*TADABBUR WAHYU SIRI 207*

*2.55.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 55*
وَإِذۡ قُلۡتُمۡ يَٰمُوسَىٰ لَن نُّؤۡمِنَ لَكَ حَتَّىٰ نَرَى ٱللَّهَ جَهۡرَةٗ فَأَخَذَتۡكُمُ ٱلصَّٰعِقَةُ وَأَنتُمۡ تَنظُرُونَ

Dan ketika kamu berkata: “Wahai Musa! Kami tidak akan beriman kepadamu sehingga kami dapat melihat Allah dengan terang”. Maka kerana itu kamu disambar petir, sedang kamu semua melihatnya.

Sekali lagi Allah menceritakan nikmatNya yang telah diberikan kepada Bani Israel terdahulu.
Ketikamana mereka mengatakan bahawa mereka tidak akan beriman kepada nabi Musa sehinggalah mereka melihat Tuhan secara terang –terangan.

Ibnu Asyur menyokong pandangan ahli tafsir yang mengatakan bahawa permintan untuk melihat tuhan ini dinyatakan oleh Bani Israel selepas mereka diberikan pengampunan daripada kesalahan menyembah berhala.

Pandangan ini dianggap oleh Ibnu Asyur sebagai lebih kuat berdasarkan tartib ayat yang menceritakan peristiwa yang telah berlaku kepada Bani Israel dalam perenggan ini.

Namun begitu Ibnu Asyur menukilkan juga pandangan lain yang disebut oleh Zamakhsyari didalam tafsir beliau. Antara pandangan tersebut ialah permintaan untuk melihat tuhan ini datangnya hanya daripada 70 orang yang terpilih untuk bersama mengiringi nabi Musa ke bukit Tursina.

Pandangan ketiga mengatakan bahawa permintaan ini datang daripada sekumpulan Bani Israel dimana bilangan mereka sekitar 10,000 orang.

Namun demikian kedua-dua pandangan ini tidak mempunyai sandaran yang jelas.

Perkataan mereka ‘kami tidak akan beriman kepada kamu sehingga kami melihat Allah’ mempunyai beberapa tafsiran.

Tafsiran pertama berkemungkinan bermaksud mereka telah beriman, tetapi tidak akan beriman semula jika gagal melihat tuhan.

Tafsiran kedua yang dinukilkan oleh Ibnu Asyur ialah berkemungkinan dimaksudkan ialah jika mereka tidak dapat melihat Allah mereka tidak akan dapat mencapai iman yang sempurna. Ini kerana mereka menggunakan perkataan ‘kami tidak akan beriman’ sedangkan pada masa itu mereka telah dianggap orang yang beriman kepada nabi Musa dan ajaran Baginda.

Jumaat
19 Ramadan 1440
24 Mei 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Ulasan Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir Oleh Ibnu Asyur

Rujukan tambahan: Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz. 🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk beli buku atau untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *