*2.63.2 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 61*

Dan ditimpakan ke atas mereka kehinaan serta kepapaan, dan sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan dari Allah. Yang demikian itu ialah disebabkan mereka kufur (mengingkari) ayat-ayat Allah; dan mereka pula membunuh Nabi-nabi dengan tidak ada alasan yang benar. Yang demikian itu ialah disebabkan mereka menderhaka dan mereka pula sentiasa menceroboh.

Ayat ini menceritakan tiga balasan Allah kepada Bani Israel iaitu kehinaan, kemiskinan dan kemurkaan menimpa mereka.

Semua keburukan itu ditimpakan keatas Bani Israel bukan kerana Allah berlaku zalim terhadap mereka tetapi kerana kejahatan Bani Israel sendiri.

Ayat ini dengan jelas memberitahu bahawa apa yang menimpa mereka disebabkan mereka kufur dengan ayat Allah, membunuh utusan Allah, melakukan kemungkaran dan pencerobohan.

Ibnu Asyur memetik dari sumber Isra’iliyyat beberapa peristiwa pembunuhan yang telah berlaku terhadap utusan Allah kepada Bani Israel. Mereka adalah para nabi yang mulia tetapi berkonflik dengan Bani Israel lalu diperlakukan tanpa belas kasihan dan kemanusiaan.

Nabi Ashiya bin Amus yang hidup pada pertengahan kurun kelapan sebelum Masihi dimana diriwayatkan bahawa beliau disalib pada sebatang pokok sehingga menemui ajal.

Pembunuhan seperti ini dilakukan juga  terhadap nabi bernama Armia’ dipertengahan kurun ketujuh sebelum Masihi. Nabi yng mulia ini telah direjam sehingga mati setelah memberi nasihat kepada Bani Israel.

Antara nabi yang mati dibunuh oleh yahudi ialah nabi Zakaria bapa kepada Yahya. Beliau dibunuh apabila cuba melepaskan Yahya daripada dibunuh oleh Bani Israel. Raja yang membunuh beliau ialah Herodes raja yahudi, peristiwa ini  berlaku di zaman nabi Isa as.

Ibnu Asyur berpendapat nabi-nabi yang dibunuh ini adalah utusan Allah yang bukannya rasul, ini kerana para rasul dipelihara oleh Allah daripada musuh mereka, kerana mereka membawa syariat yang diamanahkan oleh Allah. Sebaliknya para nabi hanya mengamalkan syariat yang telah disampaikan oleh para rasul.

Jelas sekali sifat Yahudi ialah merasakan diri mereka mulia dan tidak menerima nasihat. Mereka juga sanggup menceroboh dan melakukan segala bentuk kejahatan.

Selasa
30 Ramadan 1440
4 Jun 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Ulasan Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir Oleh Ibnu Asyur
Rujukan tambahan: Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk beli buku atau untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *