*TADABBUR WAHYU SIRI 213*

*2.61.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 60*
Ayat 60
وَإِذِ ٱسۡتَسۡقَىٰ مُوسَىٰ لِقَوۡمِهِۦ فَقُلۡنَا ٱضۡرِب بِّعَصَاكَ ٱلۡحَجَرَۖ فَٱنفَجَرَتۡ مِنۡهُ ٱثۡنَتَا عَشۡرَةَ عَيۡنٗاۖ قَدۡ عَلِمَ كُلُّ أُنَاسٖ مَّشۡرَبَهُمۡۖ كُلُواْ وَٱشۡرَبُواْ مِن رِّزۡقِ ٱللَّهِ وَلَا تَعۡثَوۡاْ فِي ٱلۡأَرۡضِ مُفۡسِدِينَ 
Dan (ingatlah) ketika Nabi Musa memohon supaya diberi air untuk kaumnya, maka Kami berfirman: “Pukulah batu itu dengan tongkatmu”, (ia pun memukulnya), lalu terpancutlah dari batu itu dua belas mata air; sesungguhnya tiap-tiap satu puak (di antara mereka) telah mengetahui tempat minumnya masing-masing. (Dan Kami berfirman): “Makanlah dan minumlah kamu dari rezeki Allah itu, dan janganlah kamu melakukan bencana kerosakan di muka bumi”.

Pemberitahuan terhadap satu lagi nikmat Allah kepada Bani Israel. Nikmat yang telah dilimpahkan kepada mereka tetapi telah dibalas oleh Bani Israel dengan penafian dan penyelewengan.

Kali ini, nikmat yang disebut merangkumi di dalamnya tiga nikmat, pertama mereka diberikan air minum, kedua mereka diberikan makanan dan nikmat yang ketiga ialah mereka mendapat pertolongan ketika mana mereka sudah berputus asa.

Peristiwa ini dirakamkan oleh Allah bagi menjelaskan mukjizat Nabi Musa dan seterusnya merupakan kemuliaan kepada Bani Israel dengan kelebihan yang diberikan oleh Allah kepada mereka.

Ibnu Asyur berpandangan bahawa peristiwa ini berlaku tiga bulan lepas daripada keluarnya Bani Israel dari bumi Mesir. Mereka ketika itu mengalami situasi getir apabila kehabisan bekalan air dan sangat dahaga. Bekalan air untuk ternakan mereka juga telah habis.

Ketika sedang dalam situasi tertekan seperti ini datangnya pertolongan dari Allah yang sekali lagi menyelamatkan mereka dari kebinasaan.

Khamis
25 Ramadan 1440
30 Mei 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Ulasan Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir Oleh Ibnu Asyur
Rujukan tambahan: Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk beli buku atau untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

1 thought on “*TADABBUR WAHYU SIRI 213*”

  1. Pingback: TADABBUR WAHYU SIRI 214 – UstazRosli.com

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *