*TADABBUR WAHYU SIRI 199*

*2.47.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 46*

الَّذِينَ يَظُنُّونَ أَنَّهُم مُّلَاقُو رَبِّهِمْ وَأَنَّهُمْ إِلَيْهِ رَاجِعُونَ (46)


Orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya.

Di dalam ayat ini Allah menerangkan bahawa sifat orang-orang yang khusyu’ ialah orang-orang yakin mereka akan bertemu dengan Tuhan di hari kiamat dan itulah merupakan tempat kembali mereka yang sebenarnya.

Yang dimaksudkan dengan bertemu dengan tuhan disini ialah mereka yakin adanya hari pembalasan dan perhitungan Allah terhadap segala amalan di dunia.

Ibnu Asyur juga mengatakan bahawa ayat ini menunjukkan bahawa sebab yang membawa kepada sifat khusyuk ialah mengingati hari kiamat kerana apabila mengingati pembalasan yang disediakan oleh Allah maka hati manusia menjadi khusyuk, iaitu tetap dengan kehendak Allah dan tidak lagi terpedaya walaupun berdepan dengan ujian dunia yang mengasyikkan.

Mungkin ada yang terkeliru dengan penggunaan perkataan ‘zan’ bagi merujuk kepada maksud yakin dalam ayat ini. Ini kerana perkataan ‘zan’ biasanya digunakan bagi menunjukkan maksud ragu-ragu.

Namun demikian penggunaan di sini juga betul, kerana perkataan ‘zan’ dalam bahasa Arab mengandungi dua makna. Satu merujuk kepada sifat ragu-ragu dan Satu lagi membawa makna yakin dan maksud  inilah yang digunakan di dalam ayat ini.

Khamis
11 Ramadan 1440
16 Mei 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Ulasan Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir Oleh Ibnu Asyur

Rujukan tambahan: Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz. 🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk beli buku atau untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *