Larangan Memayah-mayahkan Agama

Tadabbur Wahyu

Sabda Rasulullah saw:
هلك المتنطعون
Maksudnya: Binasalah orang yang memayah-mayahkan agama.

Hadis Riwayat Muslim.

Islam menolak sikap memayah-mayahkan agama. Dalam Islam ada keringanan dan keringanan itu perlu diambil dalam kadar harus, sunat dan wajib.

Ada keringanan yang harus diambil seperti berbuka dalam keadaan musafir yang tidak memenatkan.

Ada pula keringanan yang sunat diambil seperti orang yang berpuasa dalam keadaan yang tidak terlalu meletihkan.

Ada pula keringanan yang wajib diambil seperti orang yang berpuasa sedangkan puasanya itu akan membuatkan dia terancam nyawa dan kesihatannya.

Oleh itu melakukan solat di masjid dan mengerjakan solat Jumaat perlu sekali diberhentikan apabila boleh membawa kepada penyakit yang membahayakan nyawa. Bukan sahaja nyawa individu akan tetapi nyawa ahli masyarakat seluruhnya.

Pada suatu hari ada sahabat yang berjunub ketika dalam musafir sedangkan sahabat itu cedera di kepalanya. Dia bertanya kepada sahabat yang lain. Adakah suatu cara lain yang boleh beliau lakukan untuk solat.

Sahabat yang ditanya itu berkata tidak. Lalu beliau pun mandi wajib dalam keadaan tersebut dan akibatnya sahabat itu meninggal dunia.

Apabila rombongan mereka kembali dari bermusafir dan mengadu kepada Rasulullah saw, Baginda dengan marah berkata: Kamu telah membunuhnya, semoga Allah menghukum kamu. Bukankah ubat bagi kejahilan itu dengan bertanya. Hadis Riwayat al-Daraqutni.

Menafikan keringanan meninggalkan ibadah demi menyelamatkan nyawa adalah sifat memayah-mayahkan agama yang dilarang oleh Islam sendiri.

Tadabbur Wahyu
Ustaz Rosli bin Mokhtar
19/03/2020

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *