*2.44.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 43*
وَأَقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُواْ ٱلزَّكَوٰةَ وَٱرۡكَعُواْ مَعَ ٱلرَّٰكِعِينَ ۞
Maksudnya : Dirikanlah solat dan keluarkanlah zakat dan rukuklah bersama orang-orang yang rukuk.

Arahan mendirikan solat dan mengeluarkan zakat adalah arahan menerima Islam dalam bentuknya yang praktikal.

Adapun ayat sebelum ini mengandungi arahan supaya beriman kepada Allah. Beriman adalah tuntutan agama yang bersifat dalaman dan berkaitan dengan hati.

Penerimaan Islam dalam bentuk kepercayaan di dalam hati perlulah dilantunkan dengan penerimaannya dalam bentuk yang amali. Dengan kedua-dua itu barulah tercapai kesempurnaan dalam beragama.

Ibnu Asyur ketika mengulas ayat di atas mengambil peluang untuk menjelaskan bagaimana ajaran Islam boleh dibahagikan kepada dua bentuk, pertama ajaran yang berbentuk wasilah dimana ianya adalah merupakan jalan atau alat kepada mencapai satu tujuan lain yang lebih tinggi.

Bentuk yang kedua merupakan ghayah atau tujuan tertinggi yang mahu dicapai oleh syarak.

Mengingati nikmat Allah seperti yang disebut didalam ayat sebelum ini adalah ajaran yang berbentuk wasilah atau jalan kearah mencapai sesuatu yang lebih tinggi. Sementara beriman kepada Allah adalah ghayah atau objektif tertinggi yang mahu dicapai.

Mengikut Ibnu Asyur, setelah Allah menyatakan dua arahan itu dalam ayat terdahulu, maka kini dinyatakan pula arahan yang berbentuk asas penting dalam binaan Islam yang teguh ini.

Arahan ini melibatkan perbuatan mendirikan solat dan mengeluarkan zakat. Kedua-dua perbuatan ini merupakan asas terpenting dalam ajaran Islam selepas beriman kepada Allah.

Arahan yang mengandungi suruhan amali ini juga merupakan satu sidiran kepada orang-orang munafik yang menyatakan mereka beriman tetapi gagal untuk membuktikannya dengan amalan.

Disebabkan pengakuan secara lisan boleh saja dilafazkan dengan mudah oleh siapa sahaja, maka amalanlah yang membezakan antara mereka yang serius dan mereka yang tidak serius.

Ahad
7 Ramadan 1440
12 Mei 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Ulasan Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir Oleh Ibnu Asyur

Rujukan tambahan: Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz. 🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk beli buku atau untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *