*2.65.2 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 63*
وَإِذۡ أَخَذۡنَا *مِيثَٰقَكُمۡ* وَرَفَعۡنَا فَوۡقَكُمُ ٱلطُّورَ خُذُواْ مَآ ءَاتَيۡنَٰكُم بِقُوَّةٖ وَٱذۡكُرُواْ مَا فِيهِ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ.

Dan, ketika Kami mengambil *perjanjian* kamu semasa Kami angkatkan gunung di atas kamu, terimalah yang telah Kami berikan kepada kamu dengan bersungguh-sungguh, dan ingatlah apa yang tersebut di dalamnya, supaya kamu bertaqwa.

Perkataan ‘mithaq’ di dalam ayat ini yang diterjemahkan dengan maksud perjanjian pada hakikatnya adalah merupakan penurunan syariat, dan Bani Israel dianggap telah memeterai perjanjian ini apabila mereka sanggup untuk menuruti syariat yang telah diturunkan kepada nabi mereka.

Dengan itu, ayat Bani Israel mengambil perjanjian dengan Allah adalah makna kiasan yang bermaksud satu ketika dahulu Bani Israel telah menyatakan kesanggupan mereka untuk menjadi pengikut yang setia kepada syariat nabi Musa, syariat yang diturunkan oleh Allah. Namun selepas itu mereka mengingkari perjanjian tersebut.

Perkataan “thur” pula bermaksud sebuah bukit yang besar, pada masa ini di kawasan ini terdapat sebuah Bukit Besar yang dipanggil Tursina, ramai ahli sejarah yang mengatakan bukit yang dimaksudkan didalam ayat ini ialah bukit Tursina di negara Mesir.

Namun demikian tidak pasti seratus peratus apakah bukit Tursina itulah yang dimaksudkan oleh ayat ini atau ayat ini menyebut secara umum sahaja tentang sebuah bukit yang besar atau gunung.

Adalah tidak menjadi kesalahan untuk mereka yang cuba mengetahui jalan cerita serta lokasi- lokasi dalam peristiwa Bani Israel ini, namun demikian ia bukanlah sesuatu yang utama kerana ia tidak disebut dengan jelas oleh Al-Quran.

Apa yang penting bagi Al-Quran ialah iktibar di atas peristiwa yang berlaku terhadap Bani Israel untuk digunakan sebagai panduan dalam kehidupan manusia.

Ahad
5 Shawal 1440
9 Jun 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Ulasan Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir Oleh Ibnu Asyur
Rujukan tambahan: Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk beli buku atau untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *