*TADABBUR WAHYU SIRI 209*

*2.57.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 57*
وَظَلَّلۡنَا عَلَيۡكُمُ ٱلۡغَمَامَ وَأَنزَلۡنَا عَلَيۡكُمُ ٱلۡمَنَّ وَٱلسَّلۡوَىٰۖ كُلُواْ مِن طَيِّبَٰتِ مَا رَزَقۡنَٰكُمۡۚ وَمَا ظَلَمُونَا وَلَٰكِن كَانُوٓاْ أَنفُسَهُمۡ يَظۡلِمُونَ

Dan Kami telah menaungi kamu dengan awan dan Kami turunkan kepada kamu “Manna” dan “Salwa”, “Makanlah dari makanan yang baik yang Kami telah kurniakan kepada kamu”. Dan tidaklah mereka menganiaya Kami, tetapi sebenarnya merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.

Mengikut Ibnu Asyur peristiwa Bani Israel dilindungi oleh awan dan diberikan kepada mereka ‘manna’ dan ‘salwa’ berlaku sebelum mereka meminta untuk melihat Tuhan.

Pandangan ini telah disandarkan oleh beliau berdasarkan kepada cerita yang telah diambil dari kitab taurat. Nampaknya di sini Ibnu Asyur berhujah menggunakan sumber taurat dalam perkara yang melibatkan cerita Bani Israel.

Bahkan beliau merujuk kepada sumber yang sama ketika mentafsirkan perkataan ‘manna’. Walaupun terdapat banyak pandangan ulama diutarakan didalam kitab-kitab lain mengenai makna ‘manna’ yang diberikan kepada Bani israel, namun demikian Ibnu Asyur tidak langsung membincangkan pandangan-pandangan tersebut.

Didapati beliau hanya merujuk kepada sumber taurat yang mengatakan bahawa ‘manna’ adalah satu bahan bergetah yang ada pada pokok di kawasan perkampungan, rasanya pula antara manis dan masam, sementara warnanya kekuningan.

Adapun ‘salwa’, telah ditafsirkan oleh Ibnu Asyur dengan burung puyuh. Makanan yang diberikan kepada Bani Israel itu merupakan nikmat Allah kepada mereka, tetapi sayangnya nikmat itu disambut oleh mereka dengan kejahatan yang dilakukan dari semasa kesemasa.

Allah menegaskan bahawa tindakan mereka itu tidak dapat menggugat Allah dan tidak merugikan Dia. Sebaliknya kejahatan yang dilakukan itu akan kembali kepada diri mereka sendiri.

Ahad
21 Ramadan 1440
26 Mei 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Ulasan Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir Oleh Ibnu Asyur
Rujukan tambahan: Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk beli buku atau untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *