Bagaimana berhubung dengan khazanah ilmu silam??

Khazanah ilmu silam merupakan gedung yang penuh dengan timbunan garapan ilmu yang kita warisi dari generasi terdahulu, generasi yang telah melakukan tugas mereka menggali, memproses dan mengeluarkan hasil bahkan telah memasarkan produk mereka untuk dimanfaatkan oleh ramai manusia.

Terdapat tiga aliran utama yang boleh dilihat dengan jelas bila berbincang tentang bagaimana berhubung dengan khazanah silam.
1- Aliran yang menerima bulat-bulat apa yang tingggalkan oleh orang terdahulu, mereka terdiri dari pengkagum khazanah silam yang sebenarnya mewarnai keiklasan dengan ketaksuban. Kagum dengan juhud sabiqin yang sememangnya hebat, tetapi tidak berakhlak dengan akhlak mereka yang kritis, berlapang dada dan mauduiyyah.
2-Aliran yang menolak apa sahaja yang ditinggalkan oleh sarjana terdahulu dengan meletakkan seribu satu macam alasan, yang penting bagi mereka pencarian ilmu silam berada pada landasan yang kabur dan penuh dengan dhabab. Jika aliran pertama terjelma dalam taksub yang dilingkari dengan sesuatu kumpulan, seringkali pula sifat kedua berlaku kepada orang yang sama, tetapi ketika mereka berinteraksi di luar kelompok mereka. Ini bermakna penolakan mutlak akan berlaku kepada setiap kumpulan yang bukan dari aliran mereka. Pada ketika itu fokus bukan lagi pada kajian dan kebenaran tetapi yang mahu dinobatkan ialah aliran, kumpulan dan mungkin individu tertentu sahaja.
3-Aliran ke tiga ialah aliran yang menceduk di sana sini, melompat dari satu madrasah ke satu madrasah, tanpa mengetahui selok belok ilmu dan keserasian hujah, terbang dalam jubah ijtihad dan tajdid, tetapi sangat miskin dari sudut metod. Acap kali juga terdengar bisikan kalimah ‘maslahah’, ‘talfiq’, ‘masyaqqah’ dialunkan dalam alunan syahdu penuh simpati.
Bagi seorang penuntut di bidang pengajian yang sedang melangkah setapak demi setapak kearah istqlaliah, melihat khazanah dengan jiwa yang lapang adalah syarat terpenting. Sedar bahawa umat Islam telah melalui putaran hukum alam yang sama dengan umat-umat yang lain, oleh itu mereka berusaha sebagaimana berusahanya umat lain, mereka mengkaji, menyelidik, berfikir dan akhirnya mereka membuat keputusan yang bersifat kemanusiaan.
Sedar bahawa khazanah ilmu silam bukanlah maksum (terpelihara) dari kesilapan dan kekurangan sebagaimana maksumnya al-Quran. Contoh yang mudah ialah membaca tafsir Ibnu Katsir bukan bermakna anda membaca al-Quran. Kerana kitab al-Quran datangnya dari Allah sementara seluruh kitab tafsir adalah usaha kemanusiaan yang berdepan dengan kemungkinan benar dan salah.
Membaca kitab Ihya’ Ulumiddin oleh al-Ghazali contohnya mestilah dengan roh membaca hasil kerja seorang manusia. Oleh itu seorang penuntut perlu mengkajinya dengan dada yang lapang dan hati yang terbuka.
Bahkan umat Islam silam pernah menyaksikan kelahiran pereka-pereka hadis palsu, penyebar-penyebar berita bohong dan fatwa-fatwa bersifat kepentingan diri yang bertujuan mendapat habuan dunia. Khazanah Islam silam juga menyimpan karangan dan hasil kerja orang-orang seumpama ini. Hasil kerja mereka juga menyusup masuk kedalam karangan-karangan orang-orang yang ikhlas tetapi lemah penilaiannya.
Perjalanan umat Islam silam juga telah menemui sifat taksub, ego, kepentingan diri, sathiyyah, dengki, terpegung dengan pemikiran asing, saki baki agama asal dan berbagai sifat kemanusiaan lain. Jika tidak rahmat Allah kepada umat ini, sudah tentu nasib mereka sama dengan umat-umat terdahulu.
Ada orang tidak sedar dengan bagaimana terpengaruhnya sebahagian umat Islam silam dengan pemikiran Greek, apabila mereka ingin memartabatkan ‘ilmu islam’ mereka mengambil apa sahaja yang dikataka oleh sarjana terdahulu asalkan mereka Islam sedangkan ada dikalangan sarjana tersebut menceduk dari pemikiran Greek.
Hasil dari kefahaman ini, seorang sarjana akan mengupas perdebatan ulamak silam dan polemik yang mereka lalui sebagai polemik kemanusiaan yang didasari oleh keimanan kepada agama tetapi tidak terlepas dari sifat kemanusiaan. Isu-isu jidal, mazhab, pertikaian hukum dan perbalahan politik semuanya berlaku dalam usaha mereka menghayati agama Allah dalam kontek seorang manusia biasa. Pengalaman mereka sangat berguna kepada kita sebagai panduan tetapi sana ada panduan tertinggi yang sentiasa menjadi teras dan mabadi’
Apa yang saya ingin tekankan di sini ialah pembinaan metod yang baik. Mengetahui bahawa zaman penurunan wahyu adalah zaman paling agung yang perlu dikenal pasti cara dan selok belok mereka menganalisis dan menggarap sehingga para sahabat yang agung mampu menerima kepelbagaian kerana mereka sedar kepelbagaian itu berada dalang rung yang dibenarkan dan datangnya dari mereka yang berkeahlian!!!!
Pandangan anda dihargai

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *