*2.65.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 63*
وَإِذۡ أَخَذۡنَا مِيثَٰقَكُمۡ وَرَفَعۡنَا فَوۡقَكُمُ ٱلطُّورَ خُذُواْ مَآ ءَاتَيۡنَٰكُم بِقُوَّةٖ وَٱذۡكُرُواْ مَا فِيهِ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ.

Dan, ketika Kami mengambil perjanjian kamu semasa Kami angkatkan gunung di atas kamu, terimalah yang telah Kami berikan kepada kamu dengan bersungguh-sungguh, dan ingatlah apa yang tersebut di dalamnya, supaya kamu bertaqwa.

Ayat ini kembali membincangkan persoalan nikmat Allah kepada Bani Israel setiap kali mereka melakukan kesalahan. Kesalahan yang telah dilakukan itu diikuti dengan keampunan dari Allah. Itulah nikmat yang sangat besar bagi seorang manusia.

Peristiwa ini berlaku apabila Allah memanggil nabi Musa untuk bertemu  denganNya. Ketika itu bukit telah bergegar dan mengeluarkan debu yang berterbangan sehingga Bani Israel menyangka gunung yang besar itu akan menimpa mereka.

Melihatkan keadaan cemas itu, mereka segera sanggup untuk mentaati segala ajaran Allah. Ini yang dimaksudkan dengan ‘Allah mengambil perjanjian daripada Bani Israel’.

Adapun yang dimaksudkan dengan ‘Allah mengangkat gunung di atas Bani Israel’ Ibnu Asyur berpendapat ia bukan bermaksud gunung itu tercabut dan kemudian berada di atas kepala mereka.

Ibnu Asyur menolak tafsiran tersebut dengan alasan sumber cerita tersebut tidak terdapat di dalam mana-mana kitab suci Bani Israel dan juga tidak terdapat di dalam hadis-hadis yang sahih, apa yang ada adalah dari sumber-sumber yang tidak sahih oleh itu beliau tidak mengambilnya sebagai hujah bagi mentafsirkan ayat ini. 

Dengan itu, Ibnu Asyur memahami ayat berkaitan bukit diangkat diatas Bani Israel adalah sebagai kiasan kepada peristiwa keluarnya debu tebal dari bukit sehingga Bani Israel menyangka bukit itu akan jatuh menimpa mereka.

Sabtu
4 Shawal 1440
8 Jun 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Ulasan Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir Oleh Ibnu Asyur
Rujukan tambahan: Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk beli buku atau untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *