**TADABBUR WAHYU SIRI 734**

**4.81.1 Tadabbur Surah An-Nisa 90*

إِلاَّ الَّذِينَ يَصِلُونَ إِلَى قَوْمٍ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ مِيثَاقٌ أَوْ جَاءُوكُمْ حَصِرَتْ صُدُورُهُمْ أَنْ يُقَاتِلُوكُمْ أَوْ يُقَاتِلُوا قَوْمَهُمْ وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ لَسَلَّطَهُمْ عَلَيْكُمْ فَلَقَاتَلُوكُمْ فَإِنْ اعْتَزَلُوكُمْ فَلَمْ يُقَاتِلُوكُمْ وَأَلْقَوْا إِلَيْكُمْ السَّلَمَ فَمَا جَعَلَ اللَّهُ لَكُمْ عَلَيْهِمْ سَبِيلاً.

90. Kecuali orang-orang yang pergi (meminta perlindungan) kepada suatu kaum yang ada ikatan perjanjian setia antara kamu dengan mereka, atau orang-orang yang datang kepada kamu sedang hati mereka merasa berat hendak memerangi kamu atau memerangi kaumnya. Dan jika Allah menghendaki, nescaya Dia menjadikan mereka berkuasa melawan kamu, kemudian tentulah mereka memerangi kamu. Dalam pada itu, jika mereka membiarkan kamu (dengan tidak mengancam atau mengganggu), serta mereka tidak memerangi kamu dan mereka menawarkan perdamaian kepada kamu, maka Allah tidak menjadikan bagi kamu sesuatu jalan (yang membolehkan kamu memerangi atau menawan) mereka.

Imam al-Qurtubi dalam tafsir beliau menyatakan bahawa ayat ini menerangkan tentang hubungan negara Madinah dan orang-orang munafik yang telah bertindak menentang Baginda saw.

Jika ayat sebelum ini telah mengizinkan Baginda saw untuk memerangi mereka, maka pada ayat ini pula dinyatakan pengecualian yang mana nabi tidak dibenarkan memerangi orang-orang yang disebutkan diatas.

Mereka itu ialah: 
i. Orang-orang yang membuat perjanjian  setia dengan puak-puak yang juga telah membuat perjanjian dengan kerajaan Madinah.

Ini kerana jika nabi saw menyerang orang-orang munafik itu, maka dengan sendirinya Baginda saw telah dianggap mencabul perjanjian damai dengan kabilah berkenaan.

Dengan itu, larangan dikeluarkan demi menjaga agar nabi saw tidak melakukan pencabulan terhadap perjanjian damai.

ii. Orang-orang munafik yang bertindak kembali ke pangkuan nabi saw dan menyatakan perdamaian mereka dan tidak mengangkat senjata.

iii. Mereka yang menganjurkan perdamaian dan tidak mahu berperang.

Mereka juga tidak diperangi kerana sememangnya agama Islam adalah agama yang menganjurkan kepada perdamaian dan kesejahteraan.

Selain dari menerangkan orang-orang yang tidak boleh diperangi ini, Allah juga mengingatkan kepada umat Islam bahawa ketundukan musuh kepada mereka adalah rahmat dari Allah.

Dialah  yang menggerakkan hati manusia kepada apa yang dikehendaki. Dengan itu manusia perlu meletakkan pergantungan kepada Allah dan mengharapkan pertolongannya.

Selain itu manusia perlu bersyukur kepada Allah apabila musuh yang selama ini mengancam mereka telah tidak mampu berbuat demikian.

Semua itu adalah nikmat dari Allah Yang Maha Berkuasa.

Nasihat ini sangat diperlukan oleh manusia dan orang beriman kerana manusia sering berasa megah dan lupa kepada pertolongan Allah disaat mereka berkuasa dan mengecapi nikmat kemenangan.

Semoga Allah menetapkan hati kita untuk sentiasa bersyukur kepadaNya. Amin

Selasa
15 Ramadhan 1442
27 April 2021
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyubbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *