Siapakah Muhammad bin al-Tahir bin Asyur ??

Syeikh Muhammad bin al-Tohir bin Asyur

Ibnu ‘Asyur ialah  Muhammad Tahir bin Muhammmad. Beliau dilahirkan pada tahun 1879 dari sebuah keluarga ilmuan yang berasal dari Andalus. Ibnu Asyur meninggal dunia pada tahun  1973 di tanah tumpah darahnya Tunisia.

Keluarga Asyur terkenal sebagai keluarga beragama juga para ilmuan yang dikenali ramai. Bapa Ibn ‘Asyur adalah seorang pakar ilmu nahu, ahli fiqh, dan pada tahun 1851 menjawat sebagai ketua hakim di negara Tunisia. Pada tahun 1860 beliau dilantik sebagai mufti .

Ibnu Asyur dibesarkan dalam suasa cinta kepada ilmu. Beliau belajar al-Quran, baik hafalan, tajwid, maupun qiraatnya. Dia belajar di sekitar bandar Tunisia. Setelah beliau menghafal al-Qur’an, beliau turut belajar di Masjid Zaitunah sehingga menjadi seorang pemuda yang ahli dalam berbagai disiplin ilmu.

Zaitunah adalah sebuah masjid yang  menjadi pusat kegiatan keagamaan yang berasaskan kepada mazhab Maliki dan ada sebagian kecil pula yang mengikut mazhab Hanafi. Beliau akhirnya menghasilkan sebuah kitab yang terdiri dari tiga puluh juzu’ dan terbahagi kepada dua belas jilid. Kitab ini merupakan sebuah tafsir kontemporeri.

Ibn Asyur menjadi salah seorang ulama besar dan tersohor di Tunisia. Bermula sebagai seorang tenaga pengajar di Jami’e Zaitunah yang merupakan sebuah universiti pada zaman itu sehinggalah beliau dilantik pada tahun 1913 menjadi hakim dan seterusnya dan diangkat menjadi mufti di negara itu pada tahun 1927.

3.0 Kitab al Tahrir wa al-Tanwir

Kita ini ditulis oleh Ibnu Asyur dalam 30 juzuk, setebal 12 jilid, dicetak oleh Dar al-Kutub al-Syarqiyah, Tunis. Nama sebenar bagi kitab ini ialah Tahrir al Ma’na al-Sadid wa Tanwir al-Aql al-Jadid min Tafsir al-Kitab al Majid. Disebabkan nama kitab ini terlalu panjang maka Ibnu Asyur meringkaskannya pula kepada al-tahrir wa altanwir.

Penulisan kitab ini bermula setelah Ibnu Asyur sekian lama menangguhkan hasratnya kerana mengenangkan kepada kepayahan yang bakal ditempuhi sewaktu menyiapkannya. Ini kerana Ibnu Asyur semenjak awal lagi bercadang untuk melahirkan sebuah kitab tafsir yang dianggapnya sebagai berlainan daripada kebiasaan penulisan kitab-kitab tafsir yang telah ada di dalam khazanah ilmu Islam.

Disebabkan hasratnya yang begitu besar Ibnu Asyur mengambil masa yang agak lama untuk berfikir. Kerja-kerja juga menjadi penghalang kepada hasrat besar ini terutamanya apabila beliau telah dilantik menjadi Hakim pada tahun 1331 hijrah. Namun demikian selepas beliau bertukar ke jawatan mufti Tunisia Ibnu Asyur telah mengambil inisiatif untuk memulakan penulisan kitab berliau itu.

Di dalam kitab itu Ibnu Asyur telah memberi perhatian terhadap perkara berikut yang merupakan tambahan beliau berbanding kitab-kitab tafsir yang lain. Yang dimaksudkan dengan tambahan itu ialah perhatian yang mendalam diberikan oleh Ibnu Asyur terhadap Balaghah Al Quran di mana beliau cuba untuk menerangkan setiap penggunaan Balaghah yang dapat ditanggapi oleh beliau di dalam sesuatu ayat.

Mengikut Ibnu Asyur tindakan ini adalah disebabkan oleh pada pandangan beliau para ulama terdahulu tidak memberi perhatian yang sewajarnya terhadap balaghah al-quran.(Ibnu Asyur, 1998) Dengan itu Ibnu Asyur mengambil tanggungjawab untuk menjadi pentafsir yang memberi perhatian terhadap apa yang telah dianggap olehnya diabaikan oleh orang terdahulu.

Selain daripada itu Ibnu Asyur juga memberi perhatian terhadap hubungan antara ayat yang dianggapnya juga sebagai telah disampaikan oleh pentafsir terdahulu. Dengan itu Ibnu Asyur di dalam mukadimah tafsirnya menyatakan bahawa beliau tidak akan berpindah kepada ayat yang lain kecuali Beliau akan menerangkan terlebih dahulu hubungkait yang terdapat di antara ayat-ayat tersebu.

Ibnu Asyur selain daripada itu juga memberi perhatian yang mendalam tentang objektif sesebuah surah. Dalam erti kata yang lain Ibnu Asyur telah memulakan apa yang dinamakan pada hari ini sebagai tafsir maudhuie. Ini kerana beliau melihat setiap surah mempunyai maqasid yang tersendiri yang perlu diketengahkan bagi memberi impak yang besar terhadap kefahaman al-quran tanpa melihat kepada ayat-ayat yang bersifat juzie semata-mata.(al-Raisuni,2010)

Ibnu Asyur dengan pemikiran ini mahu untuk menghubungkan antara maqasid surah yang bersifat umum dengan maqasid ayat yang berkemungkinan bersifat juzie. Beliau menyatakan kekesalan beliau terhadap tindakan ramai ahli tafsir yang hanya memberi tumpuan kepada mentafsirkan ayat ayat hukum yang bersifat juzie, menurut Ibnu Asyur mereka akan mengkhususkan ruang yang besar dalam mengupas isu-isu cabang tetapi sebaliknya melihat ayat-ayat yang bersifat konsep serta boleh dijadikan sebagai asas pemikiran yang bersifat kulli, maka kebanyakan para ahli tafsir tidak memberi perhatian kepada ayat-ayat dari jenis ini.

Ibnu Asyur telah menjadikan kitab tafsir beliau al Atahrir wa al-Tanwir sebagai kitab yang membincangkan persoalan maqasid Syariah daripada sumbernya yang asli iaitu al-quran. Beliau akan mengupas secara panjang lebar ayat-ayat yang bersangkutan dengan Maqasid Syariah dengan membawa isu-isu yang dihadapi oleh umat Islam pada zamannya sebagai satu penyelesaian masalah yang bersifat praktikal.

Dengan itu kitab beliau bukan sahaja menjadi rujukan bagi ilmu tafsir tapi sebaliknya menjadi rujukan kepada perbahasan Maqasid Syariah yang lebih mendalam. Antara perbincangan Maqasid Syariah yang terdapat di dalam kitab beliau ini ialah persoalan al-kuliyyat dan al-juiyaat.

Siri 5 Ringkasan dan Ulasan Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir Oleh Ibnu Asyur

Istimdad Ilmu Tafsir

Dalam muqaddimah kedua, Ibnu Asyur menyatakan bahawa istimdad tafsir Al-Quran ialah:

1- Bahasa Arab. Ini kerana Al-Quran diturunkan dalam bahasa tersebut. Bahasa Arab yang dimaksudkan ialah Bahasa Arab sewaktu Al-Quran diturunkan. Pengetahuan bahasa itu pula boleh berlaku dalam dua bentuk, sama ada secara semulajadi bagi mereka yang hidup dalam masyarakat itu atau dengan mempelajarinya bagi mereka yang berada diluar dari masyarakat Arab.

Termasuk dalam erti kata menguasai bahasa Arab ialah menguasai cabang ilmu bahasa tersebut samada ilmu nahu, bayan, maani dan badie’. Dari situ para pentafsir dapat memahami ilmu berkaitan mukjizat bahasa di dalam Al-Quran.

2- Sumber kedua ilmu tafsir mengikut Ibnu Asyur ialah athar daripada Rasulullah SAW. Mengikut beliau, yang dimaksudkan dengan athar yang menjadi sumber itu ialah mana-mana hadis yang menerangkan tentang sebarang kekeliruan yang timbul dalam mentafsirkan perkataan atau ayat ayat tertentu. Namun demikian athar seperti ini adalah sedikit jumlahnya mengikut .

Menurut Ibnu Asyur, termasuk dalam kategori athar ialah perkara yang telah menjadi ijmak dikalangan umat Islam didalam memahami sesuatu ayat ataupun perkataan, contohnya dalam isu alkalalah yang dimaksudkan dengan adik-beradik perempuan dalam ayat tersebut ialah adik-beradik seibu.

Di akhir mukadimah ini, Ibnu Asyur telah meletakkan beberapa peringatan berkaitan sumber ilmu tafsir dan sandarannya. Ibnu Asyur telah menjelaskan bahawa tafsiran Nabi SAW serta para sahabat di dalam sesuatu ayat atau perkataan bukan menjadi sumber atau bagi ilmu tafsir kerana bagi beliau tafsiran-tafsiran tersebut adalah bukan dari istimdad ilmu tafsir.

Disediakan oleh:

Ustaz Rosli

7 Muharram 1440
17 September 2018

Siri 4 Ringkasan dan Ulasan Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir Oleh Ibnu Asyur

Hakikat Ilmu Tafsir dan Hubungannya dengan Ilmu Ta’wil

Ibnu Asyur menulis sepuluh muqaddimah bagi kitab tafsirnya ini. Di dalam mukadimah pertama Ibnu Asyur membincangkan dua isu yang menjadi perbincangan ulama’ tafsir. Isu-isu yang dimaksudkan tersebut ialah:

1- Apakah ilmu tafsir, ilmu yang berdiri dengan sendiri?

Setelah membawa berbagai pandangan Ibnu Asyur telah menyokong pandangan Imam al-Ghazali dan al-Baydawi dimana mereka berdua berpendapat bahawa tafsir adalah satu ilmu yang berdiri dengan sendiri.

Pendirian Ibnu Asyur ini didasarkan dengan hujah bahawa tafsir al-Quran bukan sahaja menerangkan makna-makna perkataan bagi al-Quran tetapi ia suatu ilmu yang membincangkan tentang konsep-konsep tertentu berkaitan al-Quran seperti ilmu makki dan madani, ilmu nasikh dan mansukh, ilmu qawaid istinbat dan lain-lain.

Setelah membawa hujah-hujah tersebut Ibnu Asyur telah menegaskan bahawa tafsir adalah ilmu Islam yang pertama terbentuk hasil daripada persoalan-persoalan tentang al-Quran yang diajukan oleh para sahabat kepada Rasulullah SAW. Adapun orang yang pertama menulis kitab tafsir menurut Ibnu Asyur ialah Abdul Malik bin Juraij al-Makki meninggal pada tahun 149 Hijrah.

2- Apakah Ilmu Tafsir dan Ilmu Ta’wil Merupakan Dua Ilmu Yang Berbeza?

Isu kedua yang dibincangkan oleh Ibnu Asyur di dalam muqaddimah pertama ini ialah persoalan apakah tafsir bermaksud ta’wil. Apakah ianya dua perkataan yang membawa maksud yang sama atau sebaliknya?

Setelah membawa pandangan-pandangan yang berbeza dalam persoalan ini, Ibnu Asyur menjelaskan pandangan beliau yang melihat bahawa ta’wil dan tafsir adalah dua istilah yang merujuk kepada perkara yang sama iaitu ilmu yang menerangkan tentang makna-makna al-Quran.

Ibnu Asyur membina pandangan beliau dalam isu ini berdasarkan kepada hujah bahasa Arab dan faktor athar yang menyokong pandangan yang mengatakan bahawa ilmu ta’wil dan ilmu tafsir adalah suatu yang sama.

Disediakan oleh: Ustaz Rosli Mokhtar
Bandar Baru Bangi
6 Muharram 1440
16 September 2018

Siri 3 Ringkasan dan Ulasan Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir Oleh Ibnu Asyur

Maqasid al-Quran

Ibnu Asyur menjelaskan bahawa objektif dan maqasid al-Quran sangat luas dan tersirat di dalam ayat-ayatnya yang mengandungi pelbagai subjek sama ada hukum-hakam, adab, kisah-kisah tauladan dan sebagainya.

Mengikut pandangan Ibnu Asyur para ulama’ terdahulu kurang memberikan perhatian terhadap kupasan Al-Quran dari sudut ilmu balaghah, oleh itu beliau bertekad agar kitab karangan beliau ini dapat memberikan lebih perhatian terhadap unsur balaghah yang terdapat didalam al-Quran. Untuk mencapai objektif tersebut, beliau akan memberi perhatian terhadap seni-seni balaghah dalam setiap ayat al-Quran yang dikupas.

Selain itu Ibnu Asyur juga memberi penekanan dalam menerangkan makna ayat dari sudut hubungan antara ayat. Bagi Ibnu Asyur memahami makna al-quran berdasarkan hubungan antara ayat adalah salah satu bentuk kefahaman yang sangat penting. Namun demikian pada pendapat beliau, para ulama’ terdahulu tidak memberikan perhatian yang serius dalam perkara ini.

Antara ulama’ terdahulu yang cuba menjelaskan hubungan antara ayat ialah Fakhruddin Ar Razi dan Burhanuddin al-Biqaie. Namun demikian Ibnu Asyur melihat bahawa masih terlalu banyak perkara yang belum disentuh oleh mereka berdua berkaitan perkara ini.

Ibnu Asyur juga menjelaskan bahawa beliau memberi penekanan khusus bagi menjelaskan pengajaran umum bagi sesuatu surah. Bahkan beliau menjelaskan bahawa beliau tidak akan berpindah dari satu surah kepada surah yang lain sebelum beliau menjelaskan dengan terperinci objektif yang terkandung di dalam surah tersebut.

Di akhir bahagian pengenalan, Ibnu Asyur menjelaskan bahawa beliau juga akan memberikan penekanan dalam menjelaskan makna-makna perkataan dari sudut bahasa. Beliau menekankan bahawa penjelasan itu telah dibuat melalui kajian yang teliti dan beliau cuba menghubungkan makna-makna perkataan tersebut dengan mukjizat bahasa yang terkandung di dalam al-Quran.

Sebagai penutup, Ibnu Asyur menjelaskan bahawa nama sebenar tafsir beliau ini ialah Tahrir al-Maani al-Sadid wa al-Tanwir al-Aqli al-Sadid min Tafsir Al-Quran al-Majid. Namun demikian, nama kitab ini diringkaskan menjadi al-Tahrir wa al-Tanwir.

Disediakan oleh:
Ustaz Rosli Mokhtar
Bandar Baru Bangi
4 Muharram 1440
14 September 2018

Siri 2 Ringkasan dan Ulasan Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir Oleh Ibnu Asyur

Ibnu Asyur dan Penulisan Ulama’ Silam

Ibnu Asyur mengatakan bahawa walaupun terdapat banyak kitab tafsir telah ditulis disepanjang perjalanan ilmu Islam. Namun demikian, kebanyakan kitab-kitab tersebut hanya merupakan pengulangan terhadap apa yang telah diberitahu oleh para ulama’ terdahulu. Kitab-kitab tersebut hanya bersifat mengumpul berbagai pandangan atau membuat ringkasan terhadap pandangan yang pelbagai. Tidak kurang pula yang menerangkan serta memperincikan pandangan berdasarkan idea yang telah sedia ada.

Dalam pengenalan ini, Ibnu Asyur telah menyebut tafsir-tafsir yang penting pada pandangan beliau. Tafsir-tafsir tersebut ialah:

1. Tafsir al Kasyaf oleh Imam Az Zamakhsyari

2. Tafsir al-Muharrar al-Wajiz oleh Ibnu Atiyyah

3. Tafsir Mafatih Al-Ghaib oleh Fakhruddin Ar Razi

4. Tafsir al-Baydawi

5. Tafsir al-Alusi

6. Tafsir Abi-Saud

7. Tafsir al-Qurtubi

8. Tafsir al-Tobari

9. Tafsir Durratun al-Tanzil

Di dalam pengenalan ini Ibnu Asyur menjelaskan bahawa ada juga pandangan-pandangan beliau yang bertentangan dengan pendapat para ulama tafsir yang lain. Selain itu ada juga permasalahan yang dibincangkan oleh beliau tetapi belum pernah dikupas oleh mana-mana ulama’ tafsir sebelum beliau.

Disediakan oleh:
Ustaz Rosli Mokhtar
Bandar Baru Bangi
3 Muharram 1440
13 September 2018

Siri 1 Ringkasan dan Ulasan Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir Oleh Ibnu Asyur

Tamhid

Setelah memuji Allah dan berselawat terhadap Rasul s.a.w Ibnu Asyur telah memuji para pentafsir yang telah menghasilkan penerangan terhadap kitab Allah yang suci. Seterusnya beliau menyatakan bahawa keinginan beliau untuk menghasilkan sebuah kitab tafsir telah lama tersemat disanubari . Keinginan ini timbul hasil daripada pembacaan beliau terhadap kitab al-Quran dan hasil penulisan para ulama silam.

Namun demikian, keinginan itu sekian lama terpendam apabila beliau mengenangkan betapa usaha besar ini adalah sesuatu yang berat untuk dipikul. Sudah tentu banyak cabaran yang perlu dihadapi dan diharungi. Setelah sekian lama keinginan Ibnu Asyur semakin memuncak khususnya apabila beliau menyatakan hasrat mulia itu kepada sahabat-sahabatnya Begitu juga apabila beliau mengenangkan kesungguhan para pentafsir terdahulu seperti Ibnu Rushd.

Akhirnya keinginan ini tidak dapat disekat lagi, Ibnu Asyur berazam untuk menghasilkan sebuah tafsir yang menerangkan perkara-perkara yang belum dijelaskan oleh kitab-kitab tafsir terdahulu. Beliau juga berazam untuk memberikan pandangan dalam perkara yang diperselisihkan oleh ahli tafsir dalam sesuatu isu. Ibnu Asyur menjelaskan bahawa pentafsir sering berada di antara dua pendirian ketika berdepan dengan kupasan para ulamak terdahulu:

1. Mereka yang hanya menerima bulat-bulat apa yang telah di ajukan oleh mereka yang terdahulu .

2. Mereka yang menolak segala apa yang telah dinyatakan oleh para pentafsir terdahulu.

Kedua-dua pendirian di atas adalah tidak baik mengikut Ibnu Asyur, sebaliknya kata-kata para ulamak terdahulu perlu menjadi rujukan namun demikian kata-kata mereka itu tidak boleh diterima secara membuta tuli sebaliknya perlu dikaji dan diteliti dengan nilaian ilmu.

Disediakan oleh:
Ustaz Rosli bin Mokhtar
Bandar Baru Bangi, Selangor
1 Muharram 1440
11 September 2018