*2.32.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 31*

وَعَلَّمَ آدَمَ الْأَسْمَاءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمْ عَلَى الْمَلَائِكَةِ فَقَالَ أَنبِئُونِي بِأَسْمَاءِ هَٰؤُلَاءِ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ (31)

Dan Dia telah mengajarkan Nabi Adam nama-nama benda semuanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Allah berfirman: “Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan benar.

Dalam ayat lepas malaikat mempersoalkan mengapa Tuhan perlu mencipta makhluk lain. Malaikat nampaknya tidak faham objektif atau tujuan penciptaan tersebut . Jika sekiranya Allah mahu makhluk baru beribadah kepadaNya, bukankah mereka semua telah sedia beribadat tanpa jemu.

Malaikat adalah makhluk yang dicipta oleh Allah dari cahaya. Sifat mereka pula tidak seperti manusia yang disebutkan sebelum ini, menumpahkan darah dan melakukan kerosakan.

Malaikat adalah makhluk dari jenis yang tidak condong untuk melakukan maksiat dan kerosakan. Mereka hanya tunduk patuh kepada perintah Allah.

Allah sendiri berfirman menjelaskan sifat malaikat lihat surah al-Tahrim ayat 6.

Malaikat juga dari jenis makhluk yang tidak makan dan tidak minum, mereka tidak memerlukan pasangan dan tidak berketurunan.

Sifat mereka yang dicipta daripada cahaya membuatkan mereka tidak perlu kepada kenderaan dan keperluan lain seperti manusia

Jika beginilah sifat malaikat yang sungguh tinggi kesuciannya, sungguh mulia dan bersih pengabdian mereka kepada Allah, maka mengapa perlu lagi adanya manusia ?Setelah memahami semua ini barulah dapat difahami betapa soalan malaikat kepada tuhan itu sangat berasas.

Memang sungguh sukar difahami mengapa perlu ada makhluk lain sedangkan malaikat telah sedia bertasbih , bertahmid dan mensucikan Allah setiap ketika.

Bagi menjawab persoalan inilah ayat 31 ini dan seterusnya dinyatakan. Jawapan terhadap kebuntuan ini tidak diberikan dengan hanya penerangan. Tidak dengan hanya dengan pemberitahuan, akan tetapi disampaikan melalui satu pelajaran praktikal.

Pelajaran praktikal adalah sebaik-baik teknik dalam memberi kefahaman kepada orang yang sedang menuntut. Bayangkan ketika tuhan mahu menceritakan satu hakikat yang begitu besar tiba-tiba terselit pelajaran lain yang boleh dijadikan panduan buat manusia dalam kehidupan mereka.

Isnin
9 Sya’ban 1440
15 April 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Ulasan Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir Oleh Ibnu Asyur
Rujukan tambahan: Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz. 🌟🌟🌟🌟🌟🌟 Untuk beli buku atau untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935752
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *