Tafsir Jumaat: Surah Ali Imran 83-89

83-
أَفَغَيْرَ دِينِ اللَّهِ يَبْغُونَ وَلَهُ أَسْلَمَ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ طَوْعًا وَكَرْهًا وَإِلَيْهِ يُرْجَعُون
84
قُلْ آمَنَّا بِاللَّهِ وَمَا أُنزِلَ عَلَيْنَا وَمَا أُنزِلَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ وَالأَسْبَاطِ وَمَا أُوتِيَ مُوسَى وَعِيسَى وَالنَّبِيُّونَ مِن رَّبِّهِمْ لاَ نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِّنْهُمْ وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ
85-
وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الإِسْلامِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ
86-
كَيْفَ يَهْدِي اللَّهُ قَوْمًا كَفَرُواْ بَعْدَ إِيمَانِهِمْ وَشَهِدُواْ أَنَّ الرَّسُولَ حَقٌّ وَجَاءَهُمُ الْبَيِّنَاتُ وَاللَّهُ لاَ يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ
87-
أُوْلَئِكَ جَزَاؤُهُمْ أَنَّ عَلَيْهِمْ لَعْنَةَ اللَّهِ وَالْمَلائِكَةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ
88-
خَالِدِينَ فِيهَا لاَ يُخَفَّفُ عَنْهُمُ الْعَذَابُ وَلاَ هُمْ يُنظَرُونَ
89-
إِلاَّ الَّذِينَ تَابُواْ مِن بَعْدِ ذَلِكَ وَأَصْلَحُواْ فَإِنَّ اللَّه غَفُورٌ رَّحِيمٌ


Ayat ini menerangkan bahawa Bani Israel di zaman nabi-nabi terdahulu telah Islam, tetapi anak-anak dan keturunan mereka telah kufur dan syirik kepada Allah. Sifat ini menjadi semakin buruk kerana Yahudi di zaman berlakunya kekufuran bermegah-megah dengan datuk nenek mereka yang Islam Mereka bermegah dengan datuk nenek mereka yang beriman tetapi mereka sendiri kufur!!!

[83]Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari lain dari agama Allah? Padahal kepadaNyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepadaNya lah mereka dikembalikan.

Perhatikan ayat diatas, Allah menjelaskan penyelewengan manusia dan kemudiannya menjelaskan kekuasaanNya. Adalah tidak lojik untuk manusia menentang Allah kerana Allah menguasai langit dan bumi!!!

Kalau Allah menguasai langit dan bumi mengapa pula manusia kafir? Lihat kepada ‘tuhan-tuhan’ yang disembah selain Allah. Bukankah mereka disembah lantaran kekaguman terhadap mereka. Ada kaum yang menyembah matahari kerana kagum dengan matahari, ada yang menyembah gajah kerana kagum dengan binatang itu. Sayangnya kekaguman itu tidak sebenar. Mengapa tidak kagum dan tunduk kepada Allah sedangkan seluruh makhluk tunduk kepadanya, tidak seperti sembahan yang lemah itu.

Apakah bukti semua yang ada di dunia dan langit tunduk kepada Allah? Kalau manusia tunduk kepada Allah amat mudah untuk difahami, tapi bagaimana seluruh alam dikatakan tunduk kepada Allah? Manusia tidak mendengar mereka memuji dan berzikir kepada Allah!!! Ya zikir dan memuji dengan suara dan gerakan adalah sifat manusia. Bukti seluruh alam taat kepada Allah ialah mereka tidak dapat lari dari mengikut sistem alam yang ditetapkan oleh Allah. Hukum alam yang ditetapkan itu terpaksa diterima oleh pokok, binatang, cakrawala dan semua makhluk. Bumi berpusing di atas paksinya, bergerak melalui orbitnya, iulah antara ketetapan alam pada bumi dan segala planet. Mereka tidak dapat melanggar ketetapan Allah!!! Begitu juga manusia, begitu juga haiwan, masing-masing terpaksa akur, tunduk dan patuh.

Jika plenet itu kamu dapati sebenarnya lemah, jika haiwan kamu dapati lemah, jika pokok, batu dan diri kamu sendiri adalah lemah maka…..

[84]Katakanlah (wahai Muhammad): “Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang telah diturunkan kepada kami, dan kepada apa yang telah diturunkan kepada Nabi-nabi: Ibrahim, dan lsmail, dan Ishak, dan Yaakub, dan keturunannya, dan kepada apa yang telah diberikan kepada Nabi-nabi: Musa dan Isa, dan sekalian Nabi-nabi dari Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan seseorang pun di antara mereka, dan kepada Allah jualah kami berserah diri (Islam)”.

Inilah kesan ilmu. Inilah kesan kajian dan penelitian. Mengesakan Allah. Semua makhluk terasa kerdil, kecil tidak berkuasa. Penyerahan, harapan, ketaatan hanya kepada Allah. Terlerailah tuhan-tuhan selainNya. Terbatallah keegoan di depan kekuasaannya…hancurlah sembahan yang terdiri dari batu-batan yang tak bernyawa, atau tokoh dan individu yang dipuja atau syaitan dan iblis …semuanya rendah dan hina disisi Allah.

[85]Dan sesiapa yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.

[86]Bagaimana Allah akan memberi petunjuk hidayah kepada sesuatu kaum yang kufur ingkar sesudah mereka beriman, dan juga sesudah mereka menyaksikan bahawa Rasulullah (Nabi Muhammad) itu adalah benar, dan telah datang pula kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk hidayahNya kepada kaum yang zalim.

Allah tidak menzalimi mereka bila tidak memberi hidayah kepada mereka. Ini kerana Allah menjadikan sesuatu dengan sebab musabab. Apabila mereka memahami kebenaran tetapi membencinya bagaimana mereka boleh menerima dan mendapat hidayah? Seseorang yang ikhlas mencari kebenaran akan senang menerimanya bila dia menjumpai kebenaran yang dicari itu. Tetapi ianya tidak mungkin berlaku kepada orang yang telah memahami kebenaran tetapi masih membencinya. Jika itulah perangainya maka…

[87]Mereka itu balasannya ialah bahawa mereka ditimpa laknat Allah dan malaikatNya sekalian orang-orang (yang beriman).

[88]Mereka kekal di dalamnya, tidak diringankan azab seksa daripada mereka dan mereka pula tidak diberi tempoh atau perhatian

[89]Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah (ingkar) itu, serta memperbaiki keburukan mereka, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani

Pandangan anda dihargai

Tafsir Jumaat: Surah Ali Imran 78-82

78-

وَإِنَّ مِنْهُمْ لَفَرِيقًا يَلْوُونَ أَلْسِنَتَهُم بِالْكِتَابِ لِتَحْسَبُوهُ مِنَ الْكِتَابِ وَمَا هُوَ مِنَ الْكِتَابِ وَيَقُولُونَ هُوَ مِنْ عِندِ اللَّهِ وَمَا هُوَ مِنْ عِندِ اللَّهِ وَيَقُولُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ وَهُمْ يَعْلَمُونَ

79-

مَا كَانَ لِبَشَرٍ أَن يُؤْتِيَهُ اللَّهُ الْكِتَابَ وَالْحُكْمَ وَالنُّبُوَّةَ ثُمَّ يَقُولَ لِلنَّاسِ كُونُواْ عِبَادًا لِّي مِن دُونِ اللَّهِ وَلَكِن كُونُواْ رَبَّانِيِّينَ بِمَا كُنتُمْ تُعَلِّمُونَ الْكِتَابَ وَبِمَا كُنتُمْ تَدْرُسُونَ

80-

وَلاَ يَأْمُرَكُمْ أَن تَتَّخِذُواْ الْمَلائِكَةَ وَالنَّبِيِّينَ أَرْبَابًا أَيَأْمُرُكُم بِالْكُفْرِ بَعْدَ إِذْ أَنتُم مُّسْلِمُونَ

81-

وَإِذْ أَخَذَ اللَّهُ مِيثَاقَ النَّبِيِّينَ لَمَا آتَيْتُكُم مِّن كِتَابٍ وَحِكْمَةٍ ثُمَّ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مُّصَدِّقٌ لِّمَا مَعَكُمْ لَتُؤْمِنُنَّ بِهِ وَلَتَنصُرُنَّهُ قَالَ أَأَقْرَرْتُمْ وَأَخَذْتُمْ عَلَى ذَلِكُمْ إِصْرِي قَالُواْ أَقْرَرْنَا قَالَ فَاشْهَدُواْ وَأَنَاْ مَعَكُم مِّنَ الشَّاهِدِينَ

82-

فَمَن تَوَلَّى بَعْدَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

Allah menceritakan lagi kepada kita umat Islam keburukan yang dilakukan oleh Bani Israel, keburukan yang dibentangkan kali ini juga melibatkan amanah.

Jika dalam ayat lepas Allah menerangkan hilangnya amanah dalam hubungan muamalat maka kali ini Allah menerangkan pula bahawa amanah ilmu juga telah dilanggar oleh Bani Israel.


[78]
Dan sesungguhnya, di antara mereka (Ahli Kitab itu) ada yang memutar-mutar lidahnya semasa membaca Kitab Taurat (dengan mengubah maknanya), supaya kamu menyangkanya sebahagian dari Kitab Taurat padahal ia bukanlah dari Kitab itu. Dan mereka pula berkata: “(bahawa) ia adalah (datangnya) dari sisi Allah”, padahal ia bukanlah dari sisi Allah; dan mereka pula tergamak berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta).

Allah mendedahkan teknik penyelewengan ilmiah yang berlaku:
1- Mereka mentafsirkan Kitab Taurat dengan makna yang salah dan mengaburi masyarakat.
2-Mereka mereka-reka sesuatu yang tidak ada dalam agama lalu mendakwa ianya adalah dari Allah.

Kejahatan golongan peniaga melanggar amanah dalam muamalat akan meruntuhkan ekonomi, sementara kejahatan golongan agama melanggar amanah ilmu akan meruntuhkan pegangan agama masyarakat.

Kebiasaannya sifat tidak amanah dikaitkan dengan orang yang tidak berilmu, mengapa pula ulamak juga boleh terkena dengan penyakit yang merbahaya ini? Jawapannya ialah kerana ketaqwaanlah yang menjadi fokus sebenar. Ilmu pula adalah penunjuk jalan. Jika orang berilmu boleh terpesong maka alangkah senangnya bagi orang yang tidak berilmu untuk terpesong lebih jauh lagi.

Apabila ketaqwaan yang tersimpan dalam hati sudah tidak ada, maka agama juga boleh dipergunakan oleh seseorang untuk mencapai kepentingan peribadinya.

Agama yang pada dasarnya menjadi alat untuk mendekatkan diri kepada Allah akan dipergunakan untuk mendapat tujuan keduniaan.

Melalui kedua-dua teknik yang dilakukan oleh Bani Israil itu tadi, dapat juga dibayangkan bahawa orang yang melanggar amanah ilmu itu sebenarnya ialah orang-orang yang jahil.

Ini kerana mereka telah mentafsirkan kitab Taurat denan maknanya yang tidak sebenar!! Mungkin sebenarnya jahil, tidak berilmu, tetapi disebabkan kepentingan tertentu cuba juga mentafsirkan kitab kerana mereka disangka oleh orang-orang yang jahil sebagai ulamak.

Orang-orang yang yang jahil juga dengan mudah boleh mereka apa-apa sahaja yang mengguntungkan mereka lalu dikatakan ianya dari ajaran agama.

Sekarang ini kita semakin faham mengapa Allah telah mengubah kenabian yang semenjak sekian lama dipilih dari kalangan Bani Israel tetapi ditukar kepada bangsa Arab. Kita telah mula faham sabab musababnya ialah kerana Bani Israel telah kehilangan hemah, akhlak dan kemuliaan.

Mana sahaja bangsa yang tidak memiliki hemah, akhlak dan kemuliaan maka mereka tidak layak untuk menerajui dunia, inilah sunah alam yang berlaku disepanjang zaman.

Beberapa penyelwengan jenis ini, telah berlaku juga dalam kehidupan umat Muhammad. Kalaulah tidak kerana jaminan Allah bahawa umat inilah yang akan mewarisi bumi ini, maka sudah tentu mereka juga telah menemui kehancuran sebagaimana Bani Israel.

Lahirnya berbagai ajaran sesat yang bermula dengan dakwaan kenabian, rekaan hadis-hadis palsu, penyebaran amalan bidah, penggunaan agama untuk kepentingan puak, pangkat dan kedudukan. Ianya berlaku disepanjang sejarah umat Muhammad.

Namun apa yang membezakan umat ini dari Bani Israel ialah umat Muhammad tidak sepakat dalam kejahatan dan maksiat. Akan tetap ada orang yang bangkit dari umat ini untuk memerangi segala penyelewengan yang berlaku terhadap agama tercinta ini. Kesan dari pendirian sebahagian orang yang sanggup menegakkan kebenaran ialah umat ini tetap terpelihara dari kehancuran yang menyeluruh.

Namun demikian dari semasa kesemasa timbul juga percuabaan mempergunakan agama walaupun tidak sampai ketahap Bani Israel. Antara peristiwa yang terakhir berlaku ialah apabila kerajaan Mesir telah menggunakan fatwa al Azhar untuk membenarkan perbuatan pihak berkuasa membina tembok disempadan Mesir Palestin bagi mengepung rakyat Palestin. Walau bagaimanapun ulamak dan orang-orang Islam seluruh dunia membantah tindakan dan fatwa yang dianggap satu pembohongan dan pencerobohan terhadap hak kemanusiaan dan kesucian Islam.

Di Malaysia, saya melihat perbuatan memperniagakan air-air jampi dan doa, perbuatan memperniagakan barangan makanan yang didakwa mengandungi jampi dan bacaan quraan tertentu termasuk dalam ertikata penyelewengan terhadap agama dan satu penggunaan terhadap kitab Allah atas tujuan keduniaan.

Penjualan kopi dan teh misalnya yang mempunyai unsur agama seperti gambar orang sedang berdoa atau solat adalah percubaan pemasaran yang kotor dan keji kerana menipu masyarakat yang jahil seolah-olahnya kopi dan teh tersebut termasuk dalam urusan keagamaan yang dituntut oleh Islam. Hasil yang sebenarnya ialah keuntungan yang melimpah ruah kepada ‘ulamak-ulamak Bani Israel’ yang sedang memperdagangkan agama mereka.

Selain itu, terdapat para penceramah, penganalisa dan berbagai nama lagi yang dengan tidak segan-segan mengupas dan mengulas perkara berkaitan agama sedangkan merka tidak mempunyai keahlian dalam urusan tersebut.

Amanah ilmiah sebenarnya bukan sahaja perlu ditekankan dalam persoalan keagamaan, tetapi dalam semua bidang, kediktoran, kejuruteraan, ekonomi dan sebagainya. Akibat nasihat dan consultasi yang bersifat tidak amanah dan berkepentingan peribadi, syarikat-syarikat besar dan pentadbiran negara sendiri akan musnah.

Semasa saya belajar subjek Strategic Management, pensyarah yang bepengalaman dalam bidang korporat berkata, ramai CEO yang bila masuk kesesebuah syarikat mula merangka strategi untuk membuat keuntungan peribadi, apabila mereka meninggalkan syarikat yang diterajui, syarikat mengalami kerugian besar sementara poket mereka sarat berisi emas.

Di zaman Rasulullah, orang-orang Yahudi Bani Najran datang berjumpa Rasulullah dan cuba bertolak ansur dengan baginda. Mereka ingin merasuah baginda s.a.w. dengan kuasa agama, kuasa yang sering dikejar-kejar oleh manusia selepas kuasa politik. Mereka menawarkan untuk menyembah baginda.

Penegasan terhadap kesucian Islam ditetapkan oleh Allah, menjelaskan bahawa Rasulnya s.a.w. adalah manusia yang bukan mengejar kuasa agama sebagaimana yang disangkakan.

[79
]
Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab ugama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai: “Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah”. Tetapi (sepatutnya ia berkata): “Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala – dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya.

[80]
Dan ia tidak pula patut menyuruh kamu menjadikan malaikat dan Nabi-nabi sebagai tuhan-tuhan. Patutkah ia menyuruh kamu dengan kekufuran sesudah kamu menjadi orang Islam?

Para nabi dan rasul adalah orang-orang yang menjaga amanah, mereka tidak mempergunakan agama untuk tujuan peribadi, mereka tidak menjadikan taraf kenabian untuk mendapat kuasa dan pangkat, meraka menjaga amanah tersebut kerana mereka telah menerimanya dari Allah sebagai tanggungjawab yang dipersoalkan.

[81]Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia dari Nabi-nabi (dengan firmanNya): “Sesungguhnya apa jua Kitab dan Hikmat yang Aku berikan kepada kamu, kemudian datang pula kepada Kamu seorang Rasul yang mengesahkan apa yang ada pada kamu, hendaklah kamu beriman sungguh-sungguh kepadanya, dan hendaklah kamu bersungguh-sungguh menolongnya”. Allah berfirman lagi (bertanya kepada mereka): “Sudahkah kamu mengakui dan sudahkah kamu menerima akan ikatan janjiku secara yang demikian itu?” Mereka menjawab: “Kami berikrar (mengakui dan menerimanya)”. Allah berfirman lagi: “Jika demikian, maka saksikanlah kamu, dan Aku juga menjadi saksi bersama-sama kamu.”

[82]Kemudian sesiapa yang berpaling ingkar sesudah mengakui perjanjian setia itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.

Pandangan anda dihargai

Tafsir Surah Ali Imran 3

75-
ومِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ مَنْ إِن تَأْمَنْهُ بِقِنطَارٍ يُؤَدِّهِ إِلَيْكَ وَمِنْهُم مَّنْ إِن تَأْمَنْهُ بِدِينَارٍ لاَّ يُؤَدِّهِ إِلَيْكَ إِلاَّ مَا دُمْتَ عَلَيْهِ قَائِمًا ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ قَالُواْ لَيْسَ عَلَيْنَا فِي الأُمِّيِّينَ سَبِيلٌ وَيَقُولُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ وَهُمْ يَعْلَمُونَ

76-
بَلَى مَنْ أَوْفَى بِعَهْدِهِ وَاتَّقَى فَإِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَّقِينَ

77-
إِنَّ الَّذِينَ يَشْتَرُونَ بِعَهْدِ اللَّهِ وَأَيْمَانِهِمْ ثَمَنًا قَلِيلاً أُوْلَئِكَ لاَ خَلاقَ لَهُمْ فِي الآخِرَةِ وَلاَ يُكَلِّمُهُمُ اللَّهُ وَلاَ يَنظُرُ إِلَيْهِمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَلاَ يُزَكِّيهِمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Dalam ayat-ayat yang lepas alqurnan telah menceritakan keburukan yang telah dilakukan oleh orang-orang Yahudi. Satu lagi keburukan yang diamalkan oleh mereka ialah tidak amanah. Apabila mereka berurusan dalam harta mereka akan memakan harta orang secara zalim. Tidak mahu membayar balik hutang orang adalah kerja jahat yang di lakukan oleh mereka.

Alangkah banyaknya sifat ini dikalangan orang Islam sekarang. bank Islam pernah memperkenalkan pinjaman yang dinamakan qardul hasan. Pinjaman ini tidak bersifat menghasilkan keuntungan. Sesiapa yang pinjam RM1000 maka bayar balik RM1000. Akhirnya skim ini terpaksa ditutup kerana terlalu ramai orang yang tak bayar. Begitu juga dengan hutang-hutang lain.

Sewaktu Allah mahu menceritakan keburukan Yahudi yang tidak amanah, Allah juga menceritkan bahawa dikalangan mereka ada juga yang amanah. Ayat ini memberi pengajaran tambahan kepada kita supaya berakhlak dengan akhlak yang mulia, janganlah menyembunyikan kebaikan orang yang kita marahi dan janganlah menukarkan fakta. Ramai orang Islam yang apabila marah terhadap sesuatu kumpulan maka semua yang dilakukan oleh kumpulan itu dianggap salah walaupun pada hakikatnya betul. Ini adalah salah satu perlanggaran terhadap amanah.

75-Dan di antara Ahli Kitab, ada orang yang kalau engkau amanahkan dia menyimpan sejumlah besar harta sekalipun, ia akan mengembalikannya (dengan sempurna) kepadamu, dan ada pula di antara mereka yang kalau engkau amanahkan menyimpan sedinar pun, ia tidak akan mengembalikannya kepadamu kecuali kalau engkau selalu menuntutnya. Yang demikian itu ialah kerana mereka mengatakan: “Tidak ada jalannya kami menanggung dosa mengenai orang-orang yang Ummi dan, mereka pula selalu berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta).

Orang-orang Yahudi rata-ratanya berangapan menzalimi orang lain selain Yahudi adalah harus. Bila mereka melakukan kejahatan kepada orang-orang Arab mereka menganggap perbuatan itu tidak berdosa.

Dalam kehidupan umat Islam masakini sikap ini juga tersebar. Ramai orang yang menganggap menipu pelancung tak bersalah atau inilah peluangnya untuk menipu, kalau ada orang luar yang datang ke negara kita atau ada sesuatu masaalah yang melibatkan orang yang tidak kita kenali maka sebahagian ahli masyarakat tidak teragak-agak untuk menzalimi . Perbuatan ini disangkal oleh Allah dengan memberikan kaedah umum.

76-Bahkan (mereka berdosa), sesiapa yang menyempurnakan janjinya (mengenai hak orang lain) dan bertaqwa, maka sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa.

Ayat diatas menggunakan perkataan ‘sesiapa’ untuk menunjukkan kaedah ini terkena kepada seluruh manusia dan bukan kepada orang Yahudi sahaja. Sesiapa yang bertaqwa dia akan dikasihi Allah, sesiapatidak bertaqwa dia akan dimurkai.

Sesiapa yang bersifat juga dengan perangai buruk yang telah disebutkan maka mereka akan mendapat murka Allah:

77-Sesungguhnya orang-orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan menolak janji Allah dan mencabuli sumpah mereka, mereka tidak akan mendapat bahagian yang baik pada hari akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan memandang kepada mereka pada hari Kiamat, dan tidak akan membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Murkanya Allah kepada orang yang melakukan berbagai kejahatan yang telah diterangkan sehinggaAllah menjelaskan bahawa mereka tidak akan mendapat kebahagiaan di akhirat, Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka, Allah tidak memandang mereka, Allah tidak akan mengampunkan mereka dan untuk mereka azab yang pedih.

Sifat Buruk Yahudi

يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لِمَ تُحَآجُّونَ فِي إِبْرَاهِيمَ وَمَا أُنزِلَتِ التَّورَاةُ وَالإنجِيلُ إِلاَّ مِن بَعْدِهِ أَفَلاَ تَعْقِلُونَ

هَاأَنتُمْ هَؤُلاء حَاجَجْتُمْ فِيمَا لَكُم بِهِ عِلمٌ فَلِمَ تُحَآجُّونَ فِيمَا لَيْسَ لَكُم بِهِ عِلْمٌ وَاللّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لاَ تَعْلَمُونَ

مَا كَانَ إِبْرَاهِيمُ يَهُودِيًّا وَلاَ نَصْرَانِيًّا وَلَكِن كَانَ حَنِيفًا مُّسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

إِنَّ أَوْلَى النَّاسِ بِإِبْرَاهِيمَ لَلَّذِينَ اتَّبَعُوهُ وَهَـذَا النَّبِيُّ وَالَّذِينَ آمَنُواْ وَاللّهُ وَلِيُّ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya:

[65]Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu berani memperdebatkan tentang (ugama) Nabi Ibrahim, padahal Taurat dan Injil tidak diturunkan melainkan kemudian daripada (zaman) Ibrahim; patutkah (kamu berdegil sehingga) kamu tidak mahu menggunakan akal?

Wacana Ilmuan:

Ayat-ayat dia atas adalah ayat 65-68 daripada surah A’li Imran. Ayat-ayat ini menerangkan sebahagian daripada sifat buruk yang telah dilakukan oleh kaum Bani Israil.

Sifat buruk yang dinyatakan di atas ialah mereka saling mengaku bahawa nabi Ibrahim berada dipihak mereka. Orang-orang Yahudi mendakwa nabi Ibrahim beragama Yahudi. Sementara orang Kristian pula mengaku bahawa nabi Ibrahim beragama Kristian.

Mengapa Allah marah dengan sifat ini sedangkan orang Islam juga mengaku bahawa nabi Ibrahim adalah beragama Islam? Jawapannya ialah kerana Bani Israil dari kedua-dua pihak itu hanya mengaku sahaja sedangkan mereka tidak tahu menahu tentang nabi Ibrahim.

Dakwaan orang Yahudi hanya bagi memenangi perbalahan mereka dengan orang Kristian dan begitu juga sebaliknya. Apa yang sepatutnya mereka lakukan ialah mereka mengkaji apakah hakikat agama nabi Ibrahim, bila mereka dapati nabi Ibrahim adalah nabi yang menyeru kepada tauhid dan menolak syirik maka mereka sepatutnya membuang iktikad syirik yang mereka anuti.

Adapun apa yang dilakukan oleh Yahudi dan Kristian adalah sebaliknya, mereka hanya berbangga dengan nabi itu dan ini tetapi amalan mereka bercanggah dengan amalan nabi-nabi.

Bagi membuktikan sifat buruk mereka itu Allah menyatakan ayat[66]

Kamu telah berbantahan tentang perkara yang kamu ada pengetahuan mengenainya (ajaran nabi Musa), maka mengapa kamu membuat dakwaan tentang perkara yang tidak ada pada kamu sedikit pengetahuan pun bersabit dengannya? Dan (ingatlah), Allah mengetahui (hakikat yang sebenarnya) sedang kamu tidak mengetahuinya.

Orang-orang Yahudi telah menolak agama nabi Musa bagaimana boleh mereka mendakwa nabi Ibrahim berada dipihak mereka. Orang-orang Kristian pula telah mendakwa nabi Ibrahim dipihak mereka sedangkan mereka menolak kenabian nabi Isa. Oleh itu terdedahlah hakikat dakwaan mereka, mereka bukan mencari kebenaran tetapi sebaliknya hanya mahu mengaburi mata masyarakat.

Setelah mengetahui hakikat ini mudahlah bagi kita untuk memahami firman Allah yang seterusnya yang bermaksud:

[67]Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk ugama Yahudi, dan bukanlah ia seorang pemeluk ugama Kristian, tetapi ia seorang yang tetap di atas dasar Tauhid sebagai seorang Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah), dan ia pula bukanlah dari orang-orang musyrik.

Allah menerangkan bagaimana hakikat sebenarnya yang perlu dihayati oleh manusia. Kita bukan bermegah-megah dengan nabi-nabi hanya kerana keturunan, bangsa atau kenegerian, tetapi yang berhak mewarisi kemegahan dan kepimpinan nabi Ibrahim ialah pewaris ketaqwaan dan keimanannya.

[68]Sesungguhnya orang-orang yang hampir sekali kepada Nabi Ibrahim (dan berhak mewarisi ugamanya) ialah orang-orang yang mengikutinya dan juga Nabi (Muhammad) ini serta orang-orang yang beriman (umatnya – umat Islam). Dan (ingatlah), Allah ialah Pelindung dan Penolong sekalian orang-orang yang beriman.

*Sifat buruk Bani Israil itu tidak dimiliki oleh umat nabi Muhammad kerana umat nabi Muhammad dilindungi daripada kesesatan yang umum. Namun demikian cebisan atau percikan dari sifat itu wujud dan tersebar luas.

Banyak pihak yang mendakwa mewarisi kemegahan dan menisbahkan diri mereka kepada sesuatu yang baik tetapi mereka berbuat demikian bukan untuk mengamalkan hakikat kemurnian ajaran yang dibawa oleh tokoh tertentu, yang mereka inginkan ialah sokongan manusia dan pujian yang membawa pengaruh semata-mata. Alangkah ruginya orang yang bersifat demikian.

*Sebenarnya saya ada menyampaikan kuliah tafsir di masjid tetapi tidak direkodkan. Akibatnya tafsir-tafsir itu tidak dapat dimanafaatkan sepenuhnya. Seorang kawan mencadangkan agar saya merekodkan kuliah-kuliah tersebut. Hasil dari cadangan itu saya cuba untuk menulis sebahagian dari tafsir-tafsir tersebut untuk tujuan manafaat yang lebih besar. Selain itu diharapkan kepada sesiapa yang mengesan kelemahan dan mempunyai komen untuk tidak keberatan menyatakannya.

Pandangan anda dihargai