Method Qardawi: Apa Istimewanya?

Dalam entry lepas kita telah menerangkan tentang usaha-usaha Dr Yusuf Qaradawi. Usaha-usaha itu diharapkan dapat diteruskan oleh generasi baru yang melalui proses kefahaman Islam dengan method yang betul.

Apakah keistimewaan tajdid atau pembaharuan yang dibawa oleh Qardawi? Wacana Ilmuan merasa terpanggil untuk menjelaskan apakah keistimewaan yang menyebabkan panggilan tajdidi yang dilakukan oleh beliau amat diperlukan oleh masyarakat Islam masakini.

1- Keistimewaan pertama ialah dakwah yang disarankan ialah satu aliran wasatiah. Memang siapa saja boleh meletakkan istilah yang menarik dan selogan yang indah-indah. Tapi apa yang menarik di sini ialah pengamalan wasatiah jelas diamalkan oleh beliau dalam menangani sesuatu polemik. Wasatiah bermakna sederhana. Sederhana dalam memahami nas, sederhana dalam memberi penyelesaian dan sederhana dalam membuat hukuman.

2- Keistimewaan kedua ialah beliau menuntut supaya ilmu menjadi panduan. Hukuman, pendirian dan keputusan diletakkan diatas dasar ilmu. Beliau menolak sebarang bentuk penyembahan terhadap sesama manusia. Ada aliran yang menyatakan bahawa keturunan tertentu lebih mulia dari manusia lain, oleh itu pemimpin umat Islam mestilah dibawa oleh kelompok itu, jelas sekali pemikiran sebegini bertentangan dengan hak manusia dan kemuliaan kemanusiaan. Kepimpinan menurut Qaradawi adalah milik orang berilmu.

3-Method Qardawi menjadi istimewa apabila beliau mengemukakan saranan untuk membaiki umat Islam dari sudutnya yang menyeluruh. Namun dalam pada itu ada perkara yang perlu diutamakan berbanding yang lain. Keadaan ini menuntut umat Islam agar tidak pernah jemu untuk membawa perubahan. Umat Islam tidak sepatutnya selesa dengan hanya melakukan beberapa jenis ibadat rutin atau lebih teruk lagi ada yang merasakan mereka telah terlalu baik dengan hanya mengamalkan beberapa amalan sunat sahaja.

Sebenarnya apa yang dibawa oleh Qarawai bukanlah sesutu yang baru dalam dakwah Islam tetapi beliau berjaya merealisasikannya dalam pemikiran dan tindak tanduk beliau sewaktu menangani berbagai masaalah. Method ini sebenarnya adalah resam ulamak-ulamak mujadid semenjak zaman dahulu kala.

Pandangan anda dihargai

Usaha Tajdid Qaradawi Diteruskan

Pada hari Khamis 11/2/10 Bandaraya Doha telah menyaksikan pengishtiharan tertubuhnya ‘Ikatan Murid Qaradawi’. Dalam majis yang turut dihadiri oleh 90 orang ulamak terkemuka itu, Dr Yusuf menegaskan beberapa asas penting bagi Ikatan Murid Qaradawi.

Asas berikut adalah paksi kepada Ikatan ini:

Islamiah: Ikatan ini bukan bermatlamatkan untuk mengagungkan Qaradawi, tetapi ianya milik umat Islam dan memberi perhatian kepada masaalah umat Islam seluruh dunia.

Ilmiah: Apa yang di pentingkan oleh Qaradawi ialah Method ijtihad dan pemikiran yang dibawa. Para pengikut Qaradawi tidak dituntut mengikut membuta-tuli segala kaa-kata Syeikh. Tapi apa yang diminta ialah cuba menangani masaalah dengan neraca ilmu yang benar. Beliau menuntut para muridnya tidak jemu untuk menuntut ilmu, tidak bosan dengan ilmu dan mengamalkan ilmu itu.

Akhlak: Dalam majlis penutup Multaqa itu juga, Qaradawi menyeru para muridnya untuk memiliki akhlak mulia yang menjadi ikutan manusia. Beliau menyeru muridnya agar menjadi suri tauladan kepada manusia sejagat.

Dakwah: Dalam kalimah penutupnya, Dr Yusuf Qaradawi juga menggesa setiap muridnya agar menjadi kader dakwah. Menyampaikan dakwah kepada dunia seluruhnya. Beliau menegaskan bahawa jika hukum-hakam berubah mengiku zaman dan tempat, maka dakwah juga berubah cara dan uslubnya mengikut peredaran zaman.

Belaiu menggesa supaya muridnya menguatkan hubungan dengan menggunakan teknologi yang ada. Selain itu beliau menggesa para muridnya mempelajari bahasa lain, Kata beliau: Aku tidak menguasai bahasa-bahasa lain, oleh itu aku berpesan kepada para anak-anak ku supaya mempelajari bahasa-bahasa lain dan menguasainya, bagi yang berpeluang hendaklah mereka berbuat demikian.

Dalam ucapan beliau, Dr Yusuf Qaradawi juga tidak lupa mengucapkan terima kasaih beliau yang tidak terhingga kepada Amir Qatar yang banyak memberi beliau peluang ‘ Amir Qatar tidak pernah menghalang ku dari melakukan sesuatu, Saya bercakap apa yang saya mahu dalam radio, TV dan segenap seminar tiada seorang pun yang menyatakan kepadaku jangan bercakap dalam perkara-perkara tertentu yang sensitif’: ujar Qradawi.

Tegas Qaradawi lagi ’Kalau tidak kerana Amir Qatar sudah tentu saya telah disenaraikan oleh Amerika dalam kalangan Teroris, mereka sangat mahu saya disenaraikan, orang yang kuat menentang dengan beraninya kehendak Amerika itu ialah Amir Qatar.

Pandangan anda dihargai

Budaya Bermazhab dan Bertaqlid Dalam Masyarakat Malaysia (6)

Faktor Budaya Berpegang Dengan Mazhab

Secara umumnya masyarakat umum Malaysia masih belum memahami secara terperinci mengenai hukum taqlid dan mazhab. Rata-rata masyarakat umum menganggap hukum Islam adalah satu dan tidak ada pendapat lain yang boleh bercanggah dengannya. Kefahaman ini timbul kerana mereka menganggap Islam adalah agama yang dibawa oleh seorang nabi dan disana hanya ada satu quran. Kebenaran pada mereka adalah satu.

Kebanyakan ahli masyarakat juga berpendapat bahawa hukum Islam tidak boleh berubah sama sekali. Bagi golongan berpelajaran pula ramai yang berpendapat bahawa mereka wajib mengikuti mazhab Syafie.

Pendapat ini dipegang secara meluas dalam golongan berpendidikan agama disebabkan kata-kata Imam Nawawi yang memuji Mazhab Syafie. Hujah Nawawi tentang kelebihan mazhab Syafie:

“Dan oleh kerana Imam al-Shafie adalah merupakan imam yang terkemudian dari sudut masa, maka beliau telah melihat mazhab-mazhab mereka seperti mana mereka melihat mazhab-mazhab ulama’ sebelum mereka. Maka beliau menperhalusinya, mengujinya dan mengkritiknya dan memilih yang paling rajih (kuat) dan beliau mendapat hasil daripada usaha ulama’2 sebelum beliau yang telah meletakkan gambaran dan pengasasan, maka beliau telah meluangkan masa untuk memilih dan mentarjih dan menyempurnakan dan meminda, dengan pengetahuan beliau dan kebijaksanaan beliau dalam pelbagai bidang ilmu. Dan dengan perkara ini beliau mendapat kedudukan yang lebih kuat dan rajih, kemudian tidak ada selepas beliau, (alim) yang mencapai kedudukan seperti beliau dalam perkara ini. Maka dengan ini, mazhab beliau adalah mazhab yang paling utama untuk diikuti dan bertaqlid dengannya – dan ini dengan jelasnya bahawa kita mestilah berlaku adil dan tidak ada meletakkan sebarang sikap memandang rendah pada salah seorang daripada para imam.

Hal ini, apabila diteliti oleh si awam akan memandunya kepada memilih mazhab Imam al-Shafie dan bermazhab dengannya.” Selain dari memuji Mazab Syafie, Nawawi juga berpendapat adalah wajib mengikut salah satu mazhab empat dan haram berpindah-pindah mazhab ataupun talfiq:

“Dan tidak boleh bagi si awam itu bermazhab dengan mazhab salah seorang daripada imam-imam di kalangan para sahabat r.anhum dan selain daripada mereka daripada generasi-generasi yang terawal, walaupun mereka lebih alim dan lebih tinggi darjatnya berbanding dengan (ulama’) selepas mereka; ini adalah kerena mereka tidak meluangkan masa sepenuhnya untuk mengarang ilmu dan meletakkan prinsip-prinsip asas dan furu’nya. Maka tidak ada bagi salah seorang daripada mereka sebuah mazhab yang telah dihalusi, dianalisis dan diperakui. Hanyasanya, (ulama’2) yang datang selepas mereka yang merupakan pendokong mazhab para sahabat dan tabien lah yang melakukan usaha meletakkan hukum-hukum sebelum berlakunya perkara tersebut; yang bangkit menerangkan prinsip-prinsip asas dan furu’ mereka seperti (Imam) Malik dan (Imam) Abu Hanifah dan selain dari mereka berdua.” Kitab Majmuk Nawawi.

Pendapat ini amat dipegang oleh para ulamak tradisional di Malaysia. Antara faktor yang membuatkan sebahagian ulamak masih berpegang teguh dengan perinsip ini ialah kurangnya pendedahan terhadp isu –isu semasa.

Orang-orang yang tidak terlibat dalam industri perbankan misalnya akan merasakan tidak ada halangan untuk mereka mengupas hukum hakam berdasarkan beberapa buah kitab rujukan sahaja. Kupasan agama yang berkisar dalam peroalan ibadat sahaja tidak akan menampakkan tuntutan untuk meneroka pendapat-pendapat ulamak dunia semasa. Ini kerana sifat ibadat adalah tetap dan tidak banyak perubahan pendapat yang diperlukan dalam bidang tersebut.

Situasi sekeliling juga memberi kesan terhadap pemikiran bermazhab. Di kawasan perkampungan dan negeri-negeri Pantai Timur misalnya, masyarakat Melayu merupakan mejoriti dan kaum-kaum lain adalah amat sedikit bilangannya. Akibat kurangnya perhubungan dengan masyarakat Islam lain, maka pengamalan agama yang diamalkan adalah merupakan warian nenek moyang dan tiada pengamalan asing yang dilihat oleh masyarakat.

Kesimpulan dan Penutup

Setelah melihat kepada faktor-faktor itu tadi, dapat disimpulkan bahawa pengamalan mazhab dan taqlid di Malaysia masih berlaku dengan berleluasa tetapi kebanyakannya diamalkan oleh golongan masyarakat berikut:

1- Masyarakat awam yang tidak mempunyai pengetahuan agama yang mendalam.

2- Penduduk kawasan yang tidak terdedah dengan keadaan berbilang bangsa dan keturunan.

3- Ahli-ahli agama yang kurang terlibat dalam menyelesaikan isu-isu semasa.

Golongan ini mempunyai pandangan wajib berpegang dengan satu mazhab dan haram meninggalkan mazhab atau melakukan talfiq. Mereka walaubagaimanapun akan menerima hukum-hakam yang telah diketahui umum walaupun bukan dari mazhab Syafie kerana kebiasaan pengamalan masyarakat seperti mengadakan tahlil bagi menghadiahkannya kepada orang yang telah mati.

Fenomena menggunakan pendapat selain mazhab Syafie berlaku dalam bidang muamalah contohnya pengharusan kontrak tempahan, mengharuskan dikenakan denda bagi peminjam yang melewatkan pembayaran hutang yang dibolehkan oleh ulamak Hanafi. Keadaan ini tidak dianggap oleh masyarakat sebagai ancaman kepada pegangan satu mazhab kerana isu-isu muamalat tidak mendapat pendedahan yang meluas dalam masyarakat. Masyarakat hanya bertindak menerima sahaja pendapat yang tersebar dan menganggapnya sebagai satu yang datang dari mazhab Syafie.

Pandangan anda dihargai

Budaya Bermazhab dan Bertaqlid di Malaysia (5)

Faktor-faktor Pembaharuan
Dalam kehidupan masyarakat Islam Malaysia moden, pengamalan Islam sedaya-upaya diperjuangkan untuk dimartabatkan dalam segala aspek kehidupan. Penerimaan Kerajaan Malaysia era kepimpinan Mahathir Muhammad terhadap penerapan nilai-nilai Islam telah memberi ruang yang amat subur untuk pengamalan Islam yang lebih syumul.
Pengamalan Islam menjadi lebih baik apabila kerajaan menggalakkan sektor kewangan Islam untuk berkembang. Selain itu, Malaysia juga cuba untuk menjadi peneraju kepada pengeluaran produk halal di peringkat antarabangsa. Dengan polisi yang diperkenalkan itu membuatkan penggarapan isu-isu agama di Malaysia telah melebar dan melampawi bidang ibadah sahaja.
Selain itu ianya memberi kesan besar terhadap pemikiran sarjana Islam Malaysia yang sebelum ini berpegang teguh dengan mazhab Syafie. Dalam era sebelum ini, para sarjana begitu teguh dengan perinsip satu mazhab sehingga seluruh undang-undang negeri merekodkan penggunaan mazhab Syafie sebagai mazhab resmi kecuali negeri Perlis.
Ketika mana negeri-negeri di Malaysia mengamalkan undang-undang Islam secara menyeluruh, mazhab Syafie diamalkan dibidang perundangan kekeluargan dan jenayah.
Namun demikian penganalan Islam masakini telah meliputi sektor yang tidak pernah diceburi sebelum ini.
Para sarjana Islam terlibat dalam membina sistem Takaful yang diambil dri sistem Insyuran. Pengamalan perbankan Islam juga semakin meluas. Banyak isu-isu baru yang perlu ditangani oleh para sarjana dalam menelesaikan permasaalahan perbankan Islam.
Selain itu sistem pewasiatan juga dimodenkan, kerajaan telah memberi peluang kepada syaraikat-syarikat pengurusan hata pusaka untuk beroperasi. Berbagai permasaalahan baru sentiasa dihadapi dari semasa kesemasa.
Dalam bidang zakat, banyak ijtihad-ijtihad baru diperlukan akibat perkembangan teknologi dan kehidupan masyarakat moden. Banyak hukum hakam yang selama ini diamalkan mengikut mazhab Syafie telah dirasakan tidak dapat memenuhi tuntutan kehidupan semasa. Mengeluarkan zakat fitrah dengan menggunakan makanan dirasakan tidak lagi releven dalam dunia moden. Tindakan terebut akan membawa banyak keburukan terhadap pengutipan dan pegagihan zakat.
Selain dari peluasan pengamalan Islam, salah satu cabaran semasa ialah cita-cita negara untuk bangkit sebagai peneraju bagi pengurusan produk halal. Satu kekosongan yang begitu besar dan mencabar perlu diharungi oleh para sarjana Islam tempatan. Ini kerana persoalan halal melibatkan masyarakat antarabangsa. Segala pengakuan halal atau sebaliknya mestilah mengambil kira kefahaman dan pengamalan yang berifat global.
Salah satu situasi penting yang mencorakkan pemikiran dan isu mazhab di Malaysia ialah sumber ilmu yang berbagai. Jika dahulu kebanyakan sarjana agama mendapat pendidikan didalam negeri atau di Mesir serta India. Namun demikian, suasan semasa menyaksikan kepelbagaian sumber. Keadaan ini wujud apabila terbukanya peluang melanjutkan pengajian dibidang Pengajian Islam di banyak negara didunia. Selain universiti-universiti negara Arab seperti Mesir, Jordan, Yaman, Maghribi dan lain-lain, ramai juga para sarjana yang melanjutkan pelajaran kenegara-negara barat seperti Uninted Kindom dan Amerika.
Selain daripada faktor yang telah diterangkan, perkembangan teknologi juga memberi kesan yang mendalam terhadap pemikiran bertaqlid dan bermazhab dalam masyarakat Malaysia. Dalam bidang ibadat masyarkat Islam tradisional menggunakan teknik melihat anak bulan sebagai cara mengetahui masuk bulan Ramadan dan Syawal, namun demikian, perkembangan ilmu astronomi dan rekaan alat berteknologi canggih telah menghasilkan pengetahuan yang lebih tepat.
Ilmu falak syarie tidak ketinggalan daripada mengalami perubahan. Para ilmuan menganggap kiraan falak adalah tepat dan melihat anak bulan merupakan kaedah sampingan yang kurang penting. Perubahan ini merupakan ijtihad yang terkeluar dari taqlid mazhab yang diamalkan selama ini. Walaupun begitu, perubahan yang dilakukan adalah secara berhati-hati supaya tidak menimbulkan keraguan dan kekeliruan kepada masyarakat umum.
Pandangan anda dihargai
Budaya Bermazhab dan Bertaqlid di Malaysia (4)

Sejarah Budaya
Bermazhab dan Bertaqlid di Malaysia
Jika keadaan yang diterangkan dalam perenggan sebelum ini membabitkan kebanyakan negara dunia Islam, maka perkara yang serupa juga dialami oleh Malaysia. Namun demikian kajian tentang budaya bertaqlid dan bermazhab di Malaysia amat berkait rapat dengan tarikh kemasukan Islam di Malaysia. Ini kerana amalan bertaqlid dan bermazhab tidak mungkin timbul sebelum kemasukan Islam ke negara ini.
Tarikh sebenar kemasukan Islam ke Malaysia masih menjadi bahan kajian para sarjana. Petunjuk yang didapati hasil kajian baru menguatkan teori kemasukan Islam jauh lebih awal dari seperti yang diketahui umum sebelum ini.
Pendapat yang mengatakan Islam di Malaysia di sebarkan oleh pedagang Gujerat juga telah di tolak oleh sebahagian sarjana. Mereka mengatakan Islam masuk lebih awal dan dipelopori penyebarannya oleh orang-orang Arab.
Kajian terbaru dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Utara Malaysia terhadap undang-undang Kedah mendapati Kedah adalah sebuah negara Islam yang mengamalkan hukum Islam dan kemasukannya adalah seawal kurun ketiga hijrah.
Kajian ini dibuktikan lagi dengan perilaku masyarakat Islam Malaysia yang amat sebati dengan ajaran Islam sehingga tersebarnya perkataan ‘masuk Melayu’ bagi menunjukkan kepada orang yang memeluk Islam.
Samada menerima teori kemasukan Islam melalui pelabuhan Melaka yang dikunjungi oleh orang-orang Gujerat, atau Islam di Malaysia berasal dari tanah besar China atau teori lain, apa yang jelasnya ialah masyarakat Malaysia telah menerima ajaran Islam dalam mazhab Syafie.
Bilakah pengaruh mazhab Syafie mula bertapak di Malaysia adalah tidak diketahui secara tepat. Namun demikian kitab-kitab karangan ulamak Patani dan Indonesia telah diajarkan di puasat-pusat pengajian di Malaysia. Kita-kita ini merujuk kepada mazhab Syafie dan secara lebih khusus ialah aliran pemikiran Nawawi dan Ghazali.
Kitab-kitab ini menjadi rujukan selama beberapa abad di pusat-pusat pengajian Islam yang tersebar di seluruh pelusuk semenanjung. Namun demikian setelah dunia Arab mengalami sedikit pembaharuan, dan lahirnya ulamak yang cuba menggalakkan ijtihad serta kupasan semasa terhadap Islam,maka Malaysia juga mengalami desakan kearah pembaharuan.
Pada dasarnya gelombakan desakan kearah pembaharuan itu berlaku sebanyak tiga kali dan cuba untuk mengajak masyarakat intelek di tanah air untuk melakukan sedikit pembaharuan. Pada tahun 20-30an kumpulan lepasan Arab Saudi balik dengan pengaruh pemikiran Syeih Abdul Wahab, Ibnu Taimiah dan Ibnu Qayim. Sheikh Muhd Tahir bin Jalaluddin al-Azhari adalah antara orang yang cuba membawa perubahan.
Selain dari pemikiran ulamak Saudi, pemikiran Muhammad Abduh dan Rashid Reda juga sampai ke Malaysia. Mereka menyeru supaya diadakan percambahan minda dan beberapa isu seperti isu bid’ah cuba dibangkitkan. Gelombangan ini juga datang dari lepasan India yang mendapat idea daripada pemikiran Waliullah al Dahlawi.
Gelombang kedua menuntut perubahan dan mengkritik pengamalan mazhab Syafie di Malaysia ialah sekitar tahun 40an hingga tahun 60an. Kumpulan ini cuba menghidupkan kembali usaha-usaha yang telah dipelopori oleh akivis sekitar dua dekat yang lalu. Semangat aliran ini agak kuat kerana mereka telah berjaya bertapak di negeri Perlis.
Isu-isu yang ditimbulkan oleh golongan pembaharuan ini walaubagaimanapun hanya berkisar dalam persoalan fekah ibadat dan sedikit pada permasaalahan teori dalam aqidah. Keadaan ini agak merumitkan kerana boleh menimbulkan perpecahan saf orang Islam.
Gelombang ketiga bermula disekitar tahun 70an. Kemunculan kali ini nampaknya lebih kuat kerana bukan sahaja orang-orang yang pulang dari Saudi sahaja telah terkesan dengan aliran ini, namun demikian pelajar bidang bukan agama dan melanjutkan pelajaran ke Eropah juga ramai yang telah terdedah dengan pemikiran pembaharuan ini.
Desakan kumpulan ini juga makin kuat keranan aliran ini mula mengukuh diperingkat antarabangsa. Tambahan lagi, negara Saudi menaungi segala aktiviti mereka dan negara-negara Islam lain seolah-olah tidak dapat untuk menyekat perkembangan ini kerana faktor pengaruh negara Arab Saudi.
Pandangan anda dihargai

Budaya Bertaqlid dan Bermazhab di Malaysia (3)
Ijtihad Selepas Zaman Sahabat

Setelah zaman sahabat berlalu, generasi tabin menggantikan mereka dengan budaya yang sama. Bezanya ialah keluasan negara semakin bertambah dan semakin banyak permasaalahan yang dihadapi memerlukan ijtihad. Ini kerana situasi setiap tempat dan keadaan yang dihadiapi amat berbeza. Mereka terus berijtihad tetapi zaman ini menyaksikan penambahan sumber ijtihad. Ini kerana pemikiran dan kajian juga semakin melebar bidangnya.

Jika dizaman sahabat sumber ijtihad tertumpu kepada quran, sunnah dan qias. Zaman tabin menyaksiakn penggunaan akal yang lebih luas. Mereka juga mengenali tempat, kaum dan cara hidup yang berbeza dari bangsa Arab. Oleh itu mereka juga menggunakan uruf dn sebagainya.

Zaman terus berlalu dan generasi tabin digantikan pula dengan tabi’ tabin. Keluasan negara Islam semakin ketara. Pendedahan kepada dunia luar juga semakin melebar. Pemikiran yang berbagai aliran dan metod yang berbeza semakin banyak. Kemuncak kepada keadaan ini ialah kurun ketiga hijrah. Dizaman inilah lahirnya para ulamak mujtahidin.

Masyarakat Islam amat terpegun dengan kehebatan ulamak seperti Abu Hanifah, Malik, Syafie dan Ahmad bin Hanbal. Selepas zaman kegemilangan yang diterajui oleh mereka ini, bermulalah zaman kejumudan. Pada zaman ini, para cendikiawan sudah tidak berijtihad seperti generasi terdahulu. Kekaguman mereka terhadap ulamak-ulamak terdahulu menyebabkan mereka merasakan cukuplah permasaalahan di zaman mereka diselesaikan melalui kitab-kitab yang telah dikarang oleh ulamak terdahulu.

Jika mereka mengarang sekalipun, maka karangan mereka akan berkisar disekitar mengulang-ulang kembali apa yang telah digarap oleh para cendikiawan silam. Dizaman ini mulalah tersebar pemikiran wajib bermazhab dengan mazhab empat. Wajib mengikuti mazhab tertentu dan pemikiran haram mengikut ulamak yang berlainan mazhab, jika berlaku, maka ianya perlu melalui iqrar pertukaran mazhab dan berniat untuk meninggalkannya.

Walaupun demikian ada juga sesetengah ulamak yang cuba membawa pembaharuan dan penggarapan semasa tetapi usaha-usaha mereka itu tidaklah meninggalkan kesan yang besar. Kemuncak kepada keadaan ini ialah kurun ke 10 hijrah apabila ramai dikalangan mereka telah menganggap pintu ijtihad telah tertutup dan segala permasaalahan perlu dilihat hanya dengan merujuk kepada peninggalan generasi silam.

Pandangan anda dihargai

Budaya Bertaqlid dan Bermazhab di Malaysia (2)

Mazhab di Zaman Sahabat

Kerana faham dengan situasi itu tadi, para sahabat tidak merasa serba salah untuk berijtihad dalam menyelesaikan masaalah yang dihadapi oleh mereka ketika mereka berjauhan dari baginda s.a.w. Apabila baginda s.a.w. wafat, para sahabat meneruskan pengamalan ijtihad bagi menyelesaikan masaalah semasa yang dihadapi.

Setiap orang sahabat yang mempunyai kemahiran akan berijtihad dengan ilmu yang mereka miliki dalam merungkaikan persoalan yang dihadapi. Keadaan ini terus wujud dengan begitu bebas. Mereka sedar dengan keanjalan dan keluasan Islam. Antara contoh jiwa tasamuh antara mereka ialah mereka tidak menyalahkan salah satu sama lain jika terdapat perbezaan sewaktu berijtihad.

Antara yang menarik ialah dikalangan sahabat yang agak berbeza pendapat dan ijtihad mereka ialah Ibnu Umar dan Ibnu Abas. Terpancar sikap toleransi mereka apabila mereka tidak berkelahi dalam ruang khilafiah walaupun pendapat dan ijtihad mereka jauh berbeza. Ibnu Abas menganggap semua binatang halal dimakan kecuali khinzir. Pendapat itu walaupun tidak diterima oleh kebanyakan sahabat tetapi tidak dibalas dengan maki hamun dan usaha memburukkan beliau. Sebaliknya persaudaraan Islam tidak sedikit pun tergugat dengan perselisihan itu.

Budaya Bertaqlid dan Bermazhab di Malaysia (1)

Muqadimah
Perkataan taqlid dan perkataan mazhab adalah dua perkataan yang saling berkait rapat. Taqlid berasal dari perkataan Qa’lada- Yuqa’lidu-Taqlidan. Ianya bermaksud mengikut. Dalam istilah syarak pula Taqlid bermaksud mengikut sesuatu pendapat tanpa berdasarkan hujah dan dalil.
Perkataan Mazhab pula berasal dari perkataan Zahaba sebagai kata dasar dan ianya bermaksud tempat. Perkataan ini juga membawa maksud pergi. Dalam istilah ulamak, mazhab bermakna: Hukum ijtihadiah yang telah diistinbatkan oleh ulamak mujtahidin berdasarkan dalil-dalil syarak yang bersifat zanni.
Mazhab di Zaman Rasulullah s.a.w.
Islam agama suci yang diturunkan Allah untuk sekelian makhluk. Kedatangan ajaran ini dikepalai oleh Rasulullah s.a.w. Baginda merupakan ikutan yang menghayati Islam dengan kata-kata dan perbuatan. Sewaktu baginda masih hidup baginda dikelilingi oleh para sahabat yang menjunjung tinggi setiap apa yang diajukan oleh baginda.
Kehidupan baginda ditengah-tengah para sahabat membuatkan mereka dengan mudah mempelajari segala bentuk pangajaran yang mahu disampaikan oleh baginda. Tambahan lagi ayat-ayat quran diturunkan bagi memenuhi keperluan semasa masyarakat sahabat. Quran menjawab banyak perkara yang dipersoalkan oleh para sahabat.
Bahasa quran yang sememangnya merupakan bahasa ibunda kaum Arab membuatkan mereka amat memahami ibarat dan susunannya dengan begitu mendalam. Mereka tidak perlu memasuki sebarang pelajaran bahasa atau kelas pengukuhan. Tambahan pula zaman itu merupakan kemuncak peradaban kesusasteraan Arab. Orang-orang Arab ketika itu berbangga dengan keindahan bahasa dan kelunakan puisi mereka.
Dalam susana itulah quran diturunkan dan hadis diucapkan. Segala perbuatan Rasulullah s.a.w. pula dirakamkan dengan hafalan dari para sahabat baginda. Sebenarnya usaha untuk menghafal bukanlah terlalu sukar bagi orang-orang Arab krtika itu. Sebenarnya mereka telah biasa menghafal syair-syair yang panjang. Perkara itu telah menjadi sebahagian kehidupan mereka.
Bangsa Arab juga hidup dalam suasana fitrah, mereka mempunyai kecenderungan yang paling hampir dengan tabiat kemanusiaan. Bukti kesucian fitrah mereka ialah mereka tidak memakan sesuatu yang disifatkan keji oleh sifat semulajadi manusia. Tidak berlaku perkahwinan sesama mahram didalam kaum Arab, sedangkan fenomena itu tersebar dalam masyarakat lain ketika itu.
Keadaan ini menyebabkan mereka menjadi kelompok yang paling sesuai membawa risalah agama yang bersifat universal ini. Dalam masa yang singkat sahaja mereka dapat memahami ajaran agama yang diturunkan dan menjadi pejungnya yang setia.
Sewaktu Rasulullah masih hidup, segala permasaalahan diajukan kepada baginda untuk diseesaikan. Apabila para sahabat menghadapi sebarang kemuskilan, mereka akan terus mendapatkan nasihat dan tunjuk ajar baginda. Baginda akan memberikan keputusan atau menunggu turunnya wahyu yang akan memberikan kepada mereka kata putus.
Dalam beberapa keadaan lain pula,nabi s.a.w. membiarkan para sahabat berijtihad sendiri dalam perkara yang tiada disebut dalam quran. Apabila mereka datang berjumpa nabi bagi mengetahui keputusan yang tepat, kadangkala nabi s.a.w tidak memberikan jawapan, sebaliknya baginda membiarkan soalan tersebut tanpa sebarang jawapan.
Keadaa ini sebenarnya bertujuan bagi mengajar para sahabat menggunakan kemahiran menyelesaikan masaalah kerana merekalah bakal pewaris risalah suci Islam itu. Bahkan nabi s.a.w. sendiri juga berijtihad. Baginda berijtihad apabila keadaan yang dihadapi tidak terdapat penyelesaiannya secara langsung didalam alquran, sambil menunggu pemeritahuan dari Allah, beliau berijtihad.
Dalam beberapa keadaan ijtihad baginda ditegur oleh Allah. Keadaan ini tidak mencacatkan kenabian kerana ianya sebagai satu pendidikan bukan sahaja kepada nabi, tetapi juga kepada para sahabat yang melihat dan mememerhatikan setiap perkara yang berlaku keatas baginda s.a.w.