2.30.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 29

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا ثُمَّ اسْتَوَىٰ إِلَى السَّمَاءِ فَسَوَّاهُنَّ سَبْعَ سَمَاوَاتٍ ۚ وَهُوَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ (29)

Maksudnya:
Dialah yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Dia menuju ke arah langit, lalu dijadikanNya tujuh langit dengan sempurna; dan Dia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Kekufuran orang yang menolak tauhid kepada Allah sangat jelas kerana mereka tidak dapat menafikan bahawa yang mencipta alam semesta ini adalah Allah.

Golongan musyrikin Mekah yang menyembah berhala juga tidak pernah mendakwa berhala mereka mencipta alam semesta ini. Apa yang mereka percaya hanyalah berhala itu dapat memberi syafaat kepada mereka sahaja.

Kekufuran manusia kepada Allah lebih kelihatan tidak berasas kerana Dia juga yang telah memberikan kepada manusia segala nikmat dan kebaikan.

Sebesar-besar nikmat itu adalah nikmat penciptaan manusia. Selain penciptaan manusia, nikmat yang besar ialah apabila Allah menjadikan segala apa yang ada di dunia ini untuk keperluan manusia.

Mengikut Ibnu Asyur, selain daripada maksud diatas ayat ini juga mengandungi dua asas perbincangan utama.

1- Allah mencipta segala yang ada di dunia ini untuk manusia. Kefahaman terhadap asas ini menjadikan para ulama merumuskan bahawa Allah mentakdirkan sesuatu dan mencipta berdasarkan kepada kehendaknya yang tidak tertakluk kepada sesuatu pun, namun demikian Allah telah mengkehendaki bahawa segala takdir itu mengandungi hikmah dan tujuan. Itulah yang dinamakan maslahah atau kebaikan. Kebaikan itu pula kembali kepada manusia kerana Allah tidak memerlukan kepada kebaikan kerana sifat Allah yang maha kaya dan tidak memerlukan kepada sesiapa.

2- Allah menjelaskan bahawa segala apa yang diciptakan di atas muka bumi ini adalah untuk manusia. Dengan maklumat ini sebahagian ulama telah merumuskan kaedah yang terkenal iaitu: hukum asal dalam sesuatu adalah harus kecuali jika ada dalil yang mengecualikan nya.

Khamis
5 Sya’ban 1440
11 April 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Ulasan Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir Oleh Ibnu Asyur
Rujukan tambahan: Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz. 🌟🌟🌟🌟🌟🌟 Untuk beli buku atau untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935752
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *