Tarikat Tijaniah?

Soalan: Apa pandangan ustaz berkenaan Tarikat Tijaniah?
Jawapan:
Melalui maklumat yang saya ada, tarikat ini berasal dari Algeria dan pengasasnya ialah Syeikh Ali al-Tamasini wafat tahun 1260 Hijrah bersamaan 1844 Masihi.
Tarikat ini seperti tarikat-tarikat yang lain, mengajak kepada beramal dan mendekatkan diri kepada Allah dengan melakukan ibadat dengan teknik  aliran sufi yang kebanyakannya sama.
Namun demikian tarikat ini mengandungi beberapa pendirian yang saya lihat tidak bertepatan dengan ajaran Islam sebenar. Paling ketara ialah mereka mempercayai ada darjat-darjat tertentu yang membuatkan sesorang boleh bertemu secara sedar (yaqazah) dengan Raululuuah s.a.w. 
Kepercayaan seperti ini tidak mengeluarkan seseorang daripada Islam tetapi salah dari sudut hakikatnya. Ini kerana seseorang yang mati tidak lagi boleh bertemu dengan orang yang hidup secara sedar. 
Apa yang lebih penting, iktikad seperti ini membuka pintu kefasadan yang besar dan seterusnya membawa kecelaruan dalam amalan agama. Ini kerana, seseorang yang telah berjumpa nabi s.a.w. seterusnya akan mendakwa ajaran-ajaran tambahan yang diberikan oleh baginda s.a.w. kepadanya.
Dengan itu, segala hadis yang telah dikumpul oleh para ulamak yang menjadi tonggak sandaran hukum dan panduan bagi umat Islam sepanjang zaman sudah tidak lagi diperlukan. Ini kerana sudah ada sumber hadis lain yang lebih dekat kepada baginda. 
Setelah situasi ini wujud maka banyaklah amalan-amalan yang boleh ditambah dan diwujudkan berdasarkan arahan langsung daripada Rasulullah kepada guru atau orang yang mencapai darjat menemui Rasul s.a.w.
Hadis adalah tonggak kedua agama Islam, apabila tonggak ini telah berjaya dicerobohi, maka panduan umat Islam akan menjadi goyah dan berkecamuk. Percaya bahawa seseorang boleh menerima taklimat terus dari nabi s.a.w akan memusnahkan salah satu rujukan penting umat Islam yang diberitahu sendiri oleh Rasulullah s.a.w yang bermaksud: Aku tingggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang kepada keduanya, kitabullah dan sunahku.
Para ulamak silam antaranya Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud Ahmad dan ramai lagi, berjuang bermati-matian menggumpulkan hadis, membuang hadis-hadis rekaan dan menyedarkan masyarakat tentang hadis. Akhirnya usaha para ulamak ini telah berjaya menjadikan sumber rujukan Islam kedua ini terpelihara dari dicampur adukkan oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Jika ada orang yang mengaku menerima taklimat dari baginda tetapi tidak disandarkan kepada sumber yang telah dikumpulkan oleh ulamak silam maka dakwaan itu dianggap salah dan pembohongan.
Pada pandangan saya, sebarang ajaran sufi yang percaya dengan asas ini berlu dibendung kerana akan membawa kemusnahan kepada masyarakat Islam dan menjauhkan mereka dari ajaran nabi s.a.w yang walaupun dari sudut penampilan mereka mengajak kepada ibadat dan berbuat baik.
Penulis: Rosli Mokhtar 

Pandangan anda dihargai