*2.45.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 44*
أَتَأۡمُرُونَ ٱلنَّاسَ بِٱلۡبِرِّ وَتَنسَوۡنَ أَنفُسَكُمۡ وَأَنتُمۡ تَتۡلُونَ ٱلۡكِتَٰبَۚ أَفَلَا تَعۡقِلُونَ
Apakah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?

Suruhan mendirikan solat ada pada ayat 43 dan 45, adapaun dipertengahan kedua-dua ayat ini dinyatakan satu persoalan.

Persoalan dalam ayat ini bukan persoalan biasa yang mahukan jawapan dari mereka yang berkenaan, tetapi lebih kepada soalan yang menunjukkan kepada sindiran dan tamparan kepada mereka.

Mengikut Ibnu Asyur  ayat ini menempelak orang-orang Yahudi yang sudah menyimpang jauh dari tuntutan agama yang sebenar. Ini kerana mereka hanya menjalankan kerja-kerja agama sebagai satu kerja rasmi yang jauh daripada penghayatan sebenar.

Mereka melakukannya hanya sekadar menjalankan tuntutan yang bersifat tugasan rutin yang berada dalam runtutan kerja dan ganjaran yang diberikan kepada mereka.

Akibat daripada sikap ini mereka tidak merasakan keperluan terhadap penghayatan amali bagi tuntutan agama. Dengan itu mereka menyuruh orang lain mengerjakan kebaikan tetapi dalam masa yang sama mereka sendiri tidak melakukannya.

“Kamu” dalam ayat diatas samada ditujukan secara umum kepada bani Israel atau lebih khusus ditujukan kepada ulama mereka.

Ini kerana masyarakat Bani Israel mengamalkan upacara ibadat tetapi mereka tidak menghayati intipati ajaran dan suruhan dalam agama.

Bagi golongan ulama Bani Israel mereka adalah golongan yang menjadi ikon masyarakat, dengan itu merekalah yang lebih utama untuk berpegang kepada intipati ajarannya.

Isnin
8 Ramadan 1440
13 Mei 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Ulasan Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir Oleh Ibnu Asyur

Rujukan tambahan: Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz. 🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk beli buku atau untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *