Undang-undang Jenayah Islam (3)

Definisi Hukuman:

Kenyataan yang dimaksudkan dengan ‘hukuman’ di sini ialah mana-mana tindakan yang di tetapkan oleh syarak terhadap orang yang melakukan sesuatu jenayah kesalahan.

Ianya merupakan balasan terhadap sebarang bentuk perlakuan yang menyalahi syarak, peraturan masyarakat dan apa jua pelanggaran peraturan yang ditetapkan. Hukuman ini dikenakan bagi menghalang seseorang itu dari terus melakukan kesalahan tersebut serta ia juga bertujuan bagi menegakkan keadilan terhadap mangsa yang dicerobohi tersebut.

Hukuman mengikut hukum syarak boleh diklasifikasikan seperti berikut:

1- Hukuman yang ditetapkan kadarnya.

Ketetapan bagi setiap kadar hukuman bagi kesalahan jenayah ini akan diambil sama ada daripada dalil al-Quran, hadis Nabi ataupun kesepakatan ulama yang dinamakan juga sebagai ijmak. Hukuman jenis ini dibahagikan kepada dua bahagian iaitu:

1. Hukuman Qisas; dan,

2. Hukuman Hudud.

Hukuman Qisas ialah hukuman yang dikenakan kerana sebarang pencerobohan terhadap diri seseorang individu itu seperti mencederakan anggota badan mangsa atau membunuhnya.

Manakala hukuman Hudud pula ialah hukuman-hukuman yang telah ditetapkan oleh syarak terhadap sesuatu kesalahan jenayah berat. Oleh itu, jenayah Hudud yang telah ditetapkan itu adalah seperti berikut:

i) Murtad iaitu orang yang keluar dari agama Islam, sama ada dengan perbuatan atau dengan perkataan, atau dengan iktiqad kepercayaan.

ii) Berzina iaitu melakukan persetubuhan haram tanpa nikah yang sah mengikut hukum syarak.

iii) Qazaf atau menuduh seseorang berzina, iaitu membuat tuduhan zina ke atas orang yang baik lagi suci atau menafikan keturunannya (seperti mengatakan anak zina dan sebagainya) dan tuduhan itu tidak dapat dibuktikan dengan empat orang saksi.

iv) Minum arak atau sebarang minuman yang memabukkan, sama ada sedikit atau banyak, mabuk atau tidak.

v) Mencuri iaitu memindahkan secara tersembunyi harta dari jagaan atau milikan tuannya tanpa persetujuan tuannya dengan niat untuk menghilangkan harta itu dari jagaan atau milikan tuannya.

vi) Merompak iaitu keluar seseorang atau sekumpulan orang yang bertujuan untuk mengambil harta orang lain, membunuh atau menakutkan dengan cara kekerasan.

vii) Penderhaka (Bughah) atau pemberontak iaitu segolongan umat Islam yang melawan atau menderhaka kepada Ulul Amr (pemerintah Islam).

2- Hukuman yang tidak ditetapkan kadar dan caranya.

Hukuman yang tidak ditetapkan kadar dan cara pelaksanaan hukumannya dinamakan Hukum Takzir. Hukuman jenis ini tidak ditentukan oleh Islam dan ianya dikenakan terhadap mana-mana kesalahan yang hukumannya tidak dinyatakan oleh syarak secara tetap dan pasti.

Hukuman ini terserah kepada budi bicara pemimpin atau hakim yang dilantik untuk mengendalikan hukumannya kepada para pesalah tersebut. Hukum Takzir ini juga perlulah mengikut syarat-syarat utamanya, antaranya mestilah bertujuan menjaga kepentingan masyarakat awam dan tunduk dengan kaedah-kaedah umum perundangan Islam.

Secara ringkasnya hukum-hukum jenayah Islam terbahagi kepada tiga bahagian utama iaitu:

  1. Hukum Hudud
  2. Hukum Qisas
  3. Hukum Takzir
Pandangan anda dihargai

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *