Siri 15 Ringkasan dan Ulasan Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir Oleh Ibnu Asyur

Ibnu Asyur Menolak Pandangan Imam Syatibi

Di dalam muqaddimah keempat, Ibnu Asyur menolak pandangan al-Syatibi yang tidak menerima adanya hubungan antara Al-Quran dengan ilmu-ilmu kemanusiaan khususnya yang lahir selepas zaman penurunan wahyu.

Ibnu Asyur menolak pandangan tersebut dengan memberikan enam hujah:

1- Pandangan al-Shatibi itu seolah-olah menafikan pertukaran situasi orang-orang Arab dari suasana awal mereka yang tidak memiliki ilmu-ilmu lain kepada keadaan mereka yang bertamadun dan berilmu. Ibnu Asyur menolak pandangan ini dengan membawa hujah dari ayat 49 surah Hud.

2- Maqasid Al-Quran itu sendiri berupa dakwah untuk sepanjang zaman. Oleh itu Al-Quran mestilah mengandungi atau berupaya untuk difahami berdasarkan ilmu-ilmu umat selepasnya.

3- Golongan salaf bahkan al-Syatibi sendiri mengatakan bahawa Al-Quran tidak akan berhenti menunjukkan keajaiban dan mukjizatnya. Keadaan ini tidak akan tercapai jika sekiranya Al-Quran hanya memiliki ilmu umat di zaman ianya diturunkan sahaja.

bersambung…

Ustaz Rosli
18 Muharram 1440
28 September 2018

Setiap Anak Adam Melakukan Kesalahan كل ابن آدم خطاء

Setiap anak adam melakukan kesalahan كل ابن آدم خطاء Dari sudut teorinya ramai umat Islam mengakui hakikat diatas, tetapi realiti yang berlaku di dalam masyarakat sangat berbeza. Sebaik sahaja adanya seorang individu yang menyerlah dalam sesuatu bidang dalam masyarakat maka dengan segera sekumpulam manusia akan menjulangnya sebagai hero yang tidak boleh dipertikaikan lagi. Reaksi ini berlaku terhadap penyokong seorang pemimpin, pemikir atau tidak kurang juga terhadap seorang ulamak. Bahkan dewasa ini tidak musthil juga berlaku kepada pengikut yang taksub kepada artis dan ahli sukan. 

Untuk mengubat penyakit taksub ini, perlu sekali pengikut yang diserang penyakit jiwa yang kronik ini disedarkan bahawa: 
  • Mereka perlu membezakan antara kritikan dan serangan liar dengan kritikan dan teguran positif yang perlu diberikan sokongan dan penghargaan
  • Menegur, memperbetul dan bahkan mengkritik ulamak, tokoh politik dan pemikir bukanlah satu kesalahan sebaliknya merupakan keperluan dalam sebuah masyarakat yang memartabatkan budaya ilmu.
  • Wacana pemikiran dan garapan minda bukan bermaksud menyelongkar kehidupan individu seseorang tokoh tapi dilakukan dalam skop hak masyarakat yang berkongsi kehidupan luaran mereka.
  • Memberikan imuniti kepada seseorang untuk terkecuali daripada sebarang persoalan, tanggungjawab dan kritikan akan membawa kepada unsur pemujaan terhadap individu. Alangkah banyaknya kata-kata daripada para ulamak Islam yang menunjukkan mereka beriman dengan kebebasan wacana dan keluasan syura Islam. 


Kata Imam Malik: 

Pandanganku yang bertepatan dengan al Quran dan sunnah maka ambillah, dan yang bertentangan dengan keduanya maka abaikanlah. Kata-kata yang mengandungi roh yang sama diucapkan oleh Imam Syafie dengan kata beliau: Pandanganku betul tetapi berkemungkinan salah, dan pandangan orang lain adalah salah tetapi berkemungkinan benar. Kedua-dua tokoh ini mahu menjelaskan bahawa tidak ada seorang pun yang mewakili kebenaran secara mutlak kecuali Rasulullah s.a.w. 

Pandangan anda dihargai

KEMEGAHAN SEBENAR

Kemegahan sebenar ialah apabila seseorang itu memiliki zuriat yang berpendirian….yang memiliki jatidiri dan mempertahankan apa yang diwarisi oleh keturunannya……Pandangan anda dihargai

Tafsir Ayar 199-200 Surah ‘Ali Imran (akhir surah)

Kuliah Tafsir Bulan Oktober: 
Kuliah ini disampaikan di Masjid Abu Bakar al-Sidiq, Bansar Kuala Lumpur
Surah ‘Ali Imran199-200
Sebelum solat Jumaat 
9 November 2012

Firman Allah  bermaksud:

Dan sesungguhnya di antara Ahli Kitab, ada orang yang beriman kepada Allah dan (kepada) apa yang diturunkan kepada kamu (Al-Quran) dan juga (kepada) apa yang diturunkan kepada mereka, sedang mereka khusyuk kepada Allah dengan tidak menukarkan ayat-ayat Allah untuk mengambil keuntungan dunia yang sedikit. Mereka itu beroleh pahalanya di sisi Tuhan mereka. Sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.

[199]

Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).

[200]


Pengajaran ayat:

1)Walaupun Allah murka kepada kebanyakan Bani Israel kerana kejahatan yang telah dilakukan namun kemurkaan itu tidak membuatkan Allah menafikan adanya kumpulan yang baik.

Peristiwa berimannya Najasyi setelah dibacakan kepadanya Surah Maryam oleh Ja’far bin Abi Talib. Berimannya Abdullah bin Salam salah seorang ulamak Yahudi di Madinah dll.

2) Sifat-sifat yang terpuji disebut dalam ayat di atas ialah: 
                       i- Beriman kepada Allah
                       ii-Beriman kepada kitab al-Quran
                       iii-Beriman kepada kitab-kitab terdahulu
                      iv-Khusyu’ kepada Allah
                      i-Tidak mengubah kebenaran untuk mendapatkan habuan dunia

3)Siapa yang mampu mempertahankan perinsip ini akan berjaya 

4) Sabar sebagai senjata untuk mencapai kemenangan.

5) Sabar bermaksud meneruskan usaha dan terus tekun bukannya semata-mata mengharap dari Allah tanpa usaha.

6) Pihak yang lebih tinggi kesabaran dan kegigihan mereka , pihak itulah yang akan berjaya
7) Lima sebab kejayaan disebut dalam ayat 200
                     i) Sabar 
                    ii) Perkasakan kesabaran 
                    iii) Bersatu dan berganding bahu (kerja dalam kumpulan)
                    vi) Behati-hati
                    v) Taqwa

Tamat surah ‘Ali Imran, insyaallah dalam kuliah yang akan datang akan mentafsirkan dari awal Surah al-Nisa. Insyaallah

Pandangan anda dihargai

Tarikat Tijaniah?

Soalan: Apa pandangan ustaz berkenaan Tarikat Tijaniah?
Jawapan:
Melalui maklumat yang saya ada, tarikat ini berasal dari Algeria dan pengasasnya ialah Syeikh Ali al-Tamasini wafat tahun 1260 Hijrah bersamaan 1844 Masihi.
Tarikat ini seperti tarikat-tarikat yang lain, mengajak kepada beramal dan mendekatkan diri kepada Allah dengan melakukan ibadat dengan teknik  aliran sufi yang kebanyakannya sama.
Namun demikian tarikat ini mengandungi beberapa pendirian yang saya lihat tidak bertepatan dengan ajaran Islam sebenar. Paling ketara ialah mereka mempercayai ada darjat-darjat tertentu yang membuatkan sesorang boleh bertemu secara sedar (yaqazah) dengan Raululuuah s.a.w. 
Kepercayaan seperti ini tidak mengeluarkan seseorang daripada Islam tetapi salah dari sudut hakikatnya. Ini kerana seseorang yang mati tidak lagi boleh bertemu dengan orang yang hidup secara sedar. 
Apa yang lebih penting, iktikad seperti ini membuka pintu kefasadan yang besar dan seterusnya membawa kecelaruan dalam amalan agama. Ini kerana, seseorang yang telah berjumpa nabi s.a.w. seterusnya akan mendakwa ajaran-ajaran tambahan yang diberikan oleh baginda s.a.w. kepadanya.
Dengan itu, segala hadis yang telah dikumpul oleh para ulamak yang menjadi tonggak sandaran hukum dan panduan bagi umat Islam sepanjang zaman sudah tidak lagi diperlukan. Ini kerana sudah ada sumber hadis lain yang lebih dekat kepada baginda. 
Setelah situasi ini wujud maka banyaklah amalan-amalan yang boleh ditambah dan diwujudkan berdasarkan arahan langsung daripada Rasulullah kepada guru atau orang yang mencapai darjat menemui Rasul s.a.w.
Hadis adalah tonggak kedua agama Islam, apabila tonggak ini telah berjaya dicerobohi, maka panduan umat Islam akan menjadi goyah dan berkecamuk. Percaya bahawa seseorang boleh menerima taklimat terus dari nabi s.a.w akan memusnahkan salah satu rujukan penting umat Islam yang diberitahu sendiri oleh Rasulullah s.a.w yang bermaksud: Aku tingggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang kepada keduanya, kitabullah dan sunahku.
Para ulamak silam antaranya Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud Ahmad dan ramai lagi, berjuang bermati-matian menggumpulkan hadis, membuang hadis-hadis rekaan dan menyedarkan masyarakat tentang hadis. Akhirnya usaha para ulamak ini telah berjaya menjadikan sumber rujukan Islam kedua ini terpelihara dari dicampur adukkan oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Jika ada orang yang mengaku menerima taklimat dari baginda tetapi tidak disandarkan kepada sumber yang telah dikumpulkan oleh ulamak silam maka dakwaan itu dianggap salah dan pembohongan.
Pada pandangan saya, sebarang ajaran sufi yang percaya dengan asas ini berlu dibendung kerana akan membawa kemusnahan kepada masyarakat Islam dan menjauhkan mereka dari ajaran nabi s.a.w yang walaupun dari sudut penampilan mereka mengajak kepada ibadat dan berbuat baik.
Penulis: Rosli Mokhtar 

Pandangan anda dihargai

Undang-undang Islam & Siasatan

Seorang perempuan telah datang mengadu kepada Umar al-Khatab sambil menangis. Dia mengadu cuba dirogol oleh seorang lelaki. Dalam masa yang sama perempuan itu menunjukkan kesan air mani pada bahagian pakaiannya……………

Sehubungan dengan itu Amirulmukminin Umar al-Khatab memanggil lelaki yang dituduh dan mula membuat soal-siasat. Lelaki itu menafikan bahawa dia cuba berlaku jahat terhadap perempuan itu sebaliknya mendakwa perempuan itulah yang sebenarnya mengajaknya melakukan perbuatan terkutuk itu.

Melihatkan pertikaian ini Umar al-Khatab bertanya kepada Ali bin Abi Talib tentang pandangan beliau dan Ali mengatakan bahawa kes ini perlu disiasat.

Ali bin Abi Talib meminta air yang sedang mendidih, setelah dibawa air itu kepadanya, Ali menuangkan air itu di atas pakaian wanita yang terdapat air mani itu tadi.

Setelah air panas mengenai bahagian yang didakwa air mani itu, barulah diketahui bahawa perempuan itu menipu. Ini kerana bahan yang diletakkan pada pakaiannya ialah putih telur bukannya air mani. Ini kerana air mendidih itu tadi telah membuatkan telur itu masak dan berubah warna serta menampakkan hakikatnya.
Dari situ terlepaslah pemuda yang tertuduh itu dari hukuman. Dalam perundangan Islam, penyiasatan mestilah dilakukan sebelum sesuatu dakwaan itu diterima……ingin mengetahui lebih lanjut tentang undang-undnag Islam ikutilah kursus yang kami lakukan.
Keterangan lanjut lihat disini:
Sumber cerita: Ibnu Qayyim

Pandangan anda dihargai

Bagaimana mengelak dari ‘Sathiyyah” (1)

Pemikiran mendatar dan luaran, analisis mudah dan sambil-lewa bukan termaktub untuk mana-mana bangsa dan bukanya takdir yang mahtum. Pemikiran sathiyah tidak mengira siapa, boleh dianuti oleh segenap lapisan masyarakat dan seluruh bangsa. Dan inilah yang biasa terjadi. Mungkin kita juga menggunakan teknik pemikiran ini dalam sebahagian keputusan dan tindakan yang diambil lantaran kekurangan dan kelemahan yang bersifat manusiawi.

Namun, perjuangan seorang manusia ialah untuk membangunkan nilai diri dan akalnya, membangun daya taakul dan fungsi akalnya dari semenjak dia dilahirkan sampailah jasadnya dikembalikan ketempat asal kejadiannya.
‘Fi Kabad’ yang diistilahkan oleh al-Quran itu turut merangkumi mehnah dan perjuangan insan mengenal dan mempelajari. Memuaskan satu tuntutan diri yang bersifat minda dan nashwahnya berlaku dalam menuruti simpang siur maklumat bak rumah ankabut.
Jika begitulah umumnya pemikiran sathiyyah, maka bagaimana pula langkah untuk keluar dari kegelapan ini? Adakah di sana jampi serapah yang boleh menjauhkan penyakit yang boleh mengenai setiap yang bernama manusia? Jawapannya ialah ya dan ya.
Langkah pertama sebagai permulaan, seorang sarjana khususnya mestilah meluaskan pengetahun dalam bidang yang diperkatakan. Jika kita mahu menghukum ke atas Ikhwan Muslimin misalnya. Biarlah kita telah mengetahui tentang kumpulan itu sebaik mungkin. Mengetahui itu pula ada dua macam. Pertama mendengar ulasan orang tentang perkara itu, keduanya menemui sendiri maklumat melalui sumber terdekat.
Contoh yang saya pernah buat ialah bila media menghukum terhadap jamaah al-Arqam. Bila kerajaan mengharamkan kumpulan itu atas dasar ianya bertentangan dengan akidah. Ya, kita dituntut bersangka baik, tetapi kita juga dituntut untuk bertindak jika ada kesilapan.
Maka bacalah tulisan orang tentang al-Arqam, selepas itu bacalah tulisan orang al-Arqam sendiri. Ya sangat berlainan nampaknya dua sumber itu. Akhirnya untuk memastikan lagi apa saya telah mula kumpul maklumatnya ialah saya telah pergi berjumpa dengan Syeikh al-Arqam ketika itu.
Balik dari berjumpa beliau, seorang pengikut al-Arqam yang membawa saya bertanya: Apa pandangan ustaz terhadap al-Asari? Saya kata: Dia sesat.
Percubaan kita untuk mengumpul sebanyak mungkin maklumat dalam perkara yang berkaitan akan memberikan kita maklumat yang lebih tepat dan benar. Akhirnya gambaran sebenar itu membuatkan kita menjatuhkan hukuman yang adil terhadap sesuatu.
Kerana hal ini, golongan akademik yang membuat kajian dan berada di universiti kebiasaannya lebih tepat pandangannya terhadap sesuatu perkara berbanding pembuat keputusan yang berdasarkan tanggapan dan kebarangkalian yang umum. Yang melihat sesuatu masalah dan membuat rumusan mudah. Ini kerana pengkaji profesional memiliki kekuatan metod dan kekuatan budjet yang memungkin mereka menngumpulkan sebanyak mungkin maklumat dan setepat mungkin pengetahun terhadap sesuatu hakikat.
Sayangnya kumpulan ini tidak diketengahkan sebagai ‘orang alim’. ‘pakar rujuk’ dan ‘ikon’ dalam masyarakat. Mereka tenggelam dalam keghairan mengejar ‘orang popular’. Kerugiannya ialah masyarakat tidak diangkat tahap pemikirannya.
Pandangan anda dihargai

Memerangi Sathiyah (2)

Pemikiran sathiyah sebenarnya bertantangan dengan roh al-quran yang mengajak manusia berfikir dan meneliti, merenung dan mengkaji. Afala yatadabbarunal quran….dan banyak sangat ayat yang merujuk kepada berfikir dan menilai. Menilai bukan pada quran sahaja bahkan pada alam semesta.

Ketika membaca baris-baris buku tulisan ِAbbas Mahmud Aqad, seorang penulis Mesir terkenal (W1964) terjumpa pula kupasan beliau terhadap tuntutan berfikir yang dinyatakan dalam al-Quran.
Menurut Aqad, tuntutan berfikir dalam al-Quran bukan hanya untuk membezakan antara orang yang berakal dengan orang gila kerana al-Quran itu sendiri telah ditujukan kepada yang berakal. Oleh itu tuntutan berfikir di situ bermaksud, berfikir diperingkat lebih serius dan bersungguh-sungguh.
Jihad yang agak besar dan rumit buat masa ini ialah bagaimana menyemai sifat suka berfikir dan bagaimana meninggikan laras pemikiran umat Islam. Bagaimana membimbing manusia supaya berfikir dengan cara yang betul untuk menanggapi sesuatu dan bertindak mengikut pemikiran yang betul.
Dengan cara ini sahaja umat Islam akan bangkit menjadi kuasa besar dunia, dan dengan cara ini sahaja tahap penghayatan agama yang lebih baik boleh dicapai. Adapun teknik menggumpul crowd dengan aktiviti agama yang berbaur hiburan, joke dan santai hanya gah pada majlisnya sahaja. Tetapi kesanya hanya sebentar. Ini kerana manusia tidak akan mampu ketawa dengan kata-kata seseorang selama bertahun-tahun. Ketawa, kelakar dan hiburan tidak boleh bertahan lama, ianya dengan segera bertukar menjadi hambar dan membosankan.
Atas sebab inilah umat Islam perlu diajak berfikir dan kerana itulah al-Quran mengajak manusia berfikir. Seorang yang memeluk Islam kerana sebab-sebab kebendaan dan emosi akan berubah kepentingannya bila kepentingan dan perasaan itu berubah. Tapi keimanan yang didasarkan dengan yakinlah yang akan kekal dan keyakinan tidak dapat masuk kedalam hati seseorang kecuali melalui pintu akal.
Selain dari teknik di atas yang kebanyakannya mensasarkan golongan masyarakat umum, tindakan menggumpulkan sebahagian cerdik pandai lalu memenuhkan otak mereka dengan doktrin yang kononnya bersifat muktamad dan kudus lalu menafikan garapan dan percanggahan seterusnya melebelkan setiap aliran bercanggah sebagai sesat dan kufur juga salah satu daripada fenomena sathiyyah.
Dengan itu dapat difahami bahawa pemikiran sathiyah terbentuk kerana adanya penafian terhadap budaya ilmu. Budaya ilmu bersifat menerima sesuatu dengan cara terbuka, berdasarkan penghujahan dan jauh dari ketaksuban. Budaya ilmu mengajar manusia menilai setiap dakwaan tidak kira dari mana datangnya dakwaan itu. Budaya ilmu akan menganalisis sesuatu asas dan maklumat sebelum mengambilnya sebagai satu pegangan.

Azam Tahun Baru 2012: Memerangi Sathiyyah (1)

Cepat masa berlalu, dah hari kedua tahun 2012. Masih ternampak-nampak lagi bagaimana hangatnya orang ramai menyambut tahun 2000. Dah berlalu 12 tahun. Apa yang berubah, apa yang dicapai dan apa yang dihasilkan..???

Bagi saya, ada beberapa target yang perlu dicapai dalam tahun 2012 dan ada juga keinginan yang tidak tahu sejauh mana mampu dicapai. Mungkin bahagian inilah bahan perkongsian kita untuk tulisan kali ini.
Memperkasakan pemikiran masyarakat. Inilah agenda besar yang saya rasakan terlalu kerdil untuk mengucapkannya. Terlalu besar kehendak hati berbanding kemampuan dan kederat yang ada.
Pada pandangan saya, masalah yang membelit warga Malaysia amnya dan orang Melayu khasnya ialah ‘sathiyah‘. Aliran ‘simplismyang malas berfikir, sebaliknya mudah membuat kesimpulan dengan maklumat luaran tanpa kajian dan pengamatan. Menuduh akal sebagai bertentangan dengan agama dan meletakkan emosi sebagai hakim yang menerajui kehidupan.
Pada pandangan saya inilah masalah terbesar masyarakat kita. Bukan golongan awam sahaja yang mengenai penyakit ini, tetapi fenomena ini berada di mana-mana. Bermula dari aktiviti di rumah sehinggalah ke universiti dan bangunan pentadbiran.
Untuk membuktikan dakwaan ini saya perlu mengutarakan sedikit bukti bagaimana simpelnya pemikiran bangsa kita. Ya situasi ini berlaku dalam segenap bidang kehidupan. Dalam pendidikan, pentadbiran, politik dan agama.
Rasanya ramai dikalangan kita yang pernah pergi ke hospital, emm cuba tengok bagaimana ubat diberikan, diberikan dalam plastik kecil bertulis KKM dan berapa kali perlu makan dan berapa biji yang perlu diambil.
Disebabkan masyarakat kita malas berfikir, maka mereka boleh menerima situasi ini. Mereka malas nak tahu jenis ubat dan ramuannya secara lebih mendalam. Mencari maklumat tambahan tentang ubat dan sebagainya kerana semua pemikiran, kajian dan pengetahun tambahan itu telah diserahkan bulat-bulat kepada pihak hospital. Mereka tidak pernah terfikir, bolehkah saya dapat ubat yang lebih berkualiti dari ubat ini, dari mana ubat ini dikeluarkan dll. Bila maklumat-maklumat itu tidak dipaparkan pada ubat yang mereka gunakan, mereka tidak marah, atau rasa terancam.
Dalam situasi lain pula jika sesuatu masalah pribadi berkaitan seseorang seperti ada rakan sepejabat y.ang bercerai misalnya, maka habislah individu itu akan ditelanjangkan, dikupas isunya sampai berminggu lamanya siap dengan berbagai teknik mencungkil rahsia akan digunakan. Semua itu demi memuaskan emosi.
Mereka sanggup membantu rakan yang malang itu demi mendapatkan cerita-cerita sensasi dan sebaik sahaja rahsia habis dicungkil, maka tinggallah mangsa yang malang menanggung derita perceraian dan derita tambahan iaitu malu kerana rahsia rumahtangganya telah ditelanjangi.
Hasil daripada sikap ‘sathiyyah’ ini maka, banyaklah perkara-perkara ‘bodoh’ yang tidak sepatutnya diamalkan oleh masyarakat tetapi subur diamalkan dalam kalangan kita.
Jangan sesekali ingat pemikiran ‘sathiyah‘ ini berlaku kepada golongan bawahan sahaja, bahkan golongan profesional dan berpelajaran juga turut terbelenggu dengan pemikiran mudah dan malas ini. Bahkan sikap kumpulan ini mengundang bahaya pada negara, bangsa dan agama.
Di universiti, para pensayarah menghadapi masalah untuk mengarang buku dengan syarat atau format universiti, ini kerana buku yang ditulis atas format universiti sangat sukar untuk dijual. Biarpun warga universiti berjumlah 10-20 ribu orang bagi setiap universiti, tapi seribu naskah yang dicetak sangat sukar untuk dijual.
Sebaliknya seorang yang menulis dengan tulisan ringan atau cara popular yang tidak bergantung dengan etika ilmiah boleh menjual buku mereka puluhan ribu naskah dalam masa beberapa bulan. Oleh itu saya harap kita jangan terlalu seronok bila melihat orang ramai berpusu-pusu melihat pameran buku kerana buku-buku yang dibaca kebanyakannya tidak bersifat berfikir secara mendalam. Buku-buku itu masih dalam ruang ‘sathiyah‘. (sudah tentu bukan semua tetapi banyaknya macam tu).
Kemalasan berfikir di universiti sangat jelas bila program yang bersifat santai dan jauh dari pemikiran atau kunjungan artis akan dipenuhi oleh studen sementara program ilmiah perlu diramaikan dengan mengeluarkan surat arahan mengandungi perkataan ‘wajib’. Kedatangan juga terpaksa diambil dan diberikan markah…huh malasnya berfikir sampai kena paksa macam itu sekali.
Pemikiran ‘sathiyyah’ menyebabkan faktor terbesar sesebuah buku laris ialah kulitnya yang menarik dan tajuknya yang memukau…isi dah jadi faktor ketiga sesebuah buku jadi bestseller…heheh kelakar bukan?
Dalam mengupas isu ini, kita sering juga terkeliru dengan majlis-majlis ilmu yang banyak diadakan di sana-sini termasuk di masjid dan surau. Tahukah kita bahawa kebanyakan majlis itu tidak mampu membentuk pemikiran dan membaiki apa-apa? Sebahagian besar program seperti ini bersifat mengulangi maklumat yang sedia ada, membuat kesimpulan mudah terhadap kesalahan kerajaan, kebejatan sosial dan banyak juga yang menggunakan emosi dengan memainkan isu hubungan anak dan ibubapa…….penceramah seperti ini dihadiri ramai penonton dan tentunya ehm..ehemm…bayarannya mencapai RM10,000 bagi 1-2 jam…
Ceramah-seramah agama hanyanberkisar dari beberpa isu politik, joke, isu-isu fekah taharah, fardu ain dan tajuk2 yang sebenarnya telah dipelajari berkali-kali semenjak di sekolah rendah lagi……..bersambung
Pandangan anda dihargai