*TADABBUR WAHYU SIRI 212*

*2.60.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 59*
 فَبَدَّلَ الَّذِينَ ظَلَمُوا قَوْلًا غَيْرَ الَّذِي قِيلَ لَهُمْ فَأَنزَلْنَا عَلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا رِجْزًا مِّنَ السَّمَاءِ بِمَا كَانُوا يَفْسُقُونَ

Kemudian orang-orang yang zalim itu mengubah perkataan (perintah kami) yang dikatakan kepada mereka dengan melakukan sebaliknya; maka Kami turunkan ke atas orang-orang yang zalim itu bala bencana dari langit, dengan sebab mereka sentiasa berlaku fasik.

Ibnu Asyur berpendapat, orang yang zalim di dalam ayat ini ditujukan kepada tentera perisik. Tindakan mereka mengubah perkataan pula di maksudkan kepada perbuatan mereka yang memberi gambaran negatif terhadap misi pembukaan yang diarahkan oleh Allah.

Mereka sebaliknya telah menimbulkan rasa takut kaum Bani Israel untuk bersama dengan nabi Musa bagi memerangi musuh. Mereka lebih suka untuk berkecuali dan tidak mahu campur tangan dalam urusan pembukaan bandar tersebut.

Inilah yang dimaksudkan dengan orang-orang yang telah mengubah kata-kata Allah. Sementara balasan yang diterima oleh mereka ialah mereka telah dikenakan wabak penyakit dan ramai kalangan Bani Israel daripada telah mati.

Setelah itu, Allah swt menyuruh mereka meminta ampun. Kata-kata mereka ‘hittatun’ bermaksud gugurlah, iaitu gugurkan lah dosa kami. Kata-kata ini bermaksud istighfar dalam bahasa yang digunakan oleh umat islam masa kini.

Ada pun dua orang tentera perisik yang terlepas daripada terkena siksaan itu ialah Yusyak dan Khalib bukannya Nun (ada kesilapan dalam siri lepas). Mereka terlepas daripada ditimpa penyakit atas izin Allah sebagai ganjaran diatasi sifat benar mereka berdua.

Ibnu Asyur berpendapat bahawa bala yang diturunkan oleh Allah dari langit yang disebut di dalam ayat ini ialah wabak taun seperti yang beliau ambil dari maklumat bersumberkan kitab taurat.

Rabu
24 Ramadan 1440
29 Mei 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Ulasan Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir Oleh Ibnu Asyur
Rujukan tambahan: Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk beli buku atau untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *