*2.64.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 62*
إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَالَّذِينَ هَادُوا وَالنَّصَارَىٰ وَالصَّابِئِينَ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَعَمِلَ صَالِحًا فَلَهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ (62)
Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasrani, dan orang-orang Saabien sesiapa di antara mereka itu beriman kepada Allah dan hari akhirat serta beramal soleh, maka bagi mereka pahala balasannya di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan kepada mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

Ayat ini berada dipertengahan antara ayat-ayat yang menceritakan nikmat-nikmat yang telah diberikan kepada Bani Israel dan ayat-ayat yag menceritakan penyelewengan serta keburukan mereka.

Bagi Ibnu Asyur trend ayat ini sangat jelas sehingga beliau menyifatkan ianya mudah untuk dijejaki. Ayat sebelum ini telah menerangkan nasib buruk yang menimpa orang-orang yang ingkar serta berlaku zalim, maka tiba pula masanya untuk menunjukkan jalan pengampunan dan pintu kemaafan yang sentiasa terbuka dihadapan manusia.

Kesemua itu adalah amat mudah bagi Allah, apa yang penting ialah manusia kembali kepada keimanan dan ketaatan terhadapNya.

Seruan keimanan ini dihubungkan dengan umat yang terdahulu, yang telah mendahului penyataan keimanan dan ketaatan. Sejarah mereka disebut agar ianya lebih memberi dorongan untuk bertindak kepada generasi yang ada.

Bukanlah umat terdahulu itu semuanya engkar dan menentang nabi-nabi mereka tetapi sebaliknya dikalangan mereka ada orang-orang soleh, yang sanggup mengorbankan apa yang mereka miliki demi mencari keredaan Allah.

Merekalah golongan yang sepatutnya dituruti oleh generasi terkemudian dan merekalah yang sepatutnya dijadikan contoh serta tauladan.

Rabu
1 Shawal 1440
5 Jun 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Ulasan Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir Oleh Ibnu Asyur
Rujukan tambahan: Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk beli buku atau untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *