*TADABBUR WAHYU SIRI 204*

*2.52.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 51-52*
Ayat 51-52
وَإِذۡ وَٰعَدۡنَا مُوسَىٰٓ أَرۡبَعِينَ لَيۡلَةٗ ثُمَّ ٱتَّخَذۡتُمُ ٱلۡعِجۡلَ مِنۢ بَعۡدِهِۦ وَأَنتُمۡ ظَٰلِمُونَ 51
ثُمَّ عَفَوۡنَا عَنكُم مِّنۢ بَعۡدِ ذَٰلِكَ لَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ 52
Maksudnya:
Dan ketika kami berjanji kepada Nabi Musa empat puluh malam. Kemudian, setelah dia pergi, kamu menyembah  anak lembu, dan kamu sebenarnya orang-orang yang zalim.51
Kemudian sesudah itu kami maafkan kesalahan kamu, supaya kamu bersyukur.52

Ketika mula-mula mentafsirkan ayat ini Ibnu Asyur telah menolak pandangan Zamakhsyari, al-Baghawi dan al-Baidhawi yang masing-masing mengatakan bahawa Allah telah berjanji untuk memberikan kepada Bani Israel syariat yang khusus setelah mereka kembali ke Bumi Mesir selepas Firaun ditenggelamkan.

Ayat-ayat al-Quran sebenarnya dengan jelas menyatakan bahawa penurunan syariat terhadap Bani Israel telah berlaku di kawasan Tursina (Sinai sekarang), bukannya di bahagian tengah negara Mesir.

Keluarnya Bani Israel dari Mesir mengandungi hikmah tersirat, dimana Allah mahu menjadikan Bani Israel sebagai penduduk Baitulmaqdis yang Allah telah janjikan kepada mereka.

Allah s.w.t telah memanggil Nabi Musa selama 40 hari agar baginda bermunajat terhadap Allah.

Namun demikian ketiadaan Nabi Musa ketika dipanggil oleh Allah telah dijadikan alasan oleh Bani Israel untuk menyeleweng dari ajaran Allah dan mereka telah menyembah anak lembu.

Ibnu Asyur berpandangan bahawa Bani Israel telah menyembah patung anak lembu yang dicipta daripada emas dan perak. Tindakan ini telah dilakukan oleh Bani Israel setelah menyangka bahawa Nabi Musa telah mati kerana lama tidak kembali dari Tursina.

Dengan tindakan ini Bani Israel telah melakukan kezaliman kerana mereka telah syirik kepada Allah.

Selasa
16 Ramadan 1440
21 Mei 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Ulasan Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir Oleh Ibnu Asyur

Rujukan tambahan: Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz. 🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk beli buku atau untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

2 thoughts on “*TADABBUR WAHYU SIRI 204*”

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *