2.30.2 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 29

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا ثُمَّ اسْتَوَىٰ إِلَى السَّمَاءِ فَسَوَّاهُنَّ سَبْعَ سَمَاوَاتٍ ۚ وَهُوَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ (29)

Maksudnya:
Dialah yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Dia menuju ke arah langit, lalu dijadikanNya tujuh langit dengan sempurna; dan Dia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Antara perkara lain yang dibincangkan oleh para ulama sewaktu mereka mengupas ayat ini ialah:

1-Maksud perkataan istawa’
2-Kejadian langit

“Istawa”, secara literalnya bermaksud betul dan tidak bengkok. Tetapi disini dikiaskan kepada makna “mahu”.

Terjemahan Al-Quran yang saya rujuk menggunakan perkataan “menuju”.

Seperti biasa ayat seperti ini akan menjadi bahan perbincangan dalam ilmu tauhid kerana ia berkaitan sifat Allah. Saya tidak berniat untuk memperincikan perbincangan tersebut di sini.

Para ulama Islam secara ijmak percaya bahawa tidak ada satu pun sifat Allah yang menyerupai makhluk. Apa yang berlaku, mereka berselisih dalam mentafsirkan ayat-ayat sifat demi mencari jalan yang terbaik dalam menyucikan Allah.

Mengenai kejadian langit pula isu yang ditimbulkan ialah, apakah ayat ini bermaksud Allah mencipta bumi dan kemudiannya langit. Ini kerana ayat diatas seolah-olah menerangkan tertib penciptaan itu.

Isu seterusnya ialah apakah yang dimaksudkan dengan langit itu ada tujuh langit. Perbincangan terperinci dalam isu ini lebih sesuai dibincangkan didalam buku yang akan diterbitkan nanti insyaallah.

Pada dasarnya fokus utama ayat ini ialah mahu menerangkan bahawa Allah SWT maha berkuasa dan dia menciptakan segala yang di langit dan di bumi. Ayat ini juga mengisyaratkan kepada luasnya alam semesta. Dan Tuhan itu Maha berkuasa.

Perlu diingat bahawa ayat Al-Quran kebiasaannya menerangkan perkara berkaitan keduniaan secara umum dan kabur. Kewujudan ayat-ayat sedemikian sebenarnya tidak boleh dijadikan sebagai halangan, bahkan sepatutnya dijadikan sebagai dorongan untuk umat Islam mengkaji secara lebih mendalam.

Jumaat
6 Sya’ban 1440
12 April 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Ulasan Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir Oleh Ibnu Asyur
Rujukan tambahan: Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz. 🌟🌟🌟🌟🌟🌟 Untuk beli buku atau untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935752
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *