TADABUR WAHYU SIRI 57

6.4 Pendidikan Surah al-Fatihah

Al-Fatihah mengajak manusia untuk merasakan bahawa objektif terbesar yang perlu dicapai oleh seorang manusia ketika berada di atas muka bumi ialah untuk terus berada di dalam hidayah Allah.

Adalah mustahil bagi seorang yang meminta dari tuhannya untuk mendapat hidayah tetapi dalam masa yang sama tidak berbuat apa-apa untuk mendapatkannya.

Bayangkan jika seorang yang meminta rezeki dari Tuhan tetapi tidak pernah bekerja untuk mendapatkan rezeki itu. Dia hanya berdoa tetapi amat malas untuk berusaha.

Bayangkan seorang yang sakit dan berdoa untuk sembuh tetapi tidak pernah berusaha untuk berubat.

Bolehkah fenomena ini diterima oleh seorang yang waras akalnya?

Jawapannya sudah tentu tidak. Manusia disuruh berusaha untuk mendapatkan kehendak dan keperluannya.

Akan tetapi dari sudut praktikal, ramai sekali orang yang memohon hidayah dan jalan yang lurus tetapi tidak pernah berusaha untuk mengenali jalan yang lurus itu.

Mereka malas berfikir, malas belajar dan tidak memperuntukkan masa untuk ilmu pengetahuan.

Fenomena ini amat berleluasa sehingga hanya sedikit umat Islam hari ini yang berusaha untuk memahami kitab Allah yang terkandung di dalamnya hidayah dan petunjuk Allah. Sedangkan mereka sentiasa meminta diberikan Hidayah.

Dengan itu, doa untuk mendapat hidayah bukan saja menunjukkan pentingnya hidayah, tetapi juga menunjukkan kepada pentingnya usaha dan kesungguhan.

Ringkasan dan Ulasan Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir Oleh Ibnu Asyur

Ustaz Rosli
18 Rabiulakhir 1440
26 Disember 2018
🌟🌟🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Bagi yg berminat menerima mesej watsup ini, klik sini https://bit.ly/2rqH9lO dan nyatakan nama anda.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Jika bermanfaat sila share

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *