Islam dan Perubatan

Hukum Berubat

Para ulamak bersalahan pendapat dalam persoalan hukum berubat.Pendapat Pertama: Berubat adalah sunnah Rasulullah yang patut dicontohi dan hukumnya samada harus, sunat atau wajib.

Pendapat Kedua: Berubat hukumnya harus tetapi afdal bersabar, bertawakkal dan meninggalkan berubat.Mengapa terjadi perselisihan pendapat dalam hal ini? Jawapannya ialah kerana pihak yang mengatakan tidak digalakkan berubat telah mengaggap perbuatan berubat adalah bertentangan dengan konsep tawakkal.

Kebanyakan golongan yang lebih suka meninggalkan berubat adalah golongan tasawuf yang menganggap penyerahan kepada Allah dan bersabar adalah lebih afdal. Antara ulamak yang berpendapat demikian ialah Imam Nawawi dimana beliau menyebutnya dalam kitab beliau Syarah Muhazzab.

Golongan kedua menganggap berubat tidak bertentangan dengan konsep tawakkal dan sabar. Hujjah mereka ialah nabi sendiri pernah berubat setelah cedra dalam peperangan Uhud. Baginda juga mengatakan: Tidak Allah turunkan penyakit kecuali Allah turunkan ubat.

Baginda juga pernah ditanyakan dengan ubat lalu beliau menunjukkan seseorang yang tahu tentang ubat untuk di rujuk. Orang itu ialah al Kaldani.Antara hadis yang menjadi kekeliruan golongan pertama ialah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Bukhari dan Muslim menceritakan bahawa nabi menyifatkan orang yang masuk syurga antaranya ialah’ mereka tidak berjampi, tidak percaya kepada sial majal dan mereka tidak berubat dengan menggunakan besi panas’.

Sebenarnya hadis tersebut menerangkan cara perubatan yang dilarang. Ada jampi yang bersifat syirik, mempercayai sial majal juga syirik dan orang-orang arab juga menggunakan besi panas bagi mengelakkan sial. Perubatan jenis ini sememangnya diharamkan.

Memahami hadis diatas dan menjatuhkan hukum berubat dengan tidak melihat kepada kehidupan nabi dan sahabat adalah tindakan yang menyempitkan kefahaman terhadap nas syarak.

Antara ulamak kontemporari yang mengupas persoalan ini ialah Dr Yusof Qardawi, Dr wahbah Zuhaili dan Dr Muhammad Sulaiman Ashqar. Mereka berpendapat adalah digalakkan berubat kerana itulah yang diamalkan oleh Rasulullah dan para sahabat.

Berubat merupakan sumber kekuatan yang dituntut oleh Islam dan akan menjadikan umat ini mampu melakukan kebaikan kepada diri dan masyarakat. Namun demikian, Dr. Yusof Qardawi beranggapan seseorang yang telah sampai ke peringkat penyakit yang tiada harapan untuk sembuh berdasarkan ilmu manusia yang ada, bolehlah untuk tidak berbuat demikian dan menyerahkan keputusan ketentuan kepada Allah semata-mata.

Pandangan anda dihargai

2 thoughts on “Islam dan Perubatan”

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *