُواْ رَبَّانِيِّينَ بِمَا كُنتُمْ تُعَلِّمُونَ الْكِتَابَ وَبِمَا كُنتُمْ تَدْرُسُونَ

80-

وَلاَ يَأْمُرَكُمْ أَن تَتَّخِذُواْ الْمَلائِكَةَ وَالنَّبِيِّينَ أَرْبَابًا أَيَأْمُرُكُم بِالْكُفْرِ بَعْدَ إِذْ أَنتُم مُّسْلِمُونَ

81-

وَإِذْ أَخَذَ اللَّهُ مِيثَاقَ النَّبِيِّينَ لَمَا آتَيْتُكُم مِّن كِتَابٍ وَحِكْمَةٍ ثُمَّ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مُّصَدِّقٌ لِّمَا مَعَكُمْ لَتُؤْمِنُنَّ بِهِ وَلَتَنصُرُنَّهُ قَالَ أَأَقْرَرْتُمْ وَأَخَذْتُمْ عَلَى ذَلِكُمْ إِصْرِي قَالُواْ أَقْرَرْنَا قَالَ فَاشْهَدُواْ وَأَنَاْ مَعَكُم مِّنَ الشَّاهِدِينَ

82-

فَمَن تَوَلَّى بَعْدَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

Allah menceritakan lagi kepada kita umat Islam keburukan yang dilakukan oleh Bani Israel, keburukan yang dibentangkan kali ini juga melibatkan amanah.

Jika dalam ayat lepas Allah menerangkan hilangnya amanah dalam hubungan muamalat maka kali ini Allah menerangkan pula bahawa amanah ilmu juga telah dilanggar oleh Bani Israel.


[78]
Dan sesungguhnya, di antara mereka (Ahli Kitab itu) ada yang memutar-mutar lidahnya semasa membaca Kitab Taurat (dengan mengubah maknanya), supaya kamu menyangkanya sebahagian dari Kitab Taurat padahal ia bukanlah dari Kitab itu. Dan mereka pula berkata: “(bahawa) ia adalah (datangnya) dari sisi Allah”, padahal ia bukanlah dari sisi Allah; dan mereka pula tergamak berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta).

Allah mendedahkan teknik penyelewengan ilmiah yang berlaku:
1- Mereka mentafsirkan Kitab Taurat dengan makna yang salah dan mengaburi masyarakat.
2-Mereka mereka-reka sesuatu yang tidak ada dalam agama lalu mendakwa ianya adalah dari Allah.

Kejahatan golongan peniaga melanggar amanah dalam muamalat akan meruntuhkan ekonomi, sementara kejahatan golongan agama melanggar amanah ilmu akan meruntuhkan pegangan agama masyarakat.

Kebiasaannya sifat tidak amanah dikaitkan dengan orang yang tidak berilmu, mengapa pula ulamak juga boleh terkena dengan penyakit yang merbahaya ini? Jawapannya ialah kerana ketaqwaanlah yang menjadi fokus sebenar. Ilmu pula adalah penunjuk jalan. Jika orang berilmu boleh terpesong maka alangkah senangnya bagi orang yang tidak berilmu untuk terpesong lebih jauh lagi.

Apabila ketaqwaan yang tersimpan dalam hati sudah tidak ada, maka agama juga boleh dipergunakan oleh seseorang untuk mencapai kepentingan peribadinya.

Agama yang pada dasarnya menjadi alat untuk mendekatkan diri kepada Allah akan dipergunakan untuk mendapat tujuan keduniaan.

Melalui kedua-dua teknik yang dilakukan oleh Bani Israil itu tadi, dapat juga dibayangkan bahawa orang yang melanggar amanah ilmu itu sebenarnya ialah orang-orang yang jahil.

Ini kerana mereka telah mentafsirkan kitab Taurat denan maknanya yang tidak sebenar!! Mungkin sebenarnya jahil, tidak berilmu, tetapi disebabkan kepentingan tertentu cuba juga mentafsirkan kitab kerana mereka disangka oleh orang-orang yang jahil sebagai ulamak.

Orang-orang yang yang jahil juga dengan mudah boleh mereka apa-apa sahaja yang mengguntungkan mereka lalu dikatakan ianya dari ajaran agama.

Sekarang ini kita semakin faham mengapa Allah telah mengubah kenabian yang semenjak sekian lama dipilih dari kalangan Bani Israel tetapi ditukar kepada bangsa Arab. Kita telah mula faham sabab musababnya ialah kerana Bani Israel telah kehilangan hemah, akhlak dan kemuliaan.

Mana sahaja bangsa yang tidak memiliki hemah, akhlak dan kemuliaan maka mereka tidak layak untuk menerajui dunia, inilah sunah alam yang berlaku disepanjang zaman.

Beberapa penyelwengan jenis ini, telah berlaku juga dalam kehidupan umat Muhammad. Kalaulah tidak kerana jaminan Allah bahawa umat inilah yang akan mewarisi bumi ini, maka sudah tentu mereka juga telah menemui kehancuran sebagaimana Bani Israel.

Lahirnya berbagai ajaran sesat yang bermula dengan dakwaan kenabian, rekaan hadis-hadis palsu, penyebaran amalan bidah, penggunaan agama untuk kepentingan puak, pangkat dan kedudukan. Ianya berlaku disepanjang sejarah umat Muhammad.

Namun apa yang membezakan umat ini dari Bani Israel ialah umat Muhammad tidak sepakat dalam kejahatan dan maksiat. Akan tetap ada orang yang bangkit dari umat ini untuk memerangi segala penyelewengan yang berlaku terhadap agama tercinta ini. Kesan dari pendirian sebahagian orang yang sanggup menegakkan kebenaran ialah umat ini tetap terpelihara dari kehancuran yang menyeluruh.

Namun demikian dari semasa kesemasa timbul juga percuabaan mempergunakan agama walaupun tidak sampai ketahap Bani Israel. Antara peristiwa yang terakhir berlaku ialah apabila kerajaan Mesir telah menggunakan fatwa al Azhar untuk membenarkan perbuatan pihak berkuasa membina tembok disempadan Mesir Palestin bagi mengepung rakyat Palestin. Walau bagaimanapun ulamak dan orang-orang Islam seluruh dunia membantah tindakan dan fatwa yang dianggap satu pembohongan dan pencerobohan terhadap hak kemanusiaan dan kesucian Islam.

Di Malaysia, saya melihat perbuatan memperniagakan air-air jampi dan doa, perbuatan memperniagakan barangan makanan yang didakwa mengandungi jampi dan bacaan quraan tertentu termasuk dalam ertikata penyelewengan terhadap agama dan satu penggunaan terhadap kitab Allah atas tujuan keduniaan.

Penjualan kopi dan teh misalnya yang mempunyai unsur agama seperti gambar orang sedang berdoa atau solat adalah percubaan pemasaran yang kotor dan keji kerana menipu masyarakat yang jahil seolah-olahnya kopi dan teh tersebut termasuk dalam urusan keagamaan yang dituntut oleh Islam. Hasil yang sebenarnya ialah keuntungan yang melimpah ruah kepada ‘ulamak-ulamak Bani Israel’ yang sedang memperdagangkan agama mereka.

Selain itu, terdapat para penceramah, penganalisa dan berbagai nama lagi yang dengan tidak segan-segan mengupas dan mengulas perkara berkaitan agama sedangkan merka tidak mempunyai keahlian dalam urusan tersebut.

Amanah ilmiah sebenarnya bukan sahaja perlu ditekankan dalam persoalan keagamaan, tetapi dalam semua bidang, kediktoran, kejuruteraan, ekonomi dan sebagainya. Akibat nasihat dan consultasi yang bersifat tidak amanah dan berkepentingan peribadi, syarikat-syarikat besar dan pentadbiran negara sendiri akan musnah.

Semasa saya belajar subjek Strategic Management, pensyarah yang bepengalaman dalam bidang korporat berkata, ramai CEO yang bila masuk kesesebuah syarikat mula merangka strategi untuk membuat keuntungan peribadi, apabila mereka meninggalkan syarikat yang diterajui, syarikat mengalami kerugian besar sementara poket mereka sarat berisi emas.

Di zaman Rasulullah, orang-orang Yahudi Bani Najran datang berjumpa Rasulullah dan cuba bertolak ansur dengan baginda. Mereka ingin merasuah baginda s.a.w. dengan kuasa agama, kuasa yang sering dikejar-kejar oleh manusia selepas kuasa politik. Mereka menawarkan untuk menyembah baginda.

Penegasan terhadap kesucian Islam ditetapkan oleh Allah, menjelaskan bahawa Rasulnya s.a.w. adalah manusia yang bukan mengejar kuasa agama sebagaimana yang disangkakan.

[79
]
Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab ugama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai: “Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah”. Tetapi (sepatutnya ia berkata): “Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala – dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya.

[80]
Dan ia tidak pula patut menyuruh kamu menjadikan malaikat dan Nabi-nabi sebagai tuhan-tuhan. Patutkah ia menyuruh kamu dengan kekufuran sesudah kamu menjadi orang Islam?

Para nabi dan rasul adalah orang-orang yang menjaga amanah, mereka tidak mempergunakan agama untuk tujuan peribadi, mereka tidak menjadikan taraf kenabian untuk mendapat kuasa dan pangkat, meraka menjaga amanah tersebut kerana mereka telah menerimanya dari Allah sebagai tanggungjawab yang dipersoalkan.

[81]Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia dari Nabi-nabi (dengan firmanNya): “Sesungguhnya apa jua Kitab dan Hikmat yang Aku berikan kepada kamu, kemudian datang pula kepada Kamu seorang Rasul yang mengesahkan apa yang ada pada kamu, hendaklah kamu beriman sungguh-sungguh kepadanya, dan hendaklah kamu bersungguh-sungguh menolongnya”. Allah berfirman lagi (bertanya kepada mereka): “Sudahkah kamu mengakui dan sudahkah kamu menerima akan ikatan janjiku secara yang demikian itu?” Mereka menjawab: “Kami berikrar (mengakui dan menerimanya)”. Allah berfirman lagi: “Jika demikian, maka saksikanlah kamu, dan Aku juga menjadi saksi bersama-sama kamu.”

[82]Kemudian sesiapa yang berpaling ingkar sesudah mengakui perjanjian setia itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.

Pandangan anda dihargai

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *