Undang-undang Jenayah Islam (4)

Mengapa Syarak Menetapkan Hukuman Hudud Dan Tidak Memperincikan Hukuman Takzir?

Islam telah bertindak menentukan dengan jelas jenis-jenis jenayah Hudud serta Qisas dan memperincikan hukuman yang mesti dikenakan terhadap sesuatu jenayah tersebut. Penentuan dan perincian itu bertujuan menghalang jenayah yang lebih berat dilakukan kerana ia boleh mengganggu sistem kekeluargaan, sistem pemilikan, sistem kemasyarakatan dan sistem kehakiman Islam sendiri.

Sistem-sistem ini dilaksanakan demi menjaga kepentingan hidup dan kebahagiaan manusia. Ia amat berkait rapat dengan tugas utama Islam iaitu menjaga kesucian agama, nyawa, akal, kehormatan dan harta benda mereka. Hukuman bagi jenayah murtad bertujuan menghalang dari perpecahan dalam konteks perpaduan masyarakat Islam.

Hukuman bagi jenayah bunuh adalah untuk menjaga nyawa orang lain, hukuman bagi peminum arak adalah untuk memelihara akal manusia, hukuman bagi jenayah zina pula adalah untuk menjaga kehormatan dan memelihara nasab keturunan yang baik dan hukuman bagi jenayah mencuri pula adalah bertujuan menjaga harta dan hak pemilikan individu dalam sesebuah masyarakat.

Selain itu, jenayah yang dikategorikan dalam jenayah Hudud dan Qisas merupakan jenayah yang biasa berlaku dalam masyarakat serta memberikan kesan secara langsung terhadap ketenteraman dan kebahagiaan mereka.

Jenayah-jenayah yang telah ditetapkan jenis dan hukumannya juga merupakan jenayah yang tidak berubah dari aspek modus operandinya. Apa yang berbeza antara masyarakat dahulu dan masyarakat moden ialah alat dan cara perlakuannya sahaja. Oleh itu, setiap tindakan syarak dalam menetapkan jenis jenayah dan hukuman tidak akan menimbulkan sebarang kekeliruan kepada umat Islam, bahkan akan membantu mereka menyelesaikan masalah dengan lebih sempurna.

Adapun jenayah selain jenayah Hudud dan Qisas tidak ditentukan secara terperinci oleh Islam kerana tabiat jenayah itu sangat berkait rapat dengan peredaran zaman. Jika ditentukan sudah tentu akan menimbulkan masalah kepada pihak pentadbir dan anggota masyarakat.

Sekali imbas didapati setiap hukuman yang ditetapkan oleh Islam kelihatan kejam dan tidak berperi kemanusiaan. Namun pada hakikatnya ia bertujuan menyelesaikan masalah dalaman masyarakat. Setiap jenayah ini akan terus menular dan menjadi ‘barah’ dalam sesebuah masyarakat jika tidak di atasi dengan sebaiknya. Apatah lagi, jika ia tidak diselesaikan menerusi ketetapan syarak yang tulen dari si Maha Pencipta.

Keberkesanan undang-undang jenayah Islam dapat dilihat dengan jelas apabila masyarakat dunia mengalami masalah peningkatan jenayah yang tidak terkawal setelah mereka meminggirkan hukum Allah. Ini semua disebabkan oleh hukuman dalam Islam bertujuan mencegah berlakunya jenayah, memberikan ‘amaran’ kepada anggota masyarakat dari terus terlibat melakukannya dan bukan bersifat menghukum pesalah semata-mata.

Contohnya, jenayah kecurian adalah satu jenayah yang paling tinggi statistiknya di dalam semua negara di dunia ini. Tetapi, jika disoroti kepada beberapa buah negara yang menjalankan pelaksanaan hukuman Hudud terhadap kes kecurian tersebut seperti di Arab Saudi dan Sudan suatu ketika dahulu. Hukuman potong tangan bagi jenayah kecurian yang berlaku di kedua buah negara tersebut, tidak melebihi 15 kes setahun. Sedangkan bagi negara yang tidak mengamalkannya, 15 kes kecurian dan rompakan dalam masa sehari adalah suatu perkara biasa.

Di Afrika Selatan contohnya, kes rogol berlaku 6 kes setiap jam dan diklasifikasikan antara kes jenayah seksual tertinggi di dunia. Tetapi kes-kes jenayah seksual sebegini yang membawa hukuman mati di sebahagian negara umat Islam tidak mencapai 20 kes dalam masa setahun.

 

Pandangan anda dihargai

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *