*2.62.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 61*
وَإِذۡ قُلۡتُمۡ يَٰمُوسَىٰ لَن نَّصۡبِرَ عَلَىٰ طَعَامٖ وَٰحِدٖ فَٱدۡعُ لَنَا رَبَّكَ يُخۡرِجۡ لَنَا مِمَّا تُنۢبِتُ ٱلۡأَرۡضُ مِنۢ بَقۡلِهَا وَقِثَّآئِهَا وَفُومِهَا وَعَدَسِهَا وَبَصَلِهَاۖ قَالَ أَتَسۡتَبۡدِلُونَ ٱلَّذِي هُوَ أَدۡنَىٰ بِٱلَّذِي هُوَ خَيۡرٌۚ ٱهۡبِطُواْ مِصۡرٗا فَإِنَّ لَكُم مَّا سَأَلۡتُمۡۗ
Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: “Wahai Musa, kami tidak sabar (sudah jemu) dengan makanan yang serupa sahaja; maka pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya dikeluarkan bagi kami sebahagian dari apa yang tumbuh di bumi; dari sayur-sayurannya, dan mentimunnya, dan bawang putihnya, dan adas (kacang dalnya), serta bawang merahnya”. Nabi Musa menjawab: “Adakah kamu mahu menukar sesuatu yang kurang baik dengan meninggalkan yang lebih baik? Turunlah kamu ke bandar kerana di sana kamu boleh dapati apa yang kamu minta itu”.

Mengikut Ibnu Asyur para ahli tafsir berbeza pandangan tentang nikmat Allah kepada Bani Israel yang mahu di jelaskan di dalam ayat ini.

Ibnu Asyur merakamkan kata-kata Iman Fakhruddin Ar Razi yang menganggap bahawa nikmat yang disebut di dalam ayat ini ialah apabila Allah menyahut kehendak Bani Israel yang ingin memakan sayur-sayuran, lalu mereka disuruh untuk pergi ke sebuah bandar lain dan di sana adanya makanan yang diingini.

Pandangan ini ditolak oleh Ibnu Asyur kerana suruhan Allah agar Bani Israel kebandar lain itu tidak disahut pula oleh mereka.

Ibnu Asyur berpandangan bahawa ayat ini mula menyebut tentang penyelewengan Bani Israel. Sikap Bani Israel yang tidak berpuas hati dengan apa yang diberikan oleh Allah, tidak mensyukuri nikmat yang Allah kurniakan kepada mereka dan tidak menghormati Nabi mereka itulah sebenarnya yang mahu ditonjolkan dalam ayat ini.

Suruhan Allah agar mereka pergi kebandar lain jika mahu memakan sayur-sayuran merupakan satu tamparan kepada Bani Israel.

Sabtu
27 Ramadan 1440
1 Jun 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Ulasan Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir Oleh Ibnu Asyur
Rujukan tambahan: Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk beli buku atau untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *