TADABBUR WAHYU SIRI 214

2.61.2 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 60
Ayat 60

Dan (ingatlah) ketika Nabi Musa memohon supaya diberi air untuk kaumnya, maka Kami berfirman: “Pukulah batu itu dengan tongkatmu”, (ia pun memukulnya), lalu terpancutlah dari batu itu dua belas mata air; sesungguhnya tiap-tiap satu puak (di antara mereka) telah mengetahui tempat minumnya masing-masing. (Dan Kami berfirman): “Makanlah dan minumlah kamu dari rezeki Allah itu, dan janganlah kamu melakukan bencana kerosakan di muka bumi”.

Ketika Bani Israel berdepan dengan situasi getir kerana ketiadaan air dikawasan yang kering, Allah menyuruh Nabi Musa memukul dengan menggunakan tongkat Baginda pada batu.

Ketika itu terpancarlah 12 mata air, tujuan Allah memberikan 12 mata air itu ialah kerana Bani Israel memiliki 12 kabilah kesemuanya.

Keadaan ini menyerupai juga apa yang telah berlaku kepada Nabi Muhammad saw apabila seorang Arab Badawi datang mengadu berdepan dengan kemarau, lalu Baginda berdoa di atas mimbar agar Allah menurunkan hujan selalu doa itu telah dimustajabkan oleh Allah SWT. ( Bukhari dan Muslim)

Menurut Ibnu Asyur antara hikmah nabi Muhammad dan Nabi Musa berdoa berseorangan dalam keadaan tersebut adalah bagi menunjukkan bahawa doa mereka sangat mustajab di sisi Allah. Keadaan ini menonjolkan kemuliaan nabi didepan kaum mereka dan menjadi bukti agar mereka lebih beriman dengan kerasulan yang dibawa.

Ibnu Asyur memperuntukkan sedikit perbincangan berkaitan dengan tongkat Nabi Musa tetapi beliau kelihatan tidak berminat untuk membesar-besarkan perbincangan topik ini.

Meskipun beliau menyebut ada pendapat yang mengatakan bahawa tongkat Nabi Musa itu adalah warisan daripada Nabi Adam yang dibawa semasa keluar dari syurga, tetapi Ibnu Asyur mengisyaratkan bahawa berita itu tidak benar.

Begitu juga ketika membincangkan tentang batu yang dipukul oleh tongkat Nabi Musa, Ibnu Asyur mengatakan terdapat banyak cerita-cerita yang dikaitkan dengan batu tersebut tetapi riwayatnya tidak sahih.

Sememangnya umat Islam tidak perlu memperuntukkan masa untuk membincangkan perkara yang tidak membuahkan amal serta jauh dari Maqasid al-Quran.

Jumaat
26 Ramadan 1440
31 Mei 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Ulasan Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir Oleh Ibnu Asyur
Rujukan tambahan: Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ
Untuk beli buku atau untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ https://ustazrosli.com/tadabbur-wahyu-siri-213/

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *