Undang-undang Jenayah Islam (1)

 

 

Definisi Jenayah:

Jenayah berasal dari perkataan bahasa arab yang bermaksud perbuatan dosa. Manakala dari sudut istilah syarak, perkataan jenayah atau jarimah mempunyai dua maksud:

Maksud pertama:

Mengandungi makna umum iaitu segala perlakuan yang melanggar perintah Allah atau larangannya. Jenayah dalam makna ini bermaksud maksiat, kerana sifatnya yang umum iaitu sama ada kesalahan tersebut ditentukan hukum di dunia atau tidak.

Contoh perbuatan yang dikategorikan dalam perbuatan maksiat ialah mengumpat. Namun demikian mengumpat tidak dikenakan sebarang balasan dan tidak ada sebarang pendakwaan atas kesalahan tersebut.

Maksud kedua:

Melakukan sesuatu kesalahan yang hukumannya telah ditentukan oleh syarak dan mestilah diadili serta menjadi tanggungjawab pihak pemerintah atau pihak berkuasa melaksanakannya.

Jenayah dalam takrif ini tidak termasuk kesalahan mengumpat kerana kesalahan itu tidak ditentukan balasannya oleh syarak.

Contoh bagi kesalahan jenayah yang dimaksudkan di sini ialah mencuri, membunuh, merompak dan sebagainya. Bagi setiap kesalahan yang disebutkan ini, ia mengandungi hukuman yang telah ditetapkan oleh ajaran Islam. Hukuman yang dimaksudkan di sini ialah hukuman keduniaan. Adapun hukuman di akhirat maka ia menjadi hak Allah Taala, sementara itu manusia tiada hak mengadili dan mencampuri urusan tersebut.

Berdasarkan apa yang telah dibincangkan sebentar tadi, para ulama Fiqh telah mentakrifkan jenayah sebagai:

Setiap apa yang ditegah oleh syarak daripada melakukannya dengan mengenakan hukuman pada perbuatan tersebut sama ada hukuman Hudud atau hukuman Takzir.

Maksud dengan tegahan syarak dalam takrif di atas ialah melakukan perkara yang ditegah atau meninggalkan perkara yang disuruh.

Kesalahan yang dikenakan hukuman pula disifatkan dengan setiap kesalahan yang mencemari hukum syarak dengan mengamalkan mana-mana perkara yang dianggap salah menurut kaca mata Islam. Seperti yang diketahui umum, Islam mempunyai cara tersendiri dalam menentukan sesuatu perkara itu sama ada perkara baik atau buruk. Sistem ini merujuk kepada cara penentuan hukum menurut ajaran Islam.

Pandangan anda dihargai

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *