*2.66.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 64*


ثُمَّ تَوَلَّيْتُم مِّن بَعْدِ ذَٰلِكَ ۖ فَلَوْلَا فَضْلُ اللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُ لَكُنتُم مِّنَ الْخَاسِرِينَ.

Kemudian sesudah itu kamu membelakangkan perjanjian setia kamu, kalau tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu, nescaya menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang rugi.

Peristiwa yang berlaku ini tidak tamat dengan perjanjian yang telah dilakukan oleh Bani Israel sahaja. Sebaliknya mereka telahpun melanggar perjanjian itu selepas berlalunya beberapa ketika.

Ayat ini mengisyaratkan kepada tindakan Bani Israel yang menyembah patung anak lembu sedangkan mereka telah berjanji untuk taat kepada syariat yang dibawa oleh Nabi Musa.

Pada kali ini Allah memberitahu bahawa Bani Israel telah diberikan nikmat dan kelebihan tetapi ianya disebut secara umum iaitu “kalau tidak kerana Rahmat dan kelebihan Allah kepada mereka sudah tentu mereka termasuk di kalangan orang-orang yang rugi”.

Ayat ini  menunjukkan secara tidak langsung bahawa Allah swt telah memberikan kepada mereka pengampunan dan kemaafan.

Dalam masa yang sama ayat ini mahu menekankan bahawa keampunan dan rahmat daripada Allah itulah antara nikmat yang besar yang perlu disyukuri oleh manusia.

**Antara cara manusia mendapat keampunan dari Allah ialah dengan cara Allah melorongkan kepada manusia, membuka pintu hati untuk bertaubat diatas kesalahan dan keburukan.

Selain itu seringkali juga Allah mengenakan kepada manusia musibah dan kesusahan yang dengan pengalaman itu manusia berfikir serta menyesali segala kealpaan yang lampau.

Antara tanda keampunan Allah juga apabila diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki umur yang panjang sehingga dengan usia itu manusia melihat berbagai peristiwa, mengalami kelemahan tubuh badan dan ketiadaan sahabat handai yang akhirnya membawa kepada keinsafan.

Pintu taubat sentiasa terbuka buat manusia dan jalan-jalan kebaikan terbuka luas bagi mereka yang mahukan kebaikan di akhirat.

Isnin
6 Shawal 1440
10 Jun 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Ulasan Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir Oleh Ibnu Asyur
Rujukan tambahan: Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk beli buku atau untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *