Bagaimana mengelak dari ‘Sathiyyah” (1)

Pemikiran mendatar dan luaran, analisis mudah dan sambil-lewa bukan termaktub untuk mana-mana bangsa dan bukanya takdir yang mahtum. Pemikiran sathiyah tidak mengira siapa, boleh dianuti oleh segenap lapisan masyarakat dan seluruh bangsa. Dan inilah yang biasa terjadi. Mungkin kita juga menggunakan teknik pemikiran ini dalam sebahagian keputusan dan tindakan yang diambil lantaran kekurangan dan kelemahan yang bersifat manusiawi.

Namun, perjuangan seorang manusia ialah untuk membangunkan nilai diri dan akalnya, membangun daya taakul dan fungsi akalnya dari semenjak dia dilahirkan sampailah jasadnya dikembalikan ketempat asal kejadiannya.
‘Fi Kabad’ yang diistilahkan oleh al-Quran itu turut merangkumi mehnah dan perjuangan insan mengenal dan mempelajari. Memuaskan satu tuntutan diri yang bersifat minda dan nashwahnya berlaku dalam menuruti simpang siur maklumat bak rumah ankabut.
Jika begitulah umumnya pemikiran sathiyyah, maka bagaimana pula langkah untuk keluar dari kegelapan ini? Adakah di sana jampi serapah yang boleh menjauhkan penyakit yang boleh mengenai setiap yang bernama manusia? Jawapannya ialah ya dan ya.
Langkah pertama sebagai permulaan, seorang sarjana khususnya mestilah meluaskan pengetahun dalam bidang yang diperkatakan. Jika kita mahu menghukum ke atas Ikhwan Muslimin misalnya. Biarlah kita telah mengetahui tentang kumpulan itu sebaik mungkin. Mengetahui itu pula ada dua macam. Pertama mendengar ulasan orang tentang perkara itu, keduanya menemui sendiri maklumat melalui sumber terdekat.
Contoh yang saya pernah buat ialah bila media menghukum terhadap jamaah al-Arqam. Bila kerajaan mengharamkan kumpulan itu atas dasar ianya bertentangan dengan akidah. Ya, kita dituntut bersangka baik, tetapi kita juga dituntut untuk bertindak jika ada kesilapan.
Maka bacalah tulisan orang tentang al-Arqam, selepas itu bacalah tulisan orang al-Arqam sendiri. Ya sangat berlainan nampaknya dua sumber itu. Akhirnya untuk memastikan lagi apa saya telah mula kumpul maklumatnya ialah saya telah pergi berjumpa dengan Syeikh al-Arqam ketika itu.
Balik dari berjumpa beliau, seorang pengikut al-Arqam yang membawa saya bertanya: Apa pandangan ustaz terhadap al-Asari? Saya kata: Dia sesat.
Percubaan kita untuk mengumpul sebanyak mungkin maklumat dalam perkara yang berkaitan akan memberikan kita maklumat yang lebih tepat dan benar. Akhirnya gambaran sebenar itu membuatkan kita menjatuhkan hukuman yang adil terhadap sesuatu.
Kerana hal ini, golongan akademik yang membuat kajian dan berada di universiti kebiasaannya lebih tepat pandangannya terhadap sesuatu perkara berbanding pembuat keputusan yang berdasarkan tanggapan dan kebarangkalian yang umum. Yang melihat sesuatu masalah dan membuat rumusan mudah. Ini kerana pengkaji profesional memiliki kekuatan metod dan kekuatan budjet yang memungkin mereka menngumpulkan sebanyak mungkin maklumat dan setepat mungkin pengetahun terhadap sesuatu hakikat.
Sayangnya kumpulan ini tidak diketengahkan sebagai ‘orang alim’. ‘pakar rujuk’ dan ‘ikon’ dalam masyarakat. Mereka tenggelam dalam keghairan mengejar ‘orang popular’. Kerugiannya ialah masyarakat tidak diangkat tahap pemikirannya.
Pandangan anda dihargai

Memerangi Sathiyah (2)

Pemikiran sathiyah sebenarnya bertantangan dengan roh al-quran yang mengajak manusia berfikir dan meneliti, merenung dan mengkaji. Afala yatadabbarunal quran….dan banyak sangat ayat yang merujuk kepada berfikir dan menilai. Menilai bukan pada quran sahaja bahkan pada alam semesta.

Ketika membaca baris-baris buku tulisan ِAbbas Mahmud Aqad, seorang penulis Mesir terkenal (W1964) terjumpa pula kupasan beliau terhadap tuntutan berfikir yang dinyatakan dalam al-Quran.
Menurut Aqad, tuntutan berfikir dalam al-Quran bukan hanya untuk membezakan antara orang yang berakal dengan orang gila kerana al-Quran itu sendiri telah ditujukan kepada yang berakal. Oleh itu tuntutan berfikir di situ bermaksud, berfikir diperingkat lebih serius dan bersungguh-sungguh.
Jihad yang agak besar dan rumit buat masa ini ialah bagaimana menyemai sifat suka berfikir dan bagaimana meninggikan laras pemikiran umat Islam. Bagaimana membimbing manusia supaya berfikir dengan cara yang betul untuk menanggapi sesuatu dan bertindak mengikut pemikiran yang betul.
Dengan cara ini sahaja umat Islam akan bangkit menjadi kuasa besar dunia, dan dengan cara ini sahaja tahap penghayatan agama yang lebih baik boleh dicapai. Adapun teknik menggumpul crowd dengan aktiviti agama yang berbaur hiburan, joke dan santai hanya gah pada majlisnya sahaja. Tetapi kesanya hanya sebentar. Ini kerana manusia tidak akan mampu ketawa dengan kata-kata seseorang selama bertahun-tahun. Ketawa, kelakar dan hiburan tidak boleh bertahan lama, ianya dengan segera bertukar menjadi hambar dan membosankan.
Atas sebab inilah umat Islam perlu diajak berfikir dan kerana itulah al-Quran mengajak manusia berfikir. Seorang yang memeluk Islam kerana sebab-sebab kebendaan dan emosi akan berubah kepentingannya bila kepentingan dan perasaan itu berubah. Tapi keimanan yang didasarkan dengan yakinlah yang akan kekal dan keyakinan tidak dapat masuk kedalam hati seseorang kecuali melalui pintu akal.
Selain dari teknik di atas yang kebanyakannya mensasarkan golongan masyarakat umum, tindakan menggumpulkan sebahagian cerdik pandai lalu memenuhkan otak mereka dengan doktrin yang kononnya bersifat muktamad dan kudus lalu menafikan garapan dan percanggahan seterusnya melebelkan setiap aliran bercanggah sebagai sesat dan kufur juga salah satu daripada fenomena sathiyyah.
Dengan itu dapat difahami bahawa pemikiran sathiyah terbentuk kerana adanya penafian terhadap budaya ilmu. Budaya ilmu bersifat menerima sesuatu dengan cara terbuka, berdasarkan penghujahan dan jauh dari ketaksuban. Budaya ilmu mengajar manusia menilai setiap dakwaan tidak kira dari mana datangnya dakwaan itu. Budaya ilmu akan menganalisis sesuatu asas dan maklumat sebelum mengambilnya sebagai satu pegangan.

Azam Tahun Baru 2012: Memerangi Sathiyyah (1)

Cepat masa berlalu, dah hari kedua tahun 2012. Masih ternampak-nampak lagi bagaimana hangatnya orang ramai menyambut tahun 2000. Dah berlalu 12 tahun. Apa yang berubah, apa yang dicapai dan apa yang dihasilkan..???

Bagi saya, ada beberapa target yang perlu dicapai dalam tahun 2012 dan ada juga keinginan yang tidak tahu sejauh mana mampu dicapai. Mungkin bahagian inilah bahan perkongsian kita untuk tulisan kali ini.
Memperkasakan pemikiran masyarakat. Inilah agenda besar yang saya rasakan terlalu kerdil untuk mengucapkannya. Terlalu besar kehendak hati berbanding kemampuan dan kederat yang ada.
Pada pandangan saya, masalah yang membelit warga Malaysia amnya dan orang Melayu khasnya ialah ‘sathiyah‘. Aliran ‘simplismyang malas berfikir, sebaliknya mudah membuat kesimpulan dengan maklumat luaran tanpa kajian dan pengamatan. Menuduh akal sebagai bertentangan dengan agama dan meletakkan emosi sebagai hakim yang menerajui kehidupan.
Pada pandangan saya inilah masalah terbesar masyarakat kita. Bukan golongan awam sahaja yang mengenai penyakit ini, tetapi fenomena ini berada di mana-mana. Bermula dari aktiviti di rumah sehinggalah ke universiti dan bangunan pentadbiran.
Untuk membuktikan dakwaan ini saya perlu mengutarakan sedikit bukti bagaimana simpelnya pemikiran bangsa kita. Ya situasi ini berlaku dalam segenap bidang kehidupan. Dalam pendidikan, pentadbiran, politik dan agama.
Rasanya ramai dikalangan kita yang pernah pergi ke hospital, emm cuba tengok bagaimana ubat diberikan, diberikan dalam plastik kecil bertulis KKM dan berapa kali perlu makan dan berapa biji yang perlu diambil.
Disebabkan masyarakat kita malas berfikir, maka mereka boleh menerima situasi ini. Mereka malas nak tahu jenis ubat dan ramuannya secara lebih mendalam. Mencari maklumat tambahan tentang ubat dan sebagainya kerana semua pemikiran, kajian dan pengetahun tambahan itu telah diserahkan bulat-bulat kepada pihak hospital. Mereka tidak pernah terfikir, bolehkah saya dapat ubat yang lebih berkualiti dari ubat ini, dari mana ubat ini dikeluarkan dll. Bila maklumat-maklumat itu tidak dipaparkan pada ubat yang mereka gunakan, mereka tidak marah, atau rasa terancam.
Dalam situasi lain pula jika sesuatu masalah pribadi berkaitan seseorang seperti ada rakan sepejabat y.ang bercerai misalnya, maka habislah individu itu akan ditelanjangkan, dikupas isunya sampai berminggu lamanya siap dengan berbagai teknik mencungkil rahsia akan digunakan. Semua itu demi memuaskan emosi.
Mereka sanggup membantu rakan yang malang itu demi mendapatkan cerita-cerita sensasi dan sebaik sahaja rahsia habis dicungkil, maka tinggallah mangsa yang malang menanggung derita perceraian dan derita tambahan iaitu malu kerana rahsia rumahtangganya telah ditelanjangi.
Hasil daripada sikap ‘sathiyyah’ ini maka, banyaklah perkara-perkara ‘bodoh’ yang tidak sepatutnya diamalkan oleh masyarakat tetapi subur diamalkan dalam kalangan kita.
Jangan sesekali ingat pemikiran ‘sathiyah‘ ini berlaku kepada golongan bawahan sahaja, bahkan golongan profesional dan berpelajaran juga turut terbelenggu dengan pemikiran mudah dan malas ini. Bahkan sikap kumpulan ini mengundang bahaya pada negara, bangsa dan agama.
Di universiti, para pensayarah menghadapi masalah untuk mengarang buku dengan syarat atau format universiti, ini kerana buku yang ditulis atas format universiti sangat sukar untuk dijual. Biarpun warga universiti berjumlah 10-20 ribu orang bagi setiap universiti, tapi seribu naskah yang dicetak sangat sukar untuk dijual.
Sebaliknya seorang yang menulis dengan tulisan ringan atau cara popular yang tidak bergantung dengan etika ilmiah boleh menjual buku mereka puluhan ribu naskah dalam masa beberapa bulan. Oleh itu saya harap kita jangan terlalu seronok bila melihat orang ramai berpusu-pusu melihat pameran buku kerana buku-buku yang dibaca kebanyakannya tidak bersifat berfikir secara mendalam. Buku-buku itu masih dalam ruang ‘sathiyah‘. (sudah tentu bukan semua tetapi banyaknya macam tu).
Kemalasan berfikir di universiti sangat jelas bila program yang bersifat santai dan jauh dari pemikiran atau kunjungan artis akan dipenuhi oleh studen sementara program ilmiah perlu diramaikan dengan mengeluarkan surat arahan mengandungi perkataan ‘wajib’. Kedatangan juga terpaksa diambil dan diberikan markah…huh malasnya berfikir sampai kena paksa macam itu sekali.
Pemikiran ‘sathiyyah’ menyebabkan faktor terbesar sesebuah buku laris ialah kulitnya yang menarik dan tajuknya yang memukau…isi dah jadi faktor ketiga sesebuah buku jadi bestseller…heheh kelakar bukan?
Dalam mengupas isu ini, kita sering juga terkeliru dengan majlis-majlis ilmu yang banyak diadakan di sana-sini termasuk di masjid dan surau. Tahukah kita bahawa kebanyakan majlis itu tidak mampu membentuk pemikiran dan membaiki apa-apa? Sebahagian besar program seperti ini bersifat mengulangi maklumat yang sedia ada, membuat kesimpulan mudah terhadap kesalahan kerajaan, kebejatan sosial dan banyak juga yang menggunakan emosi dengan memainkan isu hubungan anak dan ibubapa…….penceramah seperti ini dihadiri ramai penonton dan tentunya ehm..ehemm…bayarannya mencapai RM10,000 bagi 1-2 jam…
Ceramah-seramah agama hanyanberkisar dari beberpa isu politik, joke, isu-isu fekah taharah, fardu ain dan tajuk2 yang sebenarnya telah dipelajari berkali-kali semenjak di sekolah rendah lagi……..bersambung
Pandangan anda dihargai