Sistem Politik Madinah Selepas Rasulullah s.a.w. (Siri 1)

🌸 Rasulullah tidak pernah melantik pengganti baginda secara spesifik. Dalam masa yang sama nabi juga tidak menentukan sebarang cara perlantikan yang perlu diikuti. Apa yang dibuat oleh Nabi s.a.w.  ialah memberikan kaedah umum yang perlu dipatuhi oleh pemerintah dalam mentadbir umat Islam.

🌸 al-Quran yang menjadi asas pertama ajaran Islam juga bersifat demikian, ia hanya menyatakan kaedah-kaedah umum sahaja.

🌸 Keadaan ini sesuai dengan sifat Islam dalam pensyariatannya kerana sifat ini bukan sahaja wujud dalam persoalan politik tetapi sememangnya Islam menyampaikan ajarannya dalam bentuk yang umum dalam perkara-perkara keduniaan atau kehidupan.

🌸Jika kita andaikan Nabi memberikan contoh-contoh perlaksanaan pentadbiran negara dalam Islam, nescaya perlaksanaan itu hanya akan mampu bertahan untuk beberapa generasi selepas baginda sahaja. Adapun untuk generasi seterusnya, sudah tentu memerlukan kepada pengubahsuaian atau perubahan dalam pelaksanaan tersebut.

🌸Ini Kerana sifat kehidupan manusia yang sentiasa berubah. Tambahan pula jika dilihat dari sudut perkembangan Islam di seluruh pelusuk dunia, maka keperluan untuk berubah itu lebih perlu berlaku dalam jangka masa yang lebih pendek.

🌸 Dengan itu adalah mustahil untuk ditentukan secara terperinci pelaksanaan terhadap pentadbiran yang dikehendaki oleh Islam.

🌸 Atas faktor itu baginda s.a.w. meninggalkan perincian perlaksanaan pentadbiran negara kepada kebijaksanaan umat Islam.

🌸 Apa yang ditinggalkan oleh Baginda s.a.w. hanyalah kaedah asas serta nilai-nilai yang merupakan dasar terpenting sebagai panduan kepada umat Islam.

🌸 Nabi s.a.w. juga  tidak menentukan pengganti Baginda. Sebahagian pengkaji beranggapan bahawa tindakan Nabi yang tidak menamakan pengganti beliau adalah mengikut amalan kabilah Arab yang ada pada ketika itu.

🌸 Pengamalan kabilah-kabilah Arab zaman tersebut ialah seseorang ketua kabilah itu akan dipilih oleh ahli-ahli kabilah selepas kematian ketua mereka.

🌸 Pada hakikatnya tanggapan nabi s.a.w. mengikut amalan kabilah Arab adalah tidak tepat. Ini kerana terdapat beberapa kabilah Arab sendiri yang telah mengamalkan sistem beraja.

🌸 Malahan ada juga kabilah-kabilah yang mengamalkan sistem pewarisan kuasa kepada keturunan. Dalam masa yang sama ada pula kabilah yang tidak mempunyai sistem pemilihan tertentu dan setiap kali berlakunya kekosongan ketua kabilah maka persaingan akan berlaku dikalangan ahli kabilah. Situasi ini seringkali  pula membawa kepada pertikaian bersenjata.

🌸Pada hakikatnya, tindakan Nabi s.a.w. itu adalah bertujuan untuk memberi ruang kepada berlakunya pemilihan dari kalangan umat Islam. Tidak ada sebarang petunjuk yang menggambarkan siapakah yang berhak mengganti baginda. Tindakan nabi s.a.w. adalah untuk mengembalikan hak pemilihan pemimpin kepada Ummah. Merekalah yang berhak untuk menentukan siapakah yang layak untuk menerajui kepimimpinan masyarakat.

🌸 Keadaan ini adalah tidak sama dengan kepimpinan Nabi s.a.w. kerana Baginda menerajui kepimpinan berdasarkan kepada ketentuan dari Allah s.w.t bukan dari pemilihan manusia. Ada pun pemimpin yang datang selepas Baginda maka yang berhak untuk memilih mereka ialah ummah atau rakyat itu sendiri.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *