2.32.2 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 31

 وَعَلَّمَ آدَمَ الْأَسْمَاءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمْ عَلَى الْمَلَائِكَةِ فَقَالَ أَنبِئُونِي بِأَسْمَاءِ هَٰؤُلَاءِ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ (31) 

Dan Dia telah mengajarkan Nabi Adam nama-nama benda semuanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Allah berfirman: “Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan benar.

Allah telah mengajarkan Adam nama-nama benda, persoalannya bagaimanakah bentuk pengajaran tersebut?

Jika sekiranya Allah mengajarkan kepada Adam dalam bentuk memberitahu secara langsung nama-nama benda di dalam syurga sudah tentu keadaan itu tidak dapat menjawab persoalan malaikat yang sebelum ini telahpun mempersoalkan kehebatan Adam.

Ibnu Asyur berpandangan maksud Allah mengajarkan Adam nama-nama benda itu mengandungi dua kemungkinan.

Pertama diajarkan kepada Adam secara langsung dengan diberikan nama-nama benda tersebut.

Kemungkinan kedua ialah bermaksud diajarkan kepada Adam ialah diberikan kepada beliau kekuatan akal.

Maksud kedua sebenarnya lebih menjawab persoalan malaikat yang tidak memahami hikmah disebalik penciptaan manusia.

Dengan keupayaan manusia untuk mencipta dan mewujudkan bahasa dengan usaha dan daya kreativitinya sendiri adalah bukti penciptaan Adam mengandungi rahsia penjelmaan ilmu Allah yang maha tinggi.

Ini kerana setiap kali dibuktikan kehebatan penciptaan makhluk maka pada ketika itu kekuasaan dan ilmu Allah itulah yang mendahuluinya kerana Dialah yang Mencipta dan Dialah yang Maha Mengetahui diatas setiap apa yang berlaku.

Ibnu Asyur sewaktu mentafsir ayat ini menolak pandangan sebahagian ahli tafsir yang menganggap nama-nama benda yang diajarkan oleh Allah kepada Adam adalah beberapa lafaz yang apabila diucapkan telah memberikan kelebihan kepada Adam berbanding malaikat dan makhluk lain.

Menurut beliau pandangan ini tidak tepat kerana ia tidak menunjukkan kepada malaikat kemuliaan Adam dan rahsia penciptaan manusia.

Selasa
10 Sya’ban 1440
16 April 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Ulasan Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir Oleh Ibnu Asyur
Rujukan tambahan: Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz. 🌟🌟🌟🌟🌟🌟 Untuk beli buku atau untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935752
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *