Misteri Alam Ghaib

Berkurangkah Iman Orang yang Tidak Percaya?

Kita orang Islam dituntut percaya tentang perkara ghaib. Sekali lagi saya jelaskan, maksud perkara ghaib yang wajib dipercayai oleh orang Islam dan menjadi asas iman mereka ialah perkara ghaib yang disebut oleh quran dan hadis yang sahih.

Megenai perkara ghaib yang tidak disebut maka ianya tidak perlu dipercayai kerana manusia adalah sama dalam keadaan ini. Dalam erti kata lain, manusia semuanya tidak tahu tentang alam ghaib. Ini kerana alam ghaib adalah perkara yang hanya dapat diketahui melalui kenabian.

Sebab itu kita percaya adanya syurga dan neraka walaupun kita tidak dapat membuktikannya dengan kajian fizikal. Kita percaya adanya dosa dan pahala. Kerana ianya ada dalam nas yang qatie. Kita percaya kepada alam jin kerana ianya disebut dalam quran dan hadis.

Namun demikian alam jin tidak disebut secara terperinci oleh quran dan hadis. Manusia hanya dituntut untuk percaya apa yang ada dalam nas sahaja. Dalam masa yang sama, nas-nas yang disebut pula banyak yang bersifat zanni.

Ada banyak kepercayaan tentang alam ghaib yang bertentangan dengan nas samada quran dan hadis. Selain itu ada banyak pula kepercayaan alam ghaib yang sebenarnya tidak disebut oleh nas tetapi dianggap sebahagian daripada kepercayaan yang dituntut oleh Islam. Ini kerana masyarakat umum akan menerima ulasan ‘orang agama’ sebagai suatu fakta yang tidak boleh ditolak lagi.

Dato’ Dr Harun Din sendiri sewaktu menyampaikan kuliah perubatannya pernah mengajarkan ubat bagi perempuan yang terkena penyakit ‘meroyan’ ialah arang kayu daripada keranda budak perempuan yang mati sewaktu dilahirkan, abu itu disediakan dengan mengetam kayu keranda dengan ketam tradisional, habuk yang didapati digoreng sehingga menjadi arang dan kemudiannya dijadikan celak kepada perempuan yang diserang penyakit meroyan.

Sudah tentu ajaran seperti ini adalah pengamalan tradisional yang diamalkan oleh para ustaz bomoh yang kemudiannya dianggap sebahagian daripada ajaran Islam. Terus-terang saya katakan saya tidak dapat menerima pengajaran seperti ini kerana pada dasarnya saya percaya penyakit itu bukan disebabkan oleh hantu jembalang sebagaimana yang diiktikadkan oleh ustaz-ustaz bomoh.

Pandangan anda dihargai

Gempar 35 sejadah berdiri di surau
Warga SK Tok Sangkut di Pasir Mas gempar apabila 35 helai sejadah di dalam surau didakwa berdiri secara misteri dengan sebahagiannya menyerupai individu sedang menunaikan solat.

Kejadian itu disedari seorang murid yang kemudiannya memaklumkan kepada gurunya Adnan Abdullah, 37, ketika sesi pembelajaran dijalankan berhampiran surau berkenaan.

Wacana Ilmuan:

Sekali lagi berita ini menjadi buah mulut media di negara kita. Terkejut juga lipuatan yang dibuat oleh TV3 menunjukkan sejadah-sejadah yang dikatakan misteri.

Saya tidak tahu apakah tujuan cerita ini disebarkan. Apakah untuk mengalih pandangan masyarajat daripada sesuatu isu atau hanya sekadar untuk melariskan akhbar. Untuk menganggap perkara seperti ini misteri, maka ianya tidak termasuk dalam kotak pemikiran saya.

Bagi saya para ulamak kena buat kenyataan. Para mufti kena segera mengejutkan rakyat yang sedang hanyut dengan cerita misteri dan hantu. Pada saya , jika sekiranya dadah diharamkan kerana boleh menghilangkan akal, mempercayai kepercayaan seperti ini juga boleh menghilangkan akal. Dimanakah akal orang kampung yang percayakan keajaiban dalam perkara remeh ini?

Saya tetap menganggap kepercayaan seperti ini disebabkan oleh faktor aliran khurafat yang luas tersebar dalam masyarakat. Ada beberapa faktor mengapa khurafat tersebar dengan suburnya:
1-Media yang menayangkan cerita hantu dan tayul. Bayangkan semenjak adanya TV cerita hantu dan khurafat pun disebarkan dengan berleluasa.

2-Saki-baki ajaran agama syirik. Bila seseorang memeluk Islam, maka tidak semua jahiliah akan tercabut dalam dirinya. Untuk menjadi seorang muslim yang baik dia memerlukan ilmu, pengorbanan dan amalan. Saki-baki jahiliah itu tidak masih tidak tercabut kesemuanya dalam masyarakat kita. Ada juga yang telah tercabut disesetengah zaman tetapi kembali tertanam disebabkan kejahilan.

Keadaan ini terasa sangat bila saya masuk menemui orang asli, kita meninggalkan mereka Islam seadanya, proses menggilap keislaman mereka memerlukan usaha berterusan dari generasi ke generasi.

3-Sebab yang paling penting dan bahaya ialah sebab ketiga ini. Iaitu peranan orang-orang agama. Tidak kira orang agama tu betul-betul alim atau orang yang berpakaian agama tetapi jahil. Khurafat tersebar atas nama agama. Ini kerana ramai orang ugama yang saki-baki kepercayaan karut masih menebal. Seorang kawan ingin membuat liputan untuk menyediakan rancangan misteri TV, dia ingin menemuramah seorang yang berjawtan tersohor (saya tak dapat sebutkan disini), salannya ialah betulkah burung cenderawasih mempunyai kuasa ajaib. Jawapan ‘orang alim’ ni ialah : ooo saya tak dapat jawab sebab untuk mengetahuinya memerlukan ilmu yang tinggi!!!

Inilah yang saya katakan saki=baki jahiliah yang masih ada. Sebenarnya amat mudah untuk membuat keputsan terhadap soalan tersebut. Tapi, apakan daya jahiliah dan khurafat masih menguasai pemikirannya.

Kerana sudah rimas dengan tajuk seperti ini, maka saya akn memperuntukkan perbincangan mengenai alam ghaib bagi beberapa hari. Muga-muga selepas itu segala persoalannya boleh menjadi rujukan yang mudah. Insyaallah.
Pandangan anda dihargai

Pocong gemparkan Felda Jengka 4

Oleh Irwan Shafrizan Ismail

20/7/09

KELIBAT putih yang dirakam Abdul Rahman menggunakan telefon bimbit yang didakwanya hantu pocong di Jengka 4.

Hantu sempat dirakam kamera telefon bimbit
KUANTAN: Penduduk Felda Jengka 4, dekat Maran gempar apabila seorang penduduk di tanah rancangan itu dapat merakam gambar pocong atau makhluk berbalut kain kafan menggunakan telefon bimbit dan menunjukkan gambar berkenaan, pagi kelmarin.
Lelaki terbabit, Abdul Rahman Sabie, 25, berkata kelibat pocong yang berdiri tanpa bergerak sambil merenung tajam ke arahnya dirakam di halaman rumah jirannya sewaktu pulang ke rumahnya kira-kira jam 3 pagi.

Wacana Ilmuan:

Imam Syafie berpendapat sesiapa yang beriktikad dapat melihat jin maka dia dihukumkan fasik. Ini kerana pengakuan tersebut bertentangan dengan firman Allah yang bermaksud ‘ sesungguhnya Iblis dan keturunannnya melihat kamu sedangkan kamu tidak dapat melihat mereka’.

Walaupun demikian para ulamak berselisihan pendapat apakah jin boleh menjelma dalam bentuk yang berbagai-bagai. Sebahagian besar ulamak berpendapat jin boleh menjelma dalam bentuk yang berbagai.

Alam jin adalah termasuk dalam perkara ghaib yang memerlukan kepada rujukan quran dan hadis. Ini kerana sifat alam ghaib adalah tidak di ketahui oleh manusia. Janganlah kita cepat mempercayai sesuatu dengan hanya ada orang memberitahunya.

Apa yang saya ingin komen berkenaan berita diatas ialah wujudnya keadaan ekstrim dalam masyarakat. Yang saya maksudkan ekstrim disini ialah masyarakat Melayu membesar-besarkan perbahasan mengenai alam jin seolah-olah jin adalah satu makhluk yang sangat kuat dan menguasai manusia.

Sedangkan apa yang dapat kita lihat dalam quran dan hadis ialah dunia ini dijadikan untuk manusia dan manusia adalah khalifah Allah di dunia ini. Akibat dari usaha mempromosikan alam jin ini, jiwa anak-anak menjadi penakut dan orang dewasa dipenuhi khurafat. Bila sakit dikatakan perbuatan jin, bila berniaga tak jadi dikatakan akibat sihir, bila histeria dikatakan rasukan jin. Walaupun quran mengatakan jin dan syaitan tidak dapat menguasai manusia, tapi ajaran itu tidak diendahkan.

Saya lihat ada dua golongan yang bertanggungjawab mempromosi dan membesar-besarkan keadaan ini. Pertama pihak media yang mahukan publisiti dan meningkatkan jualan berita mereka. Berita sedemikian menjadi buruan ahli masyarakat yang jahil dan tidak ada aktiviti keilmuan dan pemikiran yang baik. Berita, filem dan documentari mistik akan laris di pasaran kita.

Pihak kedua ialah golongan agama yang mencari rezki dengan menghalau jin. Mereka kononnya akan menggunakan kemahiran tertentu yang boleh menghalau jin dari menguasai manusia. Sudah tentu servis itu disertakan dengan bayaran. Bayaran itu ada dua jenis, satu RM, dan sejenis lagi ialah penghormatan masyarakat dan kekaguman mereka. Kalau anda ingin dihormati dalam masyarakat Melayu, tak payah belajar tinggi-tinggi, belajar saja jadi bomoh, insyaallah anda akan dihormati.

Pandangan anda dihargai