**TADABBUR WAHYU SIRI 723**

**4.71.1 Tadabbur Surah An-Nisa 78-79**

أَيْنَمَا تَكُونُوا يُدْرِكُّمْ الْمَوْتُ وَلَوْ كُنتُمْ فِي بُرُوجٍ مُشَيَّدَةٍ وَإِنْ تُصِبْهُمْ حَسَنَةٌ يَقُولُوا هَذِهِ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ وَإِنْ تُصِبْهُمْ سَيِّئَةٌ يَقُولُوا هَذِهِ مِنْ عِنْدِكَ قُلْ كُلٌّ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ فَمَالِ هَؤُلاَءِ الْقَوْمِ لاَ يَكَادُونَ يَفْقَهُونَ حَدِيثًا.

78-Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu, sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh. Dan kalau mereka beroleh kebaikan (kemewahan hidup), mereka berkata: “Ini adalah dari sisi Allah”, dan kalau pula mereka ditimpa bencana, mereka berkata:” Ini adalah dari (sesuatu nahas) yang ada padamu”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah (berpunca) dari sisi Allah”. Maka apakah yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami perkataan (nasihat dan pengajaran)?

Setelah  menerangkan tentang orang yang takut kepada perjungan kerana takut kepada kematian, maka kini al-Quran menerangkan asas akidah yang penting.

Asas itu ialah kematian adalah sesuatu yang pasti buat manusia.

Manusia tidak akan dapat lari dari kematian. Oleh yang demikian tidak ada gunanya manusia takut untuk berkorban pada jalan Allah demi mengelakkan sesuatu yang sememangnya tidak dapat dielakkan.

Hal ini sebenarnya bukan sahaja pada kematian, sebaliknya juga berlaku kepada segala apa yang terjadi terhadap manusia seperti rezeki, jodoh, zuriat dan segalanya.

Ayat ini juga menceritakan tentang seorang yang telah percaya kepada Allah tetapi mempunyai kefahaman yang salah tentang qada’ dan qadar.

Berkemungkinan besar kesalahan ini bukan lahir dari kekeliruan tetapi lahir dari penentangan mereka terhadap nabi saw.

Buktinya mereka berkata kebaikan itu dari Allah dan keburukan itu pula berpunca dari nabi saw.

Akidah yang suci ialah akidah yang bebas dari mempercayai sial dan majal.

Kebaikan dan keburukan itu adalah dari Allah tuhan yang mencipta dan mengatur perjalanan hidup manusia. Dialah yang mentakdirkan kepada manusia apa yang berlaku.

مَا أَصَابَكَ مِنْ حَسَنَةٍ فَمِنْ اللَّهِ وَمَا أَصَابَكَ مِنْ سَيِّئَةٍ فَمِنْ نَفْسِكَ وَأَرْسَلْنَاكَ لِلنَّاسِ رَسُولاً وَكَفَى بِاللَّهِ شَهِيدًا.
79-Apa jua kebaikan (nikmat kesenangan) yang engkau dapati maka ia adalah dari Allah; dan apa jua bencana yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri. Dan Kami telah mengutus engkau (wahai Muhammad) kepada seluruh umat manusia sebagai seorang Rasul (yang membawa rahmat). Dan cukuplah Allah menjadi saksi (yang membuktikan kebenaran hakikat ini).

Setelah dijelaskan asas akidah ialah mempercayai setiap sesuatu itu ditentukan oleh Allah, kini ayat ini menerangkan tentang perincian terhadap asas tauhid itu.

Ayat ini kelihatan bertentangan dengan ayat sebelum ini. Ayat sebelum ini menyatakan semua ketentuan itu milik Allah dan Dialah yang menentukan segala perkara, ayat ini pula menyatakan bahawa kebaikan itu dari Allah dan keburukan adalah datang dari diri manusia.

Kedua-dua ayat ini yang kelihatan bertembung telah membawa kepada perselisihan pandangan umat Islam dalam memahami hakikat qada’ dan qadar.

Disebabkan perbincangan ini telalu panjang maka cukuplah dijelaskan disini bahawa ayat ini perlu diharmonikan.

Adalah mustahil terdapat pertentangan antara ayat al-Quran.

Dalam ayat 78 Al-Quran menyangkal dakwaan orang yang menuduh keburukan yang berlaku adalah disebabkan oleh nabi saw. Sebaliknya menyatakan bahawa kebaikan dan keburukan adalah semuanya dari Allah.

Dalam ayat 79 pula Al-Quran menyatakan bahawa kebaikan adalah dari Allah dan keburukan itu dari dalam diri  manusia.

Pada zahirnya terdapat pertentangan antara dua ayat ini.

Akan tetapi ayat ini tidak bertentangan jika difahami dengan cara yang betul.

Ayat 78 menerangkan bahawa takdir semuanya dari Allah dan manusia tidak berupaya lari dari takdir allah.

Ayat 79 pula menyuruh manusia untuk berusaha dan bekerja bagi mencapai kebaikan dan mengelakkan keburukan.

Ini  kerana takdir Allah itu telah tentukan berdasarkan hukum alam yang berlaku di atas dunia ini.

Adapun hakikat sebenar takdir Allah itu tidak dapat diketahui oleh manusia, sebaliknya seperti yang dijelaskan sebelum ini manusia dituntut untuk berusaha dalam mencapai kebaikan dan mengelakkan keburukan.

Seorang yang jahil tidak dapat memberi alasan bahawa Allah telah mentakdirkan untuk dirinya kejahilan, kerana dia tidak mengetahui apa yang tersimpan dalam ilmu Allah.

Apa yang menjadi kewajipan baginya ialah berusaha menuntut ilmu dan bersungguh-sungguh dalam mencapai kebaikan itu dan itulah tugasnya sebagai hamba.

Tugas hamba ialah berusaha dengan yang terbaik dan menyerahkan persoalan takdir kepada Allah.

Adapun manusia yang mahu mencari alasan dan malas berusaha akan meninggalkan tugas dan tanggungjawab dirinya sebagai makhluk, sebaliknya sibuk untuk mencari alasan bahawa apa yang berlaku terhadap dirinya adalah takdir Allah semata-mata.

Isnin
15 Syaaban 1442
29 Mac 2021
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyubbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *