*TADABBUR WAHYU SIRI 208*

*2.56.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 56*

 ثُمَّ بَعَثْنَاكُم مِّن بَعْدِ مَوْتِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ 
‘Kemudian kami bangkitkan kamu sesudah kamu mati, supaya kamu bersyukur’.

Pada pandangan Ibnu Asyur, ayat Ini bermaksud  “kamu mati setelah dipanah petir dan
kemudiannya kami hidupkan kamu”.

Menurut beliau, kejadian ini merupakan mukjizat bagi nabi
Musa dan juga karamah bagi 70 orang Bani Israel yang menyertai Nabi Musa dalam
perjalanannya ke Tursina.

Sewaktu mengupas ayat ini sekali lagi Ibnu Asyur menegaskan bahawa hukuman terhadap Bani Israel dengan dipanah petir ini bukanlah menunjukkan kepada
kekufuran mereka tetapi lebih kepada pendidikan.

Bahkan beliau menolak pandangan yang mempersoalkan kewibawaan rombongan yang menyertai nabi Musa ke bukit Tursina.

Pada pandangan Ibnu Asyur mereka adalah terdiri daripada orang-orang soleh dari kalangan Bani Israel dan tahap keimanan mereka itu tidak bermaksud mereka terlepas daripada sebarang hukuman keduniaan.
Dalam erti kata lain Ibnu Asyur berpandangan peristiwa Bani Israel dipanah petir itu bukan berlaku disebabkan kemurkaan Allah diatas kekufuran tetapi sebagai satu hukuman yang berbentuk ujian Allah yang mahu memperlihatkan kekuasaannya.

Bahkan keadaan itu mengikut Ibnu Asyur boleh ditafsirkan sebagai
karamah yang berlaku terhadap orang-orang yang soleh ini kerana Nabi Musa sendiri meminta
untuk melihat Tuhan, tetapi ditolak oleh Allah.

Selepas meminta untuk melihat Tuhan dan Allah “bertajalli” pada bukit, nabi Musa hanya jatuh tersungkur dan apabila bangun, Baginda telah meminta ampun dari Allah, keadaan ini pada pandangan Ibnu Asyur tidak mencacatkan kedudukan Nabi Musa sebagai seorang nabi yang mulia. Oleh itu tindakan Bani Israel yang mahu melihat Tuhan juga bukan satu kesalahan pada pandangan Ibnu Asyur.

Sabtu
20 Ramadan 1440
25 Mei 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Ulasan Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir Oleh Ibnu Asyur
Rujukan tambahan: Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk beli buku atau untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *